44

86 7 1
                                    

DAHI Yulia berkerut. Telefon dilekapkan rapat ke telinga, untuk memastikan dia tidak salah mendengar. Adam menelefon dan meminta Yulia mengambilnya?

"Yulia, kereta Izhar ada dengan awak hari ni?"

"Ya, Encik Adam. Ada, ada!" Yulia berdebar-debar mendengar nada resah Adam. Kejadian Haikal hilang terbayang-bayang kembali dalam kepalanya. "Semua okey ke, encik? Ada apa-apa berlaku ke?"

"Tak ada apa-apa. Saya ada di kawasan Bukit Bintang ni. Tapi tak ada kenderaan nak balik."

Yulia diam seketika. "Encik Izhar ...?"

"Izhar tak dapat ambil saya," cepat Adam menjawab.

"Oh .... Tak apa, Encik Adam. Saya boleh pergi sana. Encik tunggu saya ya."

"Okey terima kasih. Parking kereta dan cari saya ya."

Belum sempat Yulia membalas, Adam terlebih dahulu mematikan panggilan.

"Lah, baru nak tanya ... kenapa tak pick up tepi jalan saja?" bisik Yulia seorang diri.

Telefon diketuk-ketuk pada tapak tangan. Namun, Yulia tetap mencapai kunci kereta dan keluar dari rumah setelah memaklumkan mak dan Fahmi.

∞ ∞ ∞

HAMPIR sejam kemudian, Yulia berjaya mendapatkan petak kereta di dalam bangunan pusat membeli-belah Pavilion. Tempat itu sentiasa sesak, apatah lagi pada hujung minggu seperti ini.

Yulia rasa dia mengeluh setiap 10 minit, diikuti istighfar kerana rasa bersalah sebab mengeluh.

"Banyak barang yang dia shopping kut. Sebab tu kut kena minta tolong," bisiknya. Cuba menghilangkan rasa tak puas hati dan merasionalkan situasi.

Saya ada di luar. Cari dekat area busking.

Mesej daripada Adam diterima.

Yulia terus bergegas ke tingkat G. Dari situ, dia mencari pintu keluar utama pula. Setelah sampai keluar, dia perlu mencari Adam dalam kalangan ratusan orang yang berlegar-legar di jalanan.

Terdapat kerumunan besar pada salah satu kawasan busking di situ. Orang yang ingin menonton saling menolak dengan orang yang lalu-lalang. Sebagai manusia yang tidak berapa tinggi, Yulia terpaksa berjengket kaki untuk mencari kelibat Adam dalam kerumunan manusia itu.

Penyanyi busking sedang menyanyi lagu Di Penjara Janji, lagu Awie.

Memang ramai orang. Yang duduk, yang melutut, yang berdiri, dan berdiri berjengket. Tangan-tangan yang merakam video terhulur ke udara. Semakin kecil peluang untuk Yulia nampak Adam.

Suara lunak penyanyi, bunyi gitar dan dram, hingar-bangar suara manusia, rusuhan bunyi enjin dan hon kenderaan di jalan bersebelahan, haba daripada himpitan manusia, perasaan resah mencari orang—membuatkan Yulia rasa penat.

"Mana dia ni?" rungut Yulia.

Lagu hampir tamat. Yulia keluar daripada kerumunan. Mesej dihantar kepada Adam.

Saya dah sampai kat kawasan busking. Encik kat mana?

Sekonyong-konyong itulah muzik daripada instrumen muzik busking mula berbunyi kuat semula. Orang ramai bersorak. Yulia memanjangkan leher untuk melihat apa yang berlaku dalam bulatan itu.

Ini kali pertama dia berjalan di tempat ini, meskipun dia sudah banyak kali lalu di jalan ini untuk menghantar dan mengambil penumpang.

"Eh?"

Yulia mula terfikir sesuatu apabila terdengar instrumen itu.

Macam Gila.

Bagai dipukau, kaki Yulia terus bergerak ke arah kerumunan. Seperti mudah pula dia menyelit antara manusia untuk pergi lebih dalam. Kakinya menjengket-jengket. Kepalanya terjenguk-jenguk. Dia terlihat seorang penyanyi tetapi wajah orang itu masih terlindung topi.

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now