27

94 8 2
                                    

PAGI esoknya, Yulia muncul di studio dengan sebatang kayu panjang berbentuk silinder. Dia berjalan dengan muka puas hati, meskipun orang yang lalu-lalang di bawah tadi memandangnya aneh. Bawa batang kayu, macam nak berlatih kung fu.

Sampai di tingkat atas, pertama sekali, dia terus masuk ke bilik mesyuarat. Kayu panjang itu disendal pada pintu gelangsar supaya ia tidak boleh dibuka. Pada mulanya, kayu itu agak ketat, tetapi setelah dihentak beberapa kali, ia muat.

Yulia senyum puas hati.

Kemudian, dia pergi ke arah semua tingkap di studio. Di celah lengannya, dikepit sebungkus pengikat kabel yang baru dibeli di kedai Mr. DIY. Semua pemegang tingkap diikat dengan pengikat kabel tersebut supaya tingkap tidak boleh dibuka.

Selepas itu, dia pergi ke pantri. Semua pisau dan peralatan tajam disimpan di kabinet paling tinggi dan hujung.

Sekali lagi, Yulia senyum puas hati.

∞ ∞ ∞

"YULIA, tahu tak kat mana pisau? Saya nak potong kroisan tapi semua pisau tak ada," tanya June. Dia menarik setiap laci bahagian bawah kabinet di pantri.

"Oh, sekejap Cik June," kata Yulia.

"Panggil June saja."

Yulia sengih. Tangannya tangkas membuka salah satu laci. Sebilah pisau dihulur kepada June.

"Pisau ni?" tanya June. Dia mengangkat pisau plastik lut sinar itu setara muka sendiri. Ia pisau yang selalu diberi percuma oleh bakeri apabila beli kek. Langsung tak tajam. Riak wajahnya berkerut.

"Ya, ya. Pisau ni," jawab Yulia. Dia tersenyum dan mengangguk-angguk.

June tak mampu membalas apa-apa kerana Yulia menjawab dengan yakin sebegitu.

"Okeylah macam tu." June menapak keluar dari pantri.

Beberapa jam selepas itu, kecoh sesama orang dalam studio tentang pemegang tingkap yang diikat. Sejak bila tingkap ni macam ni? Kenapa tak boleh buka? Siapa yang ikat? Semua soalan berlegar-legar sesama pengunjung studio. Semua logik jawapan mereka berkata ia sama ada ia keputusan Adam atau Izhar.

Apabila Adam dan kawannya, Muhaimin, muncul dari lif, June yang mula-mula sekali bertanya, "Siapa letak kayu kat sliding door?"

"Tingkap pun tak boleh buka. Semua kena ikat dengan cable tie," sahut seorang yang lain.

Adam dan Muhaimin saling berpandangan. Muhaimin jongket bahu. Dia tak tahu apa-apa.

"Siapa yang buat?" Muhaimin bertanya kembali kepada June. June menggeleng.

Mereka masuk ke bilik mesyuarat untuk melihat batang kayu yang dimaksudkan. Merenung balkoni, Adam terfikir sesuatu. Dia berjalan keluar dari bilik.

"Mana Yulia?" tanya Adam.

"Tadi ada kat pantri," jawab June sambil menggigit kroisan. "Oh, tadi semua pisau pun tak ada tau. Pelik betul."

Adam berhenti melangkah. Dia mengangkat kening ke arah June. June mengangguk, mengiakan apa yang baru didengar oleh Adam tadi.

Adam mengeluh. "Seriuslah budak Yulia ni."

Dia menyambung langkah ke arah pantri, manakala June berpatah balik masuk ke dalam salah sebuah bilik studio.

"Yulia," panggil Adam dari muka pintu pantri. Dilihatnya Yulia sedang tercangak di depan peti ais sambil pegang batang mop.

"Ya, Encik Adam. Boleh, boleh saja masuk. Tapi hati-hati licin."

"Tak apa. Saya berdiri sini."

"Encik sihat ke? Kaki encik sakit ke ... sebab jatuh semalam ...?" Yulia tersengih-sengih canggung.

"Saya okey. Nak tanya, kenapa sliding door tu ada kayu? Kenapa tingkap kena ikat?"

"Aaaa ... tu ...."

