20

102 8 0
                                    

ADAM duduk di dalam biliknya saja sepanjang malam itu. Sekali saja dia keluar ke dapur untuk minum. Bosan berbaring melayan fikiran, dia ambil telefon keduanya dan membuat carian nama 'Laila Borhan' dalam aplikasi X dan TikTok.

Tidak ada berita pelik, melainkan cerita Laila kembali.

"Kenapa Izhar buat pelik tadi sampai mundar-mandir," bisik Adam.

Dia rasa bukan hanya Laila penyebab Izhar gelisah tadi. Seperti ada hal lain juga. Lantas Adam membuat carian nama sendiri.

Ada satu video yang menarik perhatiannya. Video itu dimuat naik kurang dari sehari lalu. Adam menekan video yang mendapat hampir 500 ribu sukaan tersebut.

Dalam video itu, kelihatan kelibat dirinya sedang menolak kereta di tengah jalan. Dirakam jauh dari belakang oleh sebuah kereta lain. Adam kenal tempat itu. Itu kejadian semasa keretanya rosak selepas balik dari Bukit Jalil tempoh hari.

Rakaman video itu terus dimainkan sehingga kereta milik perakam memintas kereta Adam. Kereta itu tiba-tiba berhenti di hadapan. Muncul seorang pemuda – orang sama yang membantu Adam menolak kereta – berlari masuk ke dalam kereta perakam. Kedengaran suara beberapa orang anak muda di dalam kereta tersebut yang seperti meraikan pencapaiannya.

"Aku salam dengan Adam Adwa weh." Pemuda itu menayangkan tapak tangannya di hadapan kamera.

"Seriuslah kau dapat salam dia?!" kedengaran suara perakam bertanya.

"Ya weh, aku salam dengan Adam!" kata pemuda itu. Suara di sekelilingnya turut ketawa teruja.

Apabila video itu tamat dan berulang semula, Adam mengangkat kening. Itu saja? Tak adalah apa-apa sangat, fikirnya.

Dia teringat wajah Izhar yang nampak resah tadi. Mungkin video ini pun bukan hal yang diresahkan Izhar.

Adam menekan butang komen untuk menyiasat lagi.

'Oyemgiii... is that the Adam Adwa??' (10.5k likes)

'Dia dah tak gemuk?? How come???' (9667 likes)

'Eh, hidup lagi Adam ni? Lama tak dengar cerita dia. Kurus dah.' (195 likes)

'So? Masalah dunia mana yang selesai bila aku tengok loser ni tolak kereta?' (36 likes)

'Suka la dia kalau nampak video ni. Lepas viral, ada can masuk TV balik.' (116 likes)

'Aku kesian kat Adam ni. Mesti dia kurus sebab heartbroken dengan ex dia dulu.' (1570 likes)

'Orang gemuk bila kurus memang akan auto handsome dan putih eh?' (440 likes)

'Wow, so tahu dah. Aku cuma kena heartbroken je. Tak payah pergi gim.' (545 likes)

Jari Adam terus menatal ke atas untuk keluar daripada aplikasi itu. Telefon diletak ke sis. Adam bangun ke posisi duduk. Tiba-tiba dia rasa berpeluh-peluh dan sukar hendak bernafas.

Dia tidak tahu mengapa semua orang menyerangnya, sedangkan dia tak minta pun untuk tular. Bahkan dia tak tahu pun yang dia dirakam.

Adam bangkit dan membuka tingkap. Deru angin sejuk menyerbu tubuh. Lengannya bersangkut di bingkai tingkap sehinggalah dia rasa boleh bernafas semula.

Setelah sekian lama menyepi, dia tidak sangka komen-komen seperti ini masih akan meragut keyakinannya — sama seperti dulu. Seolah-olah, tidak ada apa-apa yang berubah. Seperti tiada guna dia mendiamkan diri atau menonjolkan diri.

Yang paling merentap hatinya, perasaan yang dirasai sekarang sama seperti yang dirasai lebih 15 tahun lalu, yang membuatkan dia benci kehidupan seorang penyanyi. Perasaan itu kembali segar, seperti baru berlaku semalam.

Setelah bertenang, Adam berundur sehingga terduduk di atas katil.

Srreeeet!

Hujung kakinya menarik sebuah bangku kecil di tepi katil supaya mendekati tingkap. Gitar akustiknya dicapai, lalu dia duduk menghadap tingkap. Nafas masih tercungap-cungap.

Chord lagu Morning Has Broken oleh Cat Stevens dimainkan.

Morning has broken, like the first morning

Blackbird has spoken, like the first bird

Sesekali Adam mendengungkan nadanya, sesekali dia menyanyikan lagunya.

Bahagian kegemaran Adam tentang apartmennya ialah tingkap ini. Tingkapnya lebar dan luas — tingginya bermula tiga jengkal di bawah siling hingga paras betis di bawah; lebarnya meliputi dua sisi dinding. Dia suka duduk di tingkap bucu bilik, menyelak langsirnya sedikit untuk memandang ke luar, dan memetik gitarnya di situ.

Tidak semena-mena, mata Adam menangkap suatu kelibat nun jauh di luar. Di sebuah simpang T yang mungkin berjarak 200 meter dari rumahnya, sebuah bas berhenti untuk menurunkan penumpang.

Rumah Adam terletak di tingkat 15, maka saiz bas itu kecil saja macam boleh dijentik. Namun, cukup besar juga untuk Adam nampak ada manusia yang turun dari dalamnya.

Di kawasan simpang itu, hanya jalan raya yang terang dengan lampu jalan kuning. Jalan membelok ke kiri dan kanan tidak kelihatan dari rumah kerana terlindung pokok. Bas itu berhenti betul-betul pada lokasi yang boleh dilihat Adam. Cuma, Adam hanya nampak sisi kanan badan bas. Sisi kiri yang ada pintu bas berada sebaliknya.

Apabila bas bergerak meninggalkan tempat tersebut, barulah Adam nampak orang yang turun dari bas. Orang itu melintas dan berjalan ke arah kondo Adam. Di sebalik pokok yang melindungi laluan pejalan kaki, kelibat itu akhirnya hilang daripada pandangan.

Adam masih memetik gitarnya, seolah-olah pemandangan itu biasa baginya setiap hari.

Siapa dan ke mana orang itu, Adam tidak tahu. Yang pasti, dia rasa lebih tenang setiap kali nampak orang itu turun dari bas.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now