"CUBA pakai ni. Muat tak?"
Yulia mendongak. Kemudian, pandangannya turun kepada sepasang selipar yang diletakkan di hadapan.
"Ni saja selipar yang ada dalam studio ni. Pakailah," sambung Adam.
"Eh, tak apa, Encik Adam. Selipar saya ni boleh pakai lagi." Kedua-dua tapak tangan Yulia digoyang di hadapan Adam.
"Pakai saja."
Adam menolak pintu gelangsar bilik mesyuarat dan melangkah keluar ke balkoni. Pemandangan luar direnung.
"Nanti saya pulangkan balik ya, encik. Terima kasih!" kata Yulia dengan kuat, agar Adam di luar mendengarnya.
Tiada balasan daripada Adam. Namun, Yulia yakin lelaki itu mendengar. Perlahan-lahan Yulia merapati pintu gelangsar.
"Encik Adam, saya nak tanya. Haikal macam mana sekarang?" tanya Yulia dengan nada yang berhati-hati.
Adam menoleh sekilas. "Oh, Haikal. Dia okey. Sekarang ada dengan mak dia. Dah tidur pun."
"Kesian dia ...," balas Yulia.
"Terima kasih, Yulia. Sebab tolong cari dia tadi."
"Ah, tak apa-apalah, encik. Encik Adam pun cari Haikal juga tadi."
Adam meledak tawa kecil. "Kalau ikutkan saya tadi, entah kita akan jumpa atau tidak Si Haikal tu." Dia menggeleng kesal. "Cepat sangat saya putus asa."
Yulia diam seketika sebelum membalas, "Tak apa, encik. Saya memang macam ni. Kalau nak buat sesuatu, atau terlibat dalam sesuatu, saya nak buat habis baik. Kalau celup kaki, biar basah semua."
"Kalau lari, biar selipar putus," sampuk Adam.
Yulia ketawa. Adam turut tergelak kerana terhibur.
"Apa-apa pun, Yulia ... terima kasih."
"Sama-sama, encik. Encik ...." Yulia tunjuk ke arah lengan Adam. Baru kali ini dia dapat melihat dengan lebih dekat. "Lengan encik teruk ke?"
Adam mengangkat lengannya. "Oh, okey ni. Tak ada apa-apa sangat pun. Kalau teruk, mesti dah berbalut."
"Fuh, nasib baik. Saya minta maaf sangat, ya encik. Saya pun kena juga semalam." Yulia ketawa. Dia menunjukkan tapak tangan kirinya yang terluka akibat terkena hujan pisau semalam. Namun, tawanya mati saat melihat riak wajah Adam berubah. "Tak apa, encik. Tak sakit pun. Saya dah letak ubat dan balut ni."
"Luka awak macam lebih teruk daripada saya saja."
"Tak apa, encik. Kalau kita dah biasa, kita tak rasa apa-apa." Yulia tersenyum.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romantik[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...