PERUT Adam berbunyi-bunyi. Lama dia bermukim di dalam studio sehingga tak sedar hari sudah malam. Kali terakhir dia makan tengah hari tadi. Itu pun kek yang June bawa.
Dia melangkah turun tangga di depan bangunan sambil mengibas-ngibas jaket. Lengannya tiba-tiba terasa pedih. Masih terasa bisa luka terkena hujan pisau beberapa hari lepas.
Punat kunci kereta ditekan. Belum sempat Adam membuka pintu kereta, tiba-tiba dia disapa seorang lelaki yang datang dengan tersengih-sengih.
"Encik, encik! Tunggu sekejap!"
Lelaki itu berusia dalam lingkungan 30-an itu berkulit cerah. Rambutnya jarang-jarang, nampak kulit kepala. Di belakangnya, seorang wanita berwajah bulat mengikut.
Tangan Adam diraih secara paksa untuk bersalaman. Dia terpinga-pinga.
"Encik, encik kerja di tempat ni ke?"
"Ah, ya?"
Lelaki berambut jarang itu memandang wanita di belakangnya. "Alhamdulillah, baguslah." Dia kembali memandang Adam. "Encik kenal tak seorang pekerja di sini, nama Nisrina Yulia?"
"Yulia?" Dahi Adam berkerut.
"Betul, Yulia. Encik kenal?"
Adam berundur. Semakin dekat pula lelaki itu menapak ke arahnya.
"Macam pernah dengar. Ada kut? Kenapa ya?" balas Adam dengan berhati-hati.
"Ha, saya ni abang ipar Yulia. Yang ni, kakak dia. Kami bukan orang jahat! Encik jangan risau!" Lelaki itu ketawa.
Adam angguk-angguk dan tersenyum paksa. Jadi ...?
"Sebenarnya ...." Lelaki itu mengawasi sekeliling. "Kami cuba hubungi Yulia banyak kali, tapi dia tak angkat telefon. Itu sebabnya kami datang ke sini."
"Dah cuba mesej dia?" tanya Adam.
"Ah ... itulah, kami tak mesej dia sebab susah nak cakap guna mesej-mesej ni." Lelaki itu ketawa canggung.
"Dah cuba mesej suara? Voicenote?" cadang Adam lagi.
"Hah?" Lelaki itu terkedu. "Ah ... saya tak pandai benda-benda canggih ni, encik. Haha."
Adam mengangguk-angguk penuh sangsi.
"Kami nak minta tolong encik sampaikan pada Yulia. Untuk jaga mak elok-elok. Duduk rumah, kunci betul-betul."
Melihat Adam yang nampak bingung, lelaki itu mengeluarkan telefon dan menunjukkan sekeping gambar. Kelihatan gambar hadapan sebuah rumah teres dua tingkat. Lantai tempat letak kereta dan dinding luar rumah itu disimbah cat merah. Cat itu seperti dicampak dari luar pagar. Adam terus faham apa yang berlaku.
"Macam ni, encik. Rumah saya dan kakak Yulia ni, kena serang dengan entah siapa-siapalah. Sebab kami lambat bayar hutang, sikit saja pun. Kami anak beranak nak pindah ke tempat lain sementara ini." Abang ipar Yulia itu menunjuk ke arah isteri dan sebuah kereta Honda Civic putih di belakang. Apabila Adam memerhati, dia terlihat kelibat seorang kanak-kanak perempuan sedang bermain seorang diri depan stereng di tempat pemandu.
"Masalahnya, encik. Kami risau kalau-kalau orang tu cari Yulia dan mak mentua saya. Dia orang tahu rumah Yulia dekat mana. Itu yang saya nak beri amaran pada Yulia untuk hati-hati ni," kata lelaki itu.
Dahi Adam berkerut tidak puas hati. "Dah buat laporan polis?"
"Belum. Itulah, kami ni tak berani nak buat laporan. Takut orang-orang tu apa-apakan mak mentua dan adik-adik ipar saya tu."
"Habis tu, nak buat macam mana?" Adam menggosok belakang kepala sendiri. Entah kenapa tiba-tiba dia bertanya, "Banyak ke hutangnya?"
Kening lelaki di hadapannya itu terangkat. "Ah, dalam 10 ribu ringgit."
'Oh, 10 ribu saja,' fikir Adam.
Mata lelaki di hadapannya itu tiba-tiba berubah cerlang. "Encik ni bos Yulia ya? Pengurus? Bos syarikat?"
"Eh, tak, tak. Saya kerani saja!"
"Oh ...." Wajah lelaki itu kecewa.
Adam memandang sekeliling. Ruang tempat letak kereta itu hanya dilimpahi cahaya daripada dua buah lampu sorot besar yang digantung di dinding bangunan. Dua orang di hadapannya ini mencurigakan, tetapi tiada niat mencederakannya.
Baginya, 10 ribu itu bukannya banyak sangat. Kenapa samseng sampai tuang cat ke rumah orang untuk duit sebanyak itu?
"Boleh ke encik sampaikan hal ini pada Yulia?" tanya lelaki itu.
Adam teragak-agak. Tiba-tiba pula dia kena masuk campur hal hutang orang.
"Saya rasa, encik kena buat laporan polis. Tak boleh biar macam ni. Kesian Yulia dan mak mentua encik."
"Ya, betul-betul. Kena buat laporan polis. Saya setuju, encik. Tapi nanti encik beritahu Yulia ya? Jaga mak elok-elok. Kunci pintu. Kami pergi dulu ya? Kirim salam pada Yulia ya?" Sedikit demi sedikit pasangan itu berundur. Sempat lelaki itu menyelitkan kad perniagaannya di tangan Adam, sebelum cepat-cepat berlari masuk ke dalam kereta.
Adam hanya memerhati kereta mereka pergi dari situ.
∞ ∞ ∞
![](https://img.wattpad.com/cover/357140278-288-k451827.jpg)
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romansa[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...