"YULIA datang?" tanya Adam apabila berselisih dengan June.
June menjenguk ke pantri. "Tak datang rasanya. Sebab semalam dia kata hari ni Haikal pergi lawatan sekolah ke zoo .... Kenapa kau cari dia?"
"Semalam dia lari macam tu saja." Adam menunjukkan calar luka di lengannya.
Wajah June cerlang. Dia ketawa.
"Kau nak marah dia lagi ke? Biarlah, kesian dia. Semalam Izhar dah marah dia."
Adam memuncung. Ya-ya saja Izhar tu marah. Izhar sendiri dalam keadaan terdesak perlukan orang untuk jaga anak dia. Mana mungkin dia nak marah budak tu.
"Jomlah. Aku nak kau dengar dulu lagu ni. Naim sampai dalam pukul 9.00 nanti," ajak June.
"Okey jom."
Adam mengikut June masuk ke dalam bilik rakaman.
∞ ∞ ∞
SETELAH yakin tiada siapa yang berada di koridor studio, Yulia berlari berginjat kaki ke arah pantri. Dia tak perlu datang ke studio pada hari ini, tapi dia baru teringat yang ada sebungkus nasi lemak gulai ayam dalam begnya.
Kalau tinggal lebih lama, bau basinya pasti melekat pada beg, dan menarik perhatian orang. Kalau Adam yang terjumpa beg itu, makin susahlah dia nak tunjuk imej baik dan pembersih selepas ini.
Dia mendekati pintu lut cahaya studio rakaman. Ada cahaya di dalam. Barangkali Adam ada di dalam sana. Perlahan-lahan dia masuk ke pantri.
Peralatan pantri yang berterabur semalam sudah dikemas. Nasi lemak basi terus dibuang. Yulia mencium begnya.
"Busuknya bau basi."
Beg dikosongkan lau disembur dengan pewangi. Setelah itu, Yulia pergi ke tandas untuk mengemas batang mop, baldi dan gulungan hos air yang ditinggalkan semalam. Dia kemas semuanya senyap-senyap.
Yulia menyanyi perlahan semasa keluar dari stor. Namun, lirik lagu bertukar latah apabila ternampak kelibat Adam di depan.
"Encik Adam, apa khabar hari ni?" Dia memaksa senyum.
Hari ini Adam hanya memakai baju kasual. Baju-T putih lengan pendek dan seluar jean. Pada lengan kirinya, kelihatan calar panjang berwarna merah gelap. Wajah Yulia menyeringai takut.
"Tangan encik! Saya minta maaf sangat-sangat Encik Adam memang salah saya sebab tak cerdik simpan pisau kat atas tu. Saya tak cerdik encik tapi tolong jangan buang saya encik saya janji saya buat kerja elok-elok lepas ni."
Kening Adam terangkat. Dia memandang kiri dan kanan.
"Saya boleh bayar ganti rugi untuk luka encik!" kata Yulia lagi.
"Oh? Nak bayar ganti rugi macam mana tu? Ganti kulit baru?" Mata Adam membulat. Dia membelek luka sendiri.
"Aaa ...."
"Duit telefon saya pun awak belum ganti. Ni nak ganti organ."
"Saya bayar duit ubat? Duit doktor?" cadang Yulia.
Adam mendesah sinis. Kepalanya menggeleng saat meninggalkan Yulia ke bilik rakaman.
Yulia mengurut-urut dada. Tak adalah teruk sangat dia kena. Dia berjalan ke pantri untuk mengemas begnya, tetapi tiba-tiba telefon bergetar tanpa henti. Panggilan masuk daripada Izhar. Belum sempat telefon didekatkan ke telinga, sudah terdengar suara Izhar menjerit.
"Yulia! Haikal ada dengan awak tak sekarang?"
Darah Yulia berderau. "Encik, kan Haikal pergi lawatan tadika hari ni?"
"Haikal tak ada dalam bas!" balas Izhar.
"Hah?"
Beg terlepas dari tangan. Mata Yulia memandang beg itu yang seolah-olah jatuh dalam keadaan slow motion ke lantai. Seperti babak dalam filem.
"Masa balik, Haikal tak ada dalam bas. Tolong ya, Yulia! Saya baru nak gerak dari Melaka. Mama Haikal dari Putrajaya," suara Izhar kedengaran terdesak dan bergetar.
Yulia terdiam. Dalam kesenyapan beberapa saat itu, dia seperti boleh mendengar jantung sendiri yang berdegup kencang.
"Yulia!" jerit Izhar dari dalam talian.
"Ya, ya, encik! Saya pergi ke sana sekarang!"
Lari Yulia lari.
Sepantas kilat Yulia mengemas beg, berlari ke tingkat bawah dan melompat ke atas motosikal. Tangannya terketar-ketar saat menaip lokasi Zoo Negara dalam aplikasi Waze.
"Yulia! Tunggu!" Tiba-tiba terdengar suara seseorang memanggil dari dalam studio.
Yulia menoleh dan ternampak Adam berlari keluar. Adam mengangkat tinggi kunci di tangannya.
"Jom naik kereta saya!"
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romansa[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...