65

96 6 0
                                    

TANGANNYA menyapu daun kering di luar rumah, namun mata Yulia sibuk ke tempat lain. Dia menjeling ke dalam untuk memerhatikan Fahmi.

Sejak kebelakangan ini, Fahmi banyak menghabiskan masa dengan telefon. Pada waktu kebiasaan dia membaca al-Quran pun dia memandang skrin telefon. Yulia jadi tak senang duduk. Telefon itu memang milik Fahmi sejak dahulu, tetapi Fahmi jarang menggunakannya.

"Abang Fahmi nak makan? Yulia dah masak," kata Yulia setelah datang dari dapur. Dia baru selesai masak makan tengah hari.

"Tak apa, Yulia. Belum lapar."

Yulia hanya merenung Fahmi. Renungan itu bukan sahaja tak berbalas, bahkan tak dipedulikan pun. Sebabnya, Fahmi masih sibuk dengan skrin telefon. Yulia tidak dipandang semasa berbual walaupun sekali.

Dia memandang jam dinding. Sudah menunjukkan jam 1.00 tengah hari. Selalunya pada waktu ini, Fahmi sudah sibuk ingin bersiap untuk solat zuhur.

"Abang Fahmi nak siap?"

Fahmi hanya menggeleng tanpa memandang.

Dahi Yulia berkerut. Dia mengambil penyapu habuk dan berpura-pura membersihkan rak di kepala katil. Kepalanya sampai tersenget-senget kerana ingin melihat skrin telefon lelaki itu.

Namun, tak semena-mena Fahmi menurunkan tahap kecerahan skrin.

"Amboi, gelap betul skrin telefon Abang Fahmi. Tengok skrin dengan mata hati ke?" tanya Yulia.

"Hmm."

Yulia mencampakkan penyapu habuk ke atas sofa kerana pertanyaannya tidak dilayan. Penat dia menyindir, alih-alih Fahmi mengiakan saja. Akhirnya, dia keluar semula untuk menyapu lagi lantai luar yang sudah bersih.

"Apa yang sibuk sangat dengan telefon tu sampai lupa dunia keliling?" bebel Yulia seorang diri. Mulutnya terkumat-kamit merungut.

"Itu kenapa, bibirnya moncong?"

Suatu suara menegurnya dari luar rumah. Lantas Yulia menoleh. Kelihatan Reza bercekak pinggang di luar sambil menyeringai. Lelaki itu memakai baju-T putih bersaiz besar bersama seluar jean. Sebuah beg kecil digalas silang di badan.

"Reza? Eh, sejak bila kau ada kat Malaysia?" Yulia mencampakkan penyapu.

"Cepat buka pagar, baru bicara. Panas di luar ni," kata Reza.

Yulia tersengih. Dia mempersilakan Reza masuk ke dalam rumah.

"Cepatlah cerita. Bila kau sampai?" gesa Yulia. Dia menunduk-nunduk untuk mendapatkan perhatian Reza yang sedang menanggalkan kasut.

Reza kembali berdiri tegak. Dia tidak membalas, namun hanya merenung mata Yulia. Dia tersenyum tawar.

"Kamu apa khabar?"

Yulia angkat kening. "Mestilah baik. Kau tak nampak aku sihat walafiat ni? Siap menyapu lagi." Yulia tak semena-mena terus masuk ke dalam rumah. "Abang Fahmi, tengok ni. Reza datang!"

"Ah, Reza!" kata Fahmi. Ketika itu barulah telefonnya beralih dari depan muka.

"Assalamualaikum, Bang Fahmi. Sihat, ya bang?"

Yulia meninggalkan mereka berdua, sementara dia menghidangkan minuman di dapur. Setelah puas berbual, Reza membantu Fahmi berwuduk dan mereka solat berjemaah. Setelah itu, Yulia minta diri untuk keluar.

"Kamu mahu ke mana?" Reza menopang tangan di bingkai pintu. Dia memerhati Yulia mengikat tali kasut.

"Aku nak pergi beli makanan."

"Harus sekarang? Aku bisa beliin."

Mata Yulia melilau ke rumah sebelah. "Tak apalah. Aku pergi beli."

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now