67

192 11 5
                                    

ZARIN berhenti mengunyah kroisan setelah ternampak Amalina melintas jalan. Dari jauh, perempuan itu berlari-lari anak dari pejabatnya yang terletak di hadapan kafe ini. Esok Zarin akan melaporkan diri di tempat kerja pertamanya sebagai seorang jurutera. Sengaja mereka merancang untuk berjumpa hari ini untuk meraikan.

"Tu, sampai dah," kata Zarin. Dia memuncung ke arah jalan supaya Yulia melihat ke luar tingkap. Yulia menoleh dan ternampak Amalina sedang melambai. Dia membalas lambaian.

"Weh, cantiknya dia," bisik Yulia. Dia kagum kerana ini kali pertama dia melihat Amalina seanggun itu dalam pakaian pejabat. Amalina memakai sut Muslimah berwarna putih gading, dipadankan bersama selendang dan kasut tumit tinggi berwarna krim.

Yulia tunduk memandang pakaian sendiri – blaus biru lusuh yang dipakai sejak sekolah menengah. Dia mencebik kerana tiba-tiba terasa jijik melihat cita rasa fesyen sendiri. Sekali lagi dia menoleh untuk memandang Amalina.

"Memang dia cantik pun." Terdengar Zarin membalas perlahan.

Amalina tersengih sepanjang jalan. Dia masuk ke dalam kafe dan menyapa mereka.

"Korang dah lama sampai?"

"Baru," jawab Zarin dengan mulut penuh kroisan.

"Maaf, maaf lambat. Lambat pula mesyuarat aku habis tadi." Amalina menarik kerusi di sebelah Yulia dan terus duduk. Yulia dari tadi masih melopong melihat kawannya itu.

"Sibuk betul kau ya, kak. Ayat dan gaya kau dah macam watak 'anak papa' dalam drama Melayu," kata Zarin. Dia menongkat pipi dan membuat muka comel di hadapan Amalina.

"Heh, aku memang pakai macam ni hari-harilah," sergah Amalina. Dia berpusing menghadap Yulia. "Amacam? Cool tak tempat kerja aku?"

Yulia memandang ke luar tingkap, ke arah bangunan lot hujung yang bergaya kolonial dan bercat putih.

"Itu tempat kerja kau? Cool, cool."

Zarin pula tidak memberi reaksi. Kedua-dua belah tangannya memegang kroisan. Mengunyah sampai comot muka.

"Kau ni, dah habis makan ke belum?" tegur Amalina.

Dia memberi isyarat mata kepada Zarin, iaitu menjeling-jeling ke arah Yulia. Zarin terus berhenti makan. Dia menepuk kedua-dua tangan untuk membersihkan habuk roti. Kemudian, dia menyapu mulut pula. Cuma, mulut masih mengunyah.

"Yulia, sebenarnya aku ada benda nak cakap dengan kau," Zarin memulakan bicara.

"Cakap apa?" tanya Yulia.

Dahinya berkerut. Dia memandang Zarin dan Amalina silih berganti. Tiba-tiba, dia berundur hampir bangun. Kaki kerusi yang bergeser lantai berbunyi nyaring.

"Jangan kata yang kau berdua nak kahwin!" Jari Yulia diacu bergilir-gilir ke arah mereka berdua.

"Haisy!" kata Zarin dan Amalina serentak.

"Gila ke apa?" marah Amalina.

"Awal lagi nak kahwin," kata Zarin dalam masa sama.

"Manalah tahu. Kau dua orang ni mencurigakan, tahu tak?" Yulia marah kembali. Dia mengurut dada. Kerusi ditarik ke hadapan semula.

Zarin terus menolak telefon bimbitnya ke hadapan Yulia. Skrin telefon itu juga menghadap Yulia. Padanya, terpapar aplikasi bank dengan baki akaun lima angka.

Mata Yulia terbeliak.

"Macam mana duit kau boleh banyak macam ni? Kau buat apa, Zarin?" gesanya.

Kedua-dua tapak tangan Zarin dihala ke hadapan. "Hah, hah, sebelum kau buat tuduhan bukan-bukan lagi, dengar dulu apa aku nak cakap."

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now