25

99 7 0
                                    

Keesokan harinya.

DARI hujung lorong taman perumahan, kelihatan Yulia menuntun motosikal kapcainya dengan susah payah. Suasana di lorong perumahan teres setingkat itu sudah pun gelap dan sunyi. Semua orang berada di dalam rumah masing-masing.

Dalam keadaan berkeringat seluruh tubuh, dia masih tidak menanggalkan topi keledar. Perlahan-lahan dia menolak motosikal ke rumah, tanpa mengeluarkan sebarang bunyi yang boleh menarik perhatian kejiranan tersebut.

Sesampainya di ruang letak kereta rumah, dia menongkat motosikal dan menanggalkan helmet. Kedengaran suara Fahmi membaca al-Quran di dalam. Setelah menanggalkan kasut butnya, Yulia mengeluarkan gugusan kunci rumah. Apabila kunci berlaga dengan pintu gril besi, barulah orang di dalam rumah sedar dia sudah pulang.

Suara mengaji terhenti. Langsir tingkap diselak dari dalam dan wajah mak menjenguk. Setelah dipastikan siapa yang datang, barulah mak membuka pintu. Perlahan saja pergerakan mak, kerana tubuh tuanya yang bongkok dan lutut yang sakit.

"Assalamualaikum. Tadai-mak," tegur Yulia, tiba-tiba bahasa Jepun. Wajahnya tersimbah oleh cahaya dari dalam rumah.

"Waalaikumussalam," balas mak. Dia memerhati anaknya atas bawah. "Mak ingatkan pencuri. Tak ada bunyi apa-apa, tiba-tiba tercangak depan pintu. Duk tadaimak-tadaimak."

Yulia ketawa. Dia mengelap keringat pada wajah dengan lengan baju. "Yulia suka sebab boleh panggil mak dalam bahasa Jepun."

Mata mak meliar ke sekeliling ruang letak kereta yang sentiasa kosong. "Kamu tolak motor?"

"Taklah, mak," balas Yulia ringkas. Dia melangkah masuk sambil mengepit topi keledar putih di pinggang (ya, Zarin dah jadi pemilik kekal helmet biru). Sambil tangannya ligat mengunci semula pintu gril rumah, matanya mengerling ke arah Fahmi yang sedang terbaring di ruang tamu. "Adik mana, mak?"

"Zarin tidur rumah kawan dia dekat sana. Esok pagi-pagi ada presentation lagi katanya," jawab mak.

"Oh .... Mak dan Abang Fahmi dah makan?"

"Dah. Sebelum maghrib tadi kami dah siap makan. Kamu dah makan?"

Mata mak mengekor pergerakan Yulia yang sibuk menyimpan helmet dan begnya ke atas rak di tepi pintu.

"Ada lauk lagi ke, mak?" Yulia membalas dengan pertanyaan.

"Lauk dan nasi dah habis." Tiba-tiba riak wajah emak berubah serba salah. "Silap mak sebab tak simpan sikit tadi. Mak masak nasi dan goreng telur kejap."

"Eh, mak. Tak apa. Yulia dah makan. Saja tanya tadi." Yulia mengisyaratkan kedua-dua tangan supaya maknya berhenti bergerak ke dapur.

"Ya ke dah makan?" duga mak.

"Ya, mak." Yulia meyakinkan. "Mak buat apa tadi?"

"Tak buat apalah. Baring saja."

"Apalah mak ni. Cuba buat zumba ke, poco poco ke, berlatih koreografi lagu BTS ke. Baru sihat."

Macam selalu, mak hanya mengabaikan lawak hambar Yulia. Perlahan-lahan dia melangkah ke dalam bilik.

"Mak, sambil baring tu nanti jangan lupa koreo BTS," pesan Yulia lagi.

Mak mendengus.

Yulia tertawa. Dia berjalan ke tengah ruang tamu sambil memerhati Fahmi yang sedang terbaring di atas tilam. Lelaki itu memeluk naskhah al-Quran sementara matanya sudah terpejam.

Dahi Yulia berkerut. Baru tadi dia dengar Fahmi membaca al-Quran. Kenapa Fahmi tiba-tiba tidur?

"Dia dah tahu pasal rancangan kamu. Tadi Kak Ngah datang," kata mak setelah Yulia ikut masuk ke dalam bilik.

Kening Yulia terangkat. Darah berderau naik ke pipi.

"Salah maklah ni," kata mak lagi. "Dah tahu mulut Kak Ngah macam mana, mak pergi bawa cerita kat dia."

"Abang Fahmi ... kata apa?" tanya Yulia.

Mereka saling berpandangan lama, namun mak akhirnya menggeleng.

Usai solat isyak, Yulia tak dapat menahan diri. Dia bertanya kepada mak, "Marah ke dia pada Yulia?"

Telekung dilipat dan digantung di kerusi. Dia menurunkan kaki seluar trek ke buku lali, seraya bersandar di tepi katil. Di dalam bilik tidur utama itu, dia dan emaknya tidur berdua. Bilik kedua milik Zarin. Bilik ketiga menempatkan barang dan pakaian Fahmi.

Mak masih diam melipat baju.

"Kan mak dah cakap ...," kata mak tanpa memandang.

"Cakap apa? Yang mak nak berlatih koreografi ke?" balas Yulia. Dia bangkit dan naik ke atas katil.

"Isy! Main-main. Mak dah cakap, tak mungkinlah Fahmi tu nak kahwin dengan kamu. Tak payah tanya dia pun mak tahu. Kalau mak jadi dia, mak pun tak setuju."

Yulia mengeluh lalu memaksa diri senyum. Lengannya direhatkan di dahi saat dia berbaring.

"Mungkin sebab muka Yulia ni buruk kut, mak?" Tiba-tiba dia mengerling, memancing reaksi mak. Macam biasa, mak menjuih. "Tak acilah keluarga kita ni. Genetik elok kumpul setempat. Zarin dapat, Yulia tak dapat."

Mak melibas kain batik ke kakinya. Dia ketawa terkekeh-kekeh. Nasib baik tangan mak dah tak sekuat dulu.

"Benda sungguh-sungguh, dia buat main-main," marah mak.

Yulia ketawa lagi. Dia kembali berbaring dan meletakkan lengan di dahi. Setelah itu, senyumannya hilang.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now