"YULIA! Yulia!"
Mata Yulia menerawang untuk mencari siapa yang memanggil. Dia ternampak tangan yang melambai-lambai dari dalam restoran yang terletak 30 meter dari bangunan studio.
Setelah berusaha melawan cahaya matahari, akhirnya Yulia nampak siapa yang memanggilnya tadi. Muhaimin. Bersama Muhaimin, ada June dan Adam.
Yulia tersengih apabila Muhaimin menggamitnya supaya masuk ke dalam restoran.
"Jom join makan!" laung Muhaimin.
Dengan berhati-hati, Yulia melintas jalan ke arah restoran. Ruang itu masih tidak ramai manusia kerana baru jam 12.00 tengah hari. June menepuk kerusi kosong di sebelah sebagai isyarat supaya Yulia duduk.
Meja itu ada empat tempat duduk. Oleh sebab June duduk menghadap Muhaimin, maka Yulia duduk menghadap Adam. Rasa macam duduk dalam sesi temu mesra artis dan peminat pula bila duduk depan-depan.
"Kau belum makan kan?" tanya June. "Makan makanan Korea tak?"
"Tak apa, June. Saya singgah nak hai-hai saja." Mata Yulia mengerling ke arah senarai harga yang terpapar di kaunter.
"Kau dah makan ke belum?" ulang June lagi dengan nada garang.
"Belum." Yulia senyum mengalah. Dia kembali merenung senarai menu. Sampai berkerut-kerut. "June dah order apa?"
"Aku pesan benda ni," kata June seraya menunjuk ke arah salah satu gambar dalam buku menu di atas meja.
Mata Yulia beralih-alih resah antara tiga orang di sekelilingnya.
"Kau tak pernah makan kat sini ya?" tanya June.
"Haah."
"Oh ... kalau macam tu, kau tengok dulu menu ni. Take your time."
Yulia khusyuk membaca menu seperti sedang membuat ulang kaji. Dia curi-curi tengok ke arah senarai harga bagi setiap menu, untuk cari yang paling murah. Namun menu harga bawah RM10 pun menu tambahan yang pinggannya sebesar buku lima.
Sedang dia membelek-belek menu, pelayan menghantar makanan yang dipesan oleh June, Muhaimin dan Adam satu per satu.
"Nah."
Yulia mendongak. Adam menolak pinggan berisi beberapa ketul ayam goreng ke arahnya. Riak wajah Adam nampak tak puas hati. Mungkin stres sebab Yulia lambat sangat memilih menu.
"Rasalah dulu ni. Kalau suka, boleh terus pesan yang ni lagi satu," kata Adam.
June pula tiba-tiba mendekatkan pinggan ke arah Yulia. "Boleh rasa aku punya juga."
"Betul ke? Saya boleh rasa ni?"
"Ya ... rasa sajalah," bebel June.
Dengan teragak-agak, Yulia bangun untuk pergi mencuci tangan. Dia kembali dengan muka tersengih-sengih.
"Terima kasih, June, Encik Adam. Saya rasa sikit ya." Yulia mengambil potongan kepak ayam berwarna kemerah-merahan ke dalam pinggan.
Dia menggigit sekali. Sedap. Tapi macam ada yang tak kena.
Cuba gigit lagi. Mencari apa yang tak kena.
Tidak semena-mena, Yulia mengipas-ngipas mukanya. "Ya Allah, pedasnya! Ayam apa ni?"
Adam dan Muhaimin tertawa. Memang masakan restoran ini sangat pedas, bahkan lebih pedas daripada masakan Minang. Tambah-tambah pula Si June memang sangat sukakan makanan pedas, jadi June pesan menu dengan tahap kepedasan paling tinggi.
"Nah, nah, minum air ni." June menghulurkan gelas bersaiz tiga perempat jengkal berisi air sejuk.
Yulia terus meneguk. Sekali dua tidak hilang. Dia teguk lebih. Akhirnya, sampai habis sejag air.
"Pedas lagi. Alamak saya habiskan air. Tak apa, saya pergi beli air dekat 7E."
"Beli susulah, bagi hilang pedas," cadang Muhaimin.
"Tak payah keluar beli. Boleh order lagi air sejuk kat sini kan," larang Adam.
"Tapi lambat, encik! Saya nak air sekarang."
Yulia mengelap mata dan hidungnya yang berair. Dia bangun sehingga terlanggar meja, dan berlari keluar dari restoran.
June dan Muhaimin ketawa besar melihat Adam. Adam terjatuhkan ayam goreng pedas yang dipegang di atas kemeja putihnya. Semuanya gara-gara Yulia terlanggar meja tadi.
"Macam-macamlah kemalangan kau dengan Yulia ni," kata June seraya menggeleng-geleng.
Adam mendecap marah. Dia mengambil tisu yang dihulurkan oleh June.
"Nasib baik kena sikit saja. Kalau basuh boleh keluar ni," rungutnya sendiri.
Dalam masa sama, June dan Muhaimin saling berpandangan. Kemudian mereka menahan ketawa. Muka June nampak kagum.
"Kenapa korang gelak?" Adam hairan.
"Peliklah," kata June. "Selalunya kalau jadi macam ni, kau mesti naik angin. Aku expect kau akan kejar dan marah Si Yulia tu. Tapi hari ni tak