19

109 5 0
                                    

MALAM itu, Adam perasan yang Izhar pun berperangai serupa macam June. Setelah penat memerhati abang iparnya mundar-mandir di ruang tamu, dia menegur.

"Kau dah kenapa? Ke sana ke sini macam kucing nak beranak."

Izhar nampak teragak-agak. Sebiji macam perangai June tadi.

"Aku dah tahulah. Pasal Laila Borhan," kata Adam lagi. Matanya sibuk pada skrin telefon.

"Oh ... pasal dia ... kau tahu ya ...?" Entah kenapa tiba-tiba Izhar ketawa canggung.

Mata Adam mengecil. Dia seperti dapat mengagak sesuatu. "Bukan sebab tu? Habis tu sebab apa?"

"Er, kau okey tak bila mama kau balik ...?" tanya Izhar. Cuba mengalih topik.

"Okey saja. Bukannya ada apa pun. Biarlah dia nak buat apa."

Tak semena-mena pintu bilik tengah terbuka. Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun berdiri tegak di pintu dengan memakai baju pijama. Dia menenyeh mata.

"Eh, kenapa Haikal keluar? Kenapa tak tidur lagi?" tanya Izhar. Dia memegang kedua-dua bahu anaknya.

Haikal tidak membalas, bahkan dia menatap Adam yang sedang duduk di sofa. Adam mengawasi dengan ekor mata.

"Syaitan," kata Haikal. Wajahnya serius. Matanya masih memandang Adam. "Haikal mimpi syaitan."

Dahi Adam berkerut. Dah kenapa dia yang dipandang bila sebut 'syaitan'?

"Tak ada apa-apalah, Haikal. Mimpi saja. Mana ada syaitan dalam rumah ni. Jom papa teman Haikal tidur." Izhar memimpin tangan anaknya masuk ke dalam bilik.

Setelah 45 minit, Izhar keluar semula dalam keadaan serabai.

"Kenapalah susah sangat budak tu nak tidur," rungutnya.

Adam yang masih di sofa ketawa. "Sekarang baru kau tahu apa yang Melina hadap hari-hari."

"Yalah, aku baru sedar .... Tapi nanti bila kau dah ada anak dan merungut macam ni, aku akan cakap ayat sama; sekarang baru kau tahu apa yang bini kau hadap hari-hari." Ayat akhir Izhar dituturkan dalam nada mengejek.

Adam tertawa.

"Aku tak tahulah nak buat macam mana lepas ni. Dengan nak kerja lagi, nak pick up Haikal lagi, nak menjaga dia lagi," keluh Izhar.

"Kau carilah penjaga sementara. Yang boleh bawa kereta, yang kau boleh percaya untuk jaga anak kau, yang jujur, yang baik hati."

"Mana aku nak cari orang macam tu?"

Semakin kuat Adam ketawa kerana Izhar semakin stres. Dia galak menambah perisa, "Yang paling penting, dia tak ambil tahu pasal dunia artis."

"Makin susah kriteria kau letak." Izhar pula yang terhibur.

Mereka berdua ketawa.

"Adam. Aku nak tanya ni," kata Izhar. Nadanya tiba-tiba serius. Dia duduk di sebelah Adam.

"Hmm?"

"Kenapa kau tak nak jumpa Ila Ramuz?"

Kepala Adam menoleh menghadap Izhar. Dia diam seketika sebelum menjawab, "Entah. Mungkin sebab aku tak rasa nak jumpa?"

"Tapi ... bukan ke dari dulu kau teringin nak jumpa dia, nak bekerja dengan dia, nak dia tulis lagu untuk kau ...? Dia dah lama tak tulis lagu untuk siapa-siapa, tapi dia hubungi kau dari London. Maksudnya dia betul-betul serius ni."

Jari Adam bermain-main dengan sisi telefon. "Biarlah."

Izhar mengeluh.

"Har, aku selesa macam ni. Aku dapat fokus buat lagu untuk orang. Tak semestinya aku kena nyanyi. Orang lain pun boleh nyanyi lagu aku," Adam menjelaskan.

"Tapi Adam Adwa ada satu saja, Adam. Lepas bertahun-tahun, kau berjaya capai lebih daripada kebanyakan artis lain boleh capai dalam Malaysia ni. Lagu kau dah internasional pun. Sia-sia penat lelah dan bakat kau–"

Belum sempat Izhar menghabiskan ayat, Adam sudah bangun dulu dan masuk ke dalam bilik.

Sekali lagi Izhar mengeluh.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now