Adam mengangkat kening kerana agak lama Yulia menyusun ayat dalam kepala.

"Encik tahu kan, 5S? Sisih, Susun ...." Kemudian Yulia berbisik sendiri. "Apa lagi? Selamat?"

"Saya tahu 5S."

"Haa ... saya fikir, kalau studio ni mula amalkan 5S, senang nanti nak mohon ISO 4...." Dia berbisik sendiri lagi, "Eh, ISO berapa ya ...."

"Dalam 5S tak ada 'Selamat'," kata Adam. Dia bercekak pinggang.

Yulia merenung lantai. "Oh, tak ada eh?"

Kemudian, tiba-tiba mata Yulia membulat. Jari telunjuknya dihalakan ke hadapan dan digoncang-goncang. "Haikal! Haikal! Selamat untuk Haikal!"

Adam menunduk dan mengeluh. Masuk akal pula alasan ini.

Dia tahu, mungkin Yulia buat semua ini disebabkan oleh kejadian di balkoni semalam.

"Yulia, pasal semalam tu, awak salah faham sebenarnya," tegur Adam.

"Saya tahu, encik," Yulia bersuara lirih. Pandangannya turun ke lantai.

"Lain kali jangan buat benda yang tak disuruh."

Yulia mengangguk perlahan. Dalam keadaan tertunduk begitu, nampak macam pelajar didenda cikgu disiplin pula. Adam yang tengok pun naik kasihan.

"Habis tu, sekarang ni, mana awak letak semua pisau?" Adam memanjat kerusi dan membuka pintu kabinet atas satu per satu.

Yulia tunjuk kabinet hujung.

"Sana?" Mata Adam membulat.

Yulia mengangguk. Wajahnya tertanya-tanya.

"Kalau pisau tu jatuh dan kena orang, macam mana? Apa jadi dengan 5S tambah 1S ekstra awak tu?" tanya Adam.

Tangan Adam menggapai tombol kecil pintu kabinet dan menariknya. Dia meraba-raba lalu menarik keluar sebuah bekas panjang.

"Yang ni kan bekas ...."

"Encik baik-baik bekas tu tak ada penutup!" jerit Yulia tiba-tiba.

Dia berlari mendekati Adam dan menjulang tangan ke atas. Namun sudah terlambat. Bekas itu terbalik dalam pegangan Adam. Segala pisau, garpu, dan gunting jatuh macam hujan ke atas kepala Adam.

Bunyi berdenting besi jatuh ke lantai berhenti, tetapi tangan mereka masih kaku di udara.

"Encik Adam ...." Yulia mendongak ke arah Adam. Riak wajah takut dipamer, terutamanya apabila muka Adam merah menyala macam nak meletup.

"Encik Adam ... tak apa-apa ...?" bisik Yulia.

Dia terpandang lengan Adam. Ada garisan panjang berwarna merah akibat dicalarkan pisau. Tidak parah, tapi tentulah tetap sakit.

Adam merenungnya tajam. Sebilah pisau yang terjatuh di atas table top dicapainya, lalu dihalakan ke arah Yulia.

Mulut Yulia ternganga. Perlahan-lahan dia berundur.

"Minta maaf, encik! Saya kemas nanti!" Dia memecut keluar macam peluru.

"Yulia!!!" jeritan panjang Adam kedengaran seluruh studio.

Lari Yulia lari!

"Apa hal? Apa hal?" June dan Muhaimin menjenguk ke pantri. Kelam-kabut mereka berlari.

Dalam masa sama, Yulia sudah pun memecut sampai ke hujung blok. Dia termengah-mengah, bersandar di dinding sebuah kedai runcit. Mata mengintai di bucu dinding. Mujur Adam tidak mengejar.

Dia kembali bersandar ke dinding.

"Haih, beg aku tertinggal kat sana," rungutnya.

Poket seluar ditepuk. Hidung Yulia kembang. Dia senyum bangga. Mujur dia sudah terbiasa simpan barang penting seperti telefon, dompet dan kunci dalam poket. Dari dulu dia sentiasa bersedia kalau-kalau ada kes kecemasan seperti ini atau kalau ada zombie outbreak.

"Kenapalah aku tak terfikir yang bahaya letak atas," rungut Yulia lagi. "Matilah aku lepas ni."

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now