37

87 7 1
                                    

"AKU peduli apa," bisik Adam. Jarinya mengetuk-ngetuk permukaan stereng sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Matanya memerhati papan iklan gergasi di sekeliling kawasan itu. Sebuah kereta api monorel melintas di landasan di atas keretanya.

"Pandai hutang, pandailah urus sendiri," katanya lagi.

Fikirannya tiba-tiba teringat kembali gambar seram rumah dicampak cat yang ditunjukkan tadi.

"Ah, lepas dia buat laporan polis, okeylah tu."

Tiba-tiba Adam menggaru kepala.

"Dia akan buat laporan polis ke?"

Adam termenung. Tidak semena-mena dia mendengus. Lampu signal ke kanan kereta dihidupkan, dan dia segera menukar lorong apabila lampu isyarat bertukar hijau. Jarinya tangkas menghubungi Izhar melalui skrin android kereta.

"Helo? Apa hal, Adam?" Kedengaran suara Izhar pada speaker kereta.

"Izhar, kau ada nombor telefon Yulia?"

"Ada."

"Hantar kat aku."

"Okey, sekejap. Kenapa weh?"

"Nanti aku cerita." Adam terus mematikan panggilan dan fokus pada pemanduan.

Selepas dia terima nombor telefon Yulia daripada Izhar, Adam cuba menelefon Yulia berkali-kali, namun tak berangkat.

"Haih, menyusahkan betullah," marah Adam.

Akhirnya, dia hubungi Izhar sekali lagi untuk mendapatkan alamat Yulia pula.

∞ ∞ ∞

ADAM terjenguk-jenguk ke arah rumah Yulia dari dalam kereta. Dia tidak nampak sebarang motosikal di ruang tempat kereta. Mungkin Yulia belum sampai ke rumah.

Sambil bersandar di dalam kereta, Adam mendengar lagu dalam radio dan menepuk-nepuk paha. Sekejap kemudian, dia menjenguk ke rumah dan hujung jalan. Bersandar sekejap, kemudian menjenguk lagi.

"Eh, bila Si Yulia ni nak balik ...?"

Adam cuba menghubungi telefon Yulia lagi, tetapi masih tidak berangkat.

Dia mengeluh.

Tidak lama kemudian, sebuah motosikal muncul dari hujung jalan. Adam senyum teruja. Sampai pun Yulia!

Motosikal itu berhenti di hadapan rumah Yulia. Namun seperti ada sesuatu yang lain dengan penunggangnya. Wajah Adam berubah hairan.

Si penunggang tidak menanggalkan helmet. Bungkusan air sirap ikat tepi yang tergantung di pemegang motosikal diambilnya. Lelaki itu memerhati kereta Adam yang diletak betul-betul di hadapan rumah.

"Siapa pula ni ...." Anak mata Adam beralih ke kiri, berpura-pura memandang ke arah lain. Dia berdebar-debar apabila lelaki itu mendekati kereta.

Dia adik Yulia tempoh hari?

Daripada gaya berjalan berhinggut bahu dan riak wajah garang lelaki itu, dia kelihatan seperti orang yang biasa mencari gaduh dengan orang lain.

Mungkin dia ah long yang nak kutip hutang?

Tingkap bahagian pemandu diketuk oleh lelaki itu sebanyak dua kali.

Adam masih memandang terus ke cermin hadapan macam patung.

Lelaki di luar mengetuk lagi.

"Wei, aku tahu kau nampak aku. Buka," arahnya.

Adam mengeluh.

Akhirnya tingkap diturunkan sedikit. Namun, dia masih tegak memandang hadapan. Lelaki di luar terjenguk-jenguk di celah tingkap untuk melihat wajahnya.

"Kau siapa? Kau kenal ke orang kat rumah ni?" tanya lelaki itu dengan nada serius.

Adam menjeling. "Kau tinggal kat sini ke?"

"Kau jawab dulu soalan aku. Kau siapa? Cari siapa?"

"Yu– Yulia," jawab Adam.

"Yulia?" Nada suara lelaki itu kini lebih longgar. "Kau kawan dia?"

"Ya ...?" Adam menjeling takut-takut. Dia harap lelaki itu tidak mengecam wajahnya.

Lelaki itu menjengah ke arah rumah dan kembali memandang Adam. Visor helmetnya dibuka. "Yulia tak balik lagi. Kenapa kau tak telefon dia saja?"

Adam menghembus nafas lega. Memang betul itu adik Yulia.

"Aku telefon, tapi dia tak angkat."

Kedengaran Zarin mengeluh dan merungut. Dia mengeluarkan telefon dan menghubungi seseorang, barangkali Yulia. Dia kekal berdiri di sebelah pintu kereta.

"Hoi," kata Zarin apabila panggilan berjawab. "Ada kawan kau datang rumah ni." Kemudian, dia menjauhkan telefon dari telinga dan memandang Adam. "Siapa nama kau?"

Elok saja soalan itu ditanya, hati Adam ditujah suatu perasaan berat yang meresahkan. Dia mengulang-ulang suatu pertanyaan dalam kepalanya: apa aku buat kat sini?

Adam tergagap-gagap. Kalau lelaki ini mengecam dirinya sebagai Adam Adwa, mungkin dia akan terlibat dalam kehidupan orang lain lagi.

"Siapa nama kau?" Zarin mengulang.

Tangan Adam perlahan menukar gear kereta. "Tak apalah, saya tak jadi jumpa dia. Pergi dulu."

Melihat stereng dipusing, Zarin pun berundur menjauhi diri dari kereta. Dalam keadaan bingung, dia berkata, "Eh, kata nak jumpa?"

Adam memandu terus ke rumah.

Di kawasan tempat letak kereta bangunan apartmen, dia termenung.

Dia buat perangai 'mengikut orang' itu lagi.

Dia tidak sepatutnya melibatkan diri dalam urusan orang lain. Jika dia mula mengikut orang seperti yang selalu dibuat, akhirnya nanti dia yang akan rasa sakit.

Adam mengeluarkan kad perniagaan yang tersimpan di dalam poket jaket.

Dia betul-betul ingin membantu. Mungkin dia patut menghubungi orang tadi yang mengakui diri sebagai abang ipar dan kakak Yulia. Dia boleh saja selesaikan beban masalah baru ini tanpa melibatkan diri dengan Yulia atau orang lain.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now