BUNYI rancangan kartun di televisyen memenuhi rumah Adam buat kali pertama kali. Adam duduk bersila panggung di sofa. Dia menjeling ke arah Haikal yang duduk bersila membelakangkannya di atas karpet. Kanak-kanak itu seperti dihipnotasi oleh skrin televisyen di depan.
Adam cuba menyibukkan diri dengan telefon sendiri. Kemudian, dia mengerling ke arah anak saudaranya itu lagi.
Pandang telefon. Pandang Haikal. Telefon. Haikal.
"Haikal," akhirnya dia menyapa.
Kanak-kanak itu menoleh ke arahnya dengan muka tanpa emosi.
"Dah pukul 9.00, jom masuk tidur?" ajak Adam, teragak-agak.
Sungguh, dia kekok dengan kanak-kanak.
Tanpa disangka, Haikal kembali menoleh ke arah televisyen. Sepatah pun tak dijawab ajakan Adam. Adam mengangkat kening dan membeliakkan mata seorang diri. Perlahan-lahan dia menaip mesej kepada Izhar. Mata mengerling ke arah Haikal berkali-kali dengan waspada.
Bila kau nak balik?
Anak kau tak nak tidur.
Lima minit kemudian, dia menghantar mesej lagi.
Kau tau tak anak kau ni scary?
Baik kau balik cepat.
Tiba-tiba, Haikal berdiri tegak. Kedua-dua tangan rapat ke sisi. Dengan gerakan perlahan, kepalanya berpusing ke kanan. Dia menatap Adam.
Mata Adam terbeliak gerun. Kedua-dua kakinya automatik naik ke atas sofa.
Haikal kemudian berjalan terus masuk ke dalam salah satu bilik. Sejurus Haikal menutup pintu, Adam menggelupur stres di atas sofa.
∞ ∞ ∞
JAM 1.00 pagi, Adam terjaga apabila terdengar bunyi pintu rumah diketuk. Dia terdengar suara Izhar memanggil-manggil namanya dari luar.
"Gila ke apa kau ni? Kalau jiran marah macam mana?" Adam menarik Izhar masuk selepas membuka pintu.
Mata Izhar separa terbuka. Wajahnya merah. Dia bercakap ayat yang tak difahami dengan suara lewah. Jalannya terhuyung-hayang, sehingga Adam terpaksa memegangnya daripada terjatuh. Sejurus memegang Izhar, Adam tercium bau busuk.
"Kau minum arak ke?" Adam menolak Izhar supaya menjauhi.
"Mana ada?"
Izhar mengedipkan mata beberapa kali untuk kekal sedar. Dia juga menepuk kepala sendiri.
"Kau ni gilalah. Anak kau ada kat dalam tu!" bisik Adam.
"Mana ada aku minum arak. Aku minum wine sikit saja."
Izhar terduduk di meja makan. Adam cepat-cepat menanggalkan kasut Izhar. Kelam-kabut dia memapah Izhar masuk ke biliknya sendiri. Sepatutnya, Izhar tidur di sofa. Namun tak mungkin Adam akan biarkan Haikal ternampak bapanya dalam keadaan begini.
Tubuh Izhar terbaring melentang di atas katil Adam. Lelaki itu membebel perlahan, meskipun matanya sudah terpejam.
"Melina ... kenapa you buat I macam ni ...? Macam mana I nak hidup ...?"
Adam mencebik jengkel apabila terdengar nama kakaknya disebut oleh Izhar.
"Har, kau sedar tak apa yang kau buat ni? Haram tahu tak?" marah Adam.
Izhar mengabaikan kata-kata Adam. Malah, dia mengerekot dan tiba-tiba menangis pula.
"Melina ... I minta maaf ...."
Adam mendengus. Kenapalah mesti dia yang terlibat dalam kesengsaraan rumah tangga orang lain? Papa dan mama, kawan-kawan artisnya, dan sekarang ... kakaknya.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...