61

85 5 0
                                    

WAJAH Adam pucat. Bibirnya yang kering dan mengelupas terasa pedih ketika menyentuh air yang disuap. Setelah tiga sudu mencicip air, Adam menolak. Matanya dibuka sedikit untuk melihat siapa yang menyuapnya.

Pembantu rumah.

Adam mengurut dahi. Aneh. Pembantu rumah itu sangat rapat dengannya, tetapi dia telah pun dihantar pulang ke negara asal semasa Adam berusia 13 tahun.

"Bibik, mana mama?" tanya Adam dengan lemah.

Wanita berusia 40-an itu menyuakan lagi sesudu air kosong untuk memujuk Adam.

"Mama ada, tapi mama keluar sebentar. Adam minum dulu ya," pujuk wanita itu.

Riak wajah Adam bertukar muram. "Maksudnya, mama tak ada."

Dia kembali berbaring dan menyelubungkan badan.

"Adam rehat ya. Bibik mahu keluar beli barang sebentar."

"Bibik nak pergi mana?" Bingkas Adam bangun dan duduk.

"Keluar beli barang," ulang pembantu rumah. "Adam jangan pergi ke mana-mana. Duduk saja dalam rumah ya. Bibik pergi ke kedai saja."

Adam mengangguk perlahan. Kemudian, dia kembali berbaring menghadap dinding.

Pembantu rumah meletakkan belakang telapak tangannya pada dahi Adam yang panas. Segera dia menepek kain basah di dahi Adam. Setelah memastikan Adam lena, barulah dia keluar rumah.

Wanita itu tidak sedar, jauh di belakang, Adam mengikutnya. Mata Adam separa terpejam. Dia berjalan terhuyung-hayang di tengah jalan tanpa memakai kasut.

Tiba-tiba sebuah kereta Proton Saga berwarna merah muncul. Kereta itu sempat brek mengejut. Bunyi tayar bergesel tar nyaring. Adam jatuh terjelepok satu meter di hadapan kereta.

"Astaghfirullah, Adam! Adam!" Kedengaran suara pembantu rumah menjerit dari jauh.

Adam rebah dan matanya terpejam.

Apabila dia membuka mata, pandangannya masih kabur. Namun dia tahu dia sedang berbaring di atas katil di dalam biliknya. Suara pergaduhan bergema di sebalik pintu bilik yang terbuka separuh. Adam mendengar suara mamanya.

"Dah tahu budak tu suka ikut orang, kenapa tak kunci rumah betul-betul?" Mama terus memaki dan mencarut selepas itu.

Pembantu rumah cuba mempertahankan diri, tetapi suaranya cuma kedengaran sepatah-sepatah. Dia kalah di hadapan mama.

Kepala Adam tiba-tiba terasa berat. Dia memejamkan mata lagi.

∞ ∞ ∞

SEKALI lagi Adam membuka mata, dia berada di dalam kondomiumnya. Dia merenung siling. Rupa-rupanya tadi dia bermimpi. Kenangan lampau itu masih segar dalam ingatan, seolah-olah selama ini memori itu disembunyikan di suatu tempat dan telah ditemui semula.

Betullah, bibik yang mengasuh dan membesarkannya itu telah pun dihantar pulang sebab kejadian itu. Sebab dirinya yang suka mengikut orang.

Adam merasa dahi sendiri. Masih panas.

Sudah dua hari dia demam panas. Mungkin sebab dia bekerja keras untuk album baru dan konsert. Mungkin juga sebab dia duduk lama di dalam studio yang sejuk.

Mungkin juga sebab Yulia.

Tangannya mencapai telefon di sebelah bantal. Ada beberapa panggilan tak berjawab daripada June, dan beberapa notifikasi mesej. Dia membaca dua mesej yang paling baru.

'Beb, you dah sihat ke? Dapat ke datang rehearsal dengan live band malam ni?' – daripada June.

'Adam, you sakit lagi ka? I boleh bawa you pergi hospital terus. Kita check semua. Reply me okay?' – daripada Lee, penganjur konsert.

Adam melihat jam pada skrin telefon. Jam 11 pagi.

Dia bangun perlahan-lahan dan keluar ke ruang tamu. Tiada kusyen senget. Tiada permainan di atas karpet. Tiada botol air di atas meja makan. Rumah itu telah kembali seperti sedia kala. Izhar sudah keluar dari situ sejak kejadian di pantri tempoh hari.

Mereka bergaduh besar selepas Adam dapat tahu Izhar memecat Yulia. Izhar tidak lagi mahu menjadi pembantu Adam. Selama Adam berurusan dengan mana-mana pihak, dia bersendirian atau ditemani Muhaimin.

Adam kembali ke katil. Kepala terasa berat.

Dia ada masa sembilan jam lagi untuk sembuh daripada demam.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now