HARI Yulia selalunya tidak berakhir selepas menghantar kereta ke rumah Kak Ngah. Dari rumah Kak Ngah, dia perlu singgah di surau berdekatan untuk menunaikan solat maghrib. Usai itu dia berjalan kaki ke hentian bas.
Jika nasibnya baik, bas tiba pada waktu mengikut jadual. Namun, pada kebanyakan masa, bas di kawasan ini selalu terlambat atau terlebih awal. Ada aplikasi penjejak bas dalam telefon pun bagaikan tak berguna. Kadang-kadang Yulia putuskan untuk jalan kaki saja.
Yulia akan naik bas dan turun selepas dua stesen, hanya untuk mengambil motosikalnya yang diparkir di kawasan stesen LRT. Asalnya, Yulia ingin letak motosikalnya lebih dekat dengan rumah Kak Ngah, namun tahun lepas motosikalnya hampir-hampir dicuri. Parkir di stesen LRT lebih selamat.
Dari situ, dia menunggang balik ke rumah.
Sampai di rumah nanti, dia tidak terus berhenti di rumah. Dia akan menuntun motosikal dari hujung lorong sampai ke rumah, sebab jirannya mengadu bunyi motosikalnya kapcainya bising. Zarin bawa motosikal kapcai juga, tapi budak itu mana ambil peduli.
Sepanjang perjalanannya balik ke rumah dari rumah Kak Ngah tadi, minda Yulia menerawang. Dia terfikir yang hidupnya sekarang sudah lebih baik daripada sebelum ini.
Enam tahun lalu, semasa dia berusia 18 tahun, kehidupan normalnya berubah selepas kakak sulungnya, Fariha, meninggal dunia. Mulai tahun itu, keluarganya bagai ditimpa satu demi satu bencana setiap tahun. Tahun seterusnya, suami Fariha, Fahmi, pula ditimpa kemalangan sehingga mengalami kecacatan kekal. Setahun selepas itu, ayah Yulia pula meninggal dunia.
Dalam keluarga mereka, hanya tiga orang itu yang boleh diharap untuk mereka hidup senang selama ini. Kakak kedua dan ketiga Yulia tidak dapat banyak membantu kerana mereka tidak bekerja selepas berkahwin. Zarin pula baru habis SPM.
Sebab itulah Yulia memilih untuk berhenti belajar demi menjaga keluarga. Dia baru tahun kedua universiti ketika itu.
Biarpun dia mengorbankan pelajaran, Yulia tak menyesal kerana dia tahu, itu saja keputusan terbaik yang boleh dilakukannya demi orang-orang yang dia sayang. Meskipun pada hari ini, dia perlu turun naik bas, berjalan kaki, dan menolak motosikal seperti ini.
∞ ∞ ∞
![](https://img.wattpad.com/cover/357140278-288-k451827.jpg)
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...