21

129 6 0
                                    

"MANA boleh sesuka hati naikkan harga sewa!"

Yulia hanya menongkat dagu mendengar bebelan Amalina. Dia mengerling ke arah Zarin yang duduk di sebelah. Zarin menghirup teh tarik sambil tersenyum simpul.

Mesti Zarin bahagia sebab ada orang tolong marah Kak Ngah bagi pihaknya. Sebab kalau adik sendiri nak maki kakak, rasa berdosa.

"Kak Ngah kau orang ni macam melampau sangat, aku rasa," marah Amalina lagi. Dia membetulkan selendang putihnya sebelum menikam tempe dalam pinggan dengan garpu.

Gaya naik angin kawan baiknya itu sangat bersahaja. Langsung tidak kisah kalau orang sekeliling di medan selera itu memandang mereka.

"Entahlah, Mal. Tapi aku rasa bersalah sebenarnya. Kak Ngah aku tu macam ada masalah, tapi dia tak nak orang lain tahu," balas Yulia.

Perlahan-lahan Yulia menyuap nasi ayam ke dalam mulut. Hari ini, dia bekerja bawa e-hailing seperti biasa. Cuma dia berjumpa dengan Amalina sekejap pada waktu rehat makan tengah hari. Zarin pula tiba-tiba nak ikut.

Yulia menyambung, "Aku risau dia pinjam dengan ceti haram."

"Seriuslah?" Adiknya melopong.

"Wah!" Amalina ketawa. "Kenapa ya dengan kakak-kakak kau? Kecuali arwah Kak Farihalah kan. Dia orang berdua tu memang ikut templat kahwin dengan biawak hidup, lepas tu suka berhutang ke?"

"Weh mulut kau ...," tegur Yulia.

Zarin ketawa. Dia berkata kepada Amalina, "Marah lagi, kak. Marah dia lagi. Si pinggan ni memang jenis tiba-tiba jadi lembik depan kakak-kakak dia."

Bagai minyak ditambah dalam api, Amalina makin membuak-buak berleter, "Masalah kau ke kalau dia berhutang, Yulia? Kau ke yang kena tanggung hutang dia sampai kena bayar sewa cekik darah dia tu?"

"Masalah akulah juga. Itu kakak aku tu. Kalau boleh, aku nak terus sewa kereta dia, supaya sekurang-kurangnya dia ada la income tambahan."

"Kepala excavator engkaulah, Yulia," balas Amalina. Zarin tersedak dan ketawa terbahak-bahak mendengarnya. "Kak Ngah kau tu tak pernah peduli pun pasal kau orang. Pasal mak kau orang – mak dia sendiri – pun dia lepas tangan. Padahal kau cari duit sebab nak jaga mak kau orang juga. Kau jangan nak fikir adik-beradik sangatlah bila dah besar ni. Tak semua adik-beradik berhak dapat perhatian kita."

"Kecuali aku. Aku berhak." Zarin pandang Yulia.

Yulia tertawa. "Yang kau ni pun, Mal, dari hari tu maki aku kepala kereta angkutlah, excavator-lah, dah kenapa?"

"Haha. Aku tengah edit manuskrip novel ... yang banyak cakap pasal kenderaan berat."

"Untunglah dapat kerja dalam pejabat," usik Yulia. "Editor paling muda dalam penerbit Tapir House pula tu. Dah boleh penuh tabung kahwin."

"Hehe. Nanti aku belanja kau orang. Setakat belanja aiskrim Wall's seringgit dua tu, apalah terusik sangat duit tabung kahwin aku."

"Sembang dengan kau ni, kak, orang utan pun boleh terbang. Calon suami pun tak ada," sampuk Zarin. Dia bangun ke arah singki. Amalina membalas dengan jelingan.

"Yang ada calon tu kau, kan?" Tiba-tiba Amalina memandang Yulia dengan penuh makna, sambil menyedut jus oren.

Yulia hanya tersenyum tawar. "Mula dah ...."

"Tapi betul apa soalan aku?" Amalina menyindir seraya menjongket bahu. "Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba kau kata nak kahwin. Siapalah yang tak terkejut ...."

"Aku bukan kata aku nak kahwin sekarang. Duit pun bukannya ada."

Demi mengelakkan perbincangan tersebut, Yulia menyibukkan diri dengan telefon. Dia membuka hantaran mesej baru daripada Kak Ngahnya.

Jd x byr xtra? Klo x Kk ngh nak ambk blk kete.ambk trs.dh jnj dgn org yg nk bli.

(Jadi tak, bayar extra? Kalau tak, Kak Ngah nak ambil balik kereta. Ambil terus. Dah janji dengan orang yang nak beli.)

Dahi Yulia berkerut. Matanya mengecil sambil meneliti baris-baris tersebut. Terasa macam sedang nyahkod mesej ketenteraan. Amalina yang menyedari keadaan itu mendekat untuk mencuri baca.

Kedengaran Amalina beristighfar.

"Dahlah ... tak payahlah kau duk sara Kak Ngah kau tu lagi. Kereta dia tu dah lama dia habis bayar. Dia dapat untung atas angin hampir 700 ringgit seminggu. Maintenance pun kau bayar. Paling busuk hati, dia paksa kau hantar kereta balik setiap hari. Lepas tu, tak boleh tinggal motor kat rumah dia. Kau kena naik bas setiap hari ulang-alik. Gilalah. Dia kerja goyang kaki saja, itu pun nak berkira dengan adik sendiri."

Yulia mengeluh, seperti malas melayan.

"Mak kau tahu yang dia naikkan sewa kereta tu?"

Yulia menggeleng. "Aku tak nak mak aku tahu."

Amalina mendecap resah. Dia berpusing untuk mencari kelibat Zarin. Zarin sedang beratur untuk membayar di kaunter.

Cepat-cepat Amalina berbisik, "Income kau macam mana sekarang?"

"Kurang sikit daripada sebelum ni, tapi boleh survive je insya-Allah."

"Kau nak pinjam duit aku?"

"Nak buat apa dengan duit kau?" Kening Yulia terangkat.

Amalina menjawab teragak-agak. "Manalah tahu. Kau nak beli kereta sendiri untuk bawa e-hailing ke?"

Yulia ketawa. Tadi, cerita nak belanja aiskrim Wall's seringgit dua pun berkira. Sekarang, nak tawarkan duit beli kereta.

"Tak payah! Kau simpanlah duit kau tu dalam tabung kahwin."

"Tak apa. Kan aku belum ada calon lagi. Bukan macam kau."

"Haihhhhh," Yulia mendengus. Ada saja cara Si Amalina ni pusing ayat untuk menyindirnya tentang isu kahwin.

"Tak, Yulia. Aku sebenarnya memang tak faham. Serius ni — kenapa kena kahwin dengan dia? Dalam banyak-banyak jalan yang ada, kenapa pilih kahwin?" Amalina berpeluk tubuh.

"Itu saja cara yang paling baik," protes Yulia.

"Ya ke?" Amalina mempertikai.

"Ya."

"Okay fine." Amalina mengangkat kedua-dua tangan tanda menyerah kalah.

"Itu cara paling baik, Mal," Yulia bersuara lirih.

Amalina menghembus nafas panjang seraya tersenyum. Kedua-dua tangan berlipat di atas meja. Wajah Yulia ditenungnya.

"Yulia, kau tak boleh dan takkan mampu tolong semua orang. Ingat tu."

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now