Setengah jam kemudian.
"ADA?" bisik Adam.
Anak mata Adam menari-nari di antara wajah Izhar dan telefon di telinga Izhar. Kemudian dia mengerling pula ke arah seorang rakan perempuan yang sedang mengisi air ke dalam cawan plastik daripada mesin dispenser di hujung koridor studio.
Barangkali kawan-kawannya sedang bekerja lebih masa untuk mixing lagu baru.
Izhar yang hanya diam, jadi Adam menyambung, "Aku dah sahkan dengan Muhaimin. Dia cakap dia nampak aku pegang telefon sampai masuk kereta. Jadi, confirm bukan hilang kat stadium."
Izhar menggerakkan tangan berkali-kali supaya Adam memperlahankan suara. Dia masuk ke dalam bilik mesyuarat. Wajahnya dihadap ke pintu gelangsar kaca untuk fokus mendengar suara dalam telefon.
"Boleh ke, kak ...?" kata Izhar. Dia diam seketika sebelum berkata, "Ha, okey. Kalau macam tu akak pergi rumah orang tu ...." Dia mendengar lagi. "Ya, ya. Saya pergi juga ...." Mendengar lagi. "Nanti akak telefon saya bila akak dah sampai ya ...?" Selepas itu, Izhar diam mendengar dengan agak lama. Matanya berkelip-kelip.
Adam sudah tidak senang duduk.
"Haah, kena malam ni juga, kak. Memang penting sangat benda alah tu ...." Izhar mengerling ke arah Adam sejurus menghabiskan ayat. Kawannya itu kelihatan resah macam kucing nak beranak.
Izhar tahu, dalam telefon itu ada lebih kurang 300 idea lagu milik Adam yang belum pernah keluar.
Setelah beberapa ketika, Izhar menamatkan panggilan. Dia menghembus nafas panjang sebelum memandang Adam. Sudah tiga kali dia menghubungi pemandu e-hailing tersebut untuk sampai ke pengakhiran ini.
"Akak tu tak jumpa telefon kau. Dia rasa telefon kau dah kena curi."
"Hah? Habis tu?" Adam kembali panik.
Izhar menghembuskan nafas panjang lagi. "Tapi aku dah minta akak tu supaya dia usaha cari juga. Akak tu yakin yang penumpang terakhir dia ambil. Sebab lepas kita turun tadi, akak tu bawa sorang penumpang tu saja sebelum balik."
Izhar mengambil barang-barang lalu menapak turun ke tempat letak kereta. Adam mengikut di sebelah.
"Bukan akak tu yang curi, eh?" Adam menduga.
"Kalau akak tu mencuri, tak adalah dia bersungguh nak mencari ...."
"Semua orang boleh pura-pura."
"Taklah, tak semua orang jahat." Izhar menggeleng tegas. Faham sangat dengan perangai Adam yang sentiasa pandang negatif semua orang.
"Okeylah. Jadi, lepas kita pergi ke rumah pencuri tu, nak buat apa?"
"Kita tanya terus pasal telefon kau. Harapnya kita sampai dululah. Aku risaukan akak tu, takut pencuri tu jahat."
Adam menghembus nafas panjang. Dia pun sama risau. Risaukan telefon.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romantizm[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...