YULIA melihat jam digital pada meter di hadapan. Lagi 15 minit menghampiri pukul 7.00 petang. Dia benar-benar gelisah kerana pada waktu ini, dia sepatutnya sudah hampir ke rumah Kak Ngah untuk menghantar kereta.
Tadi, dia terlupa untuk menetapkan seting aplikasi e-hailing kepada tidak menerima penumpang. Tiba-tiba ada orang menempah. Dia sudahlah jenis yang pantang menolak penumpang. Jalan pula sesak.
"Lambat lagi ya," kata Adam yang duduk di belakang.
"Itulah, encik. Ini pun kira nasib baik sebab tak hujan macam tengah hari tadi. Kereta encik tadi macam mana?" balas Yulia.
"Tunggu tow truck."
"Oh ...." Ayat Yulia tergantung beberapa saat. "Kawan encik okey ya? Kena tinggal sorang-sorang."
"Okey."
"Oh." Akhirnya Yulia diam.
Yulia curi-curi mengerling ke cermin pandang belakang. Daripada gaya pakaian penumpang yang berkot berwarna tidak lazim ini – bukan hitam – dia mengagak orang ini bukan orang biasa. Mungkin lelaki yang seorang lagi yang ditinggalkan bersama kereta itu pemandunya.
Tidak lama kemudian, radio memutarkan sebuah lagu. Ia lagu lama, tetapi entah kenapa lagu ini sudah diputar sebanyak dua kali hari ini, fikir Yulia. Terus Yulia memperlahankan bunyi radio.
Tiba-tiba Adam bersuara, "Tak suka lagu ni ke?"
Yulia memandang ke arah cermin pandang belakang. Oleh sebab pencahayaan mulai kelam, dia tidak fokus pada wajah lelaki itu. Yulia berkata, "Eh, tak, tak, encik. Bukan saya tak suka."
"Habis tu, kenapa perlahankan?" tanya lelaki itu dengan suara halus.
"Aahh, saya fikir tak nak ganggu encik nak tidur kat belakang. Jadi, saya perlahankan lagu ni. Sebab lagu ni menjerit-jerit," jelas Yulia.
Serentak itu Adam ketawa terbahak-bahak. Yulia berasa separa segan dan terhibur apabila jawapannya ditertawakan.
"Menjerit-jerit," kata Adam seorang diri, dengan nada mengejek. Kemudian dia kembali memandang Yulia. "Betul. Lagu ni memang jerit-jerit."
Dia seperti sedang bergurau dengan hal yang hanya dia tahu.
Yulia tidak sedap hati.
"Tapi bukan tak sedap, encik. Masa final chorus nanti akan ada not tinggi. Encik tahu kan lagu ni?"
"Tahu," jawab Adam. Dia sudah pun berhenti ketawa.
"Ha, dalam korus akhir nanti penyanyi akan tarik not tinggi kan? Not tinggi dia bukan tinggi biasa-biasa, encik. Ni tinggi betul, sampai strain suara dia."
Riak wajah Adam berubah. Melalui cermin pandang belakang, Yulia menyedari keadaan itu. Yulia semakin tidak sedap hati.
"Itu sebabnya saya perlahankan lagu."
Tiada balasan.
"Tapi saya kuatkan semulalah sebab encik nak dengar," Yulia memanjangkan penjelasan. Tangannya memutar semula butang volume untuk menguatkan lagu.
"Biar perlahan kalau awak tak suka," pintas Adam. Nada suaranya dingin.
Perbualan mereka habis di situ. Adam kembali bersandar dan mendongak ke lelangit kereta.
Yulia mengangguk perlahan.
Dia benar-benar rasa bersalah. Rasa seperti lelaki itu bengang dengannya. Mungkin dia tersalah cakap, tapi tak tahu di bahagian mana.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...