"MAK you sudah gila, Adam!"
Beberapa orang staf di dalam bilik mekap itu tersentak apabila pengarah konsert masuk dan menghempas fail di atas meja. Pekerjaan mereka terhenti. Adam yang mengikut di belakang terus duduk di meja solek.
"I sudah tengok banyak cerita Melayu. Oh tapi ini kali pertama I jumpa mak jahat macam ini. Drama Melayu pun terkejut tengok mak ini macam," katanya lagi.
Adam hanya mengabaikan lelaki itu. Dia merapatkan wajah pada cermin dan membelek solekan mata.
"Macam mana you pun tak tahu, Adam?"
"I betul-betul tak tahu, Lee," kata Adam perlahan.
Pengarah muda berbangsa Cina itu memerhati belakang Adam. Dia tidak jadi marah apabila melihat Adam hanya tenang.
"Tak apalah, I keluar dulu. Apa-apa you terus panggil I, Adam. You jangan risau ha. Fikir pasal konsert. Nyanyi tenang-tenang. Ini kali pertama you buat kemunculan lepas banyak tahun. Take the chance to prove to them that you're still the same great Adam Adwa."
Adam mengangguk. Setelah Lee keluar, dia mencapai telefon untuk mencari berita yang dimaksudkan tentang mama. Kalau Izhar ada di sini, sudah tentu Adam akan tahu dengan lebih awal.
"Adam, you nak touch up ke?" Seorang jurusolek menghampiri dengan memegang berus solekan. Sedari tadi dia lihat Adam sibuk membelek mekap semasa Lee ada.
"Tak apa." Adam memberi isyarat berhenti tanpa memandang. Langkah jurusolek itu mati. Dia berundur perlahan tanpa banyak soal.
"Okey, Adam."
Wajah Adam berkerut membaca artikel berita dalam telefonnya.
∞ ∞ ∞
LAILA BORHAN NAFI ADAM ADWA ANAK TIDAK SAH TARAF
SHAH ALAM: Penyanyi terkenal, Laila Borhan, menafikan dakwaan bahawa anaknya yang juga merupakan penyanyi pop, Adam Adwa, ialah anak tidak sah taraf.
Dakwaan itu timbul setelah seorang individu menulis komen dalam salah satu hantaran Instagram Laila Borhan yang bertanya tentang gambar Adam Adwa yang tidak pernah ada dalam postingan selebriti terkenal itu.
Menjawab dakwaan tersebut, penyanyi yang pernah dikenali sebagai Diva Malaysia 80-an itu membalas di ruangan komen dengan mengatakan, "8 tahun dia tak pernah hubungi mama dia", yang membuatkan rata-rata netizen terkejut.
"Selama dia hidup, dia hanya ada mama dia. Saya reda dengan pilihan yang dia buat," komen Laila lagi.
Komen tersebut mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengikutnya, sehingga timbul spekulasi tentang status perhubungan dua beranak itu.
"Apa maksud dia Adam hanya ada dia? Bukan ke bapa Adam ada dulu? Bapa Adam tu macam baik je? Ke itu bukan bapa kandung Adam? Habis tu, siapa bapa kandung Adam? Aku fikir bukan-bukan dah ni," komen seorang pengikut.
Sebelum ini, media pernah kecoh dengan gosip bahawa Adam Adwa pernah menghalau ibunya itu keluar daripada kereta di tepi jalan. Namun, tiada sesiapa dapat pastikan kesahihan video tular tersebut kerana rakamannya terlalu kabur.
Walau bagaimanapun, semasa ditemui dalam salah satu rakaman program radio baru-baru ini, Laila Borhan enggan mengulas lanjut dan meminta orang ramai mendoakan kebahagiaan anaknya.
Baca berita selanjutnya:
ANAK PUNCA LAILA BORHAN BERCERAI DENGAN SUAMI PERTAMA
"8 TAHUN DIA TAK PERNAH HUBUNGI MAMA DIA" – LAILA BORHAN
LAILA BORHAN NAFI VIDEO TULAR DIHALAU ADAM ADWA
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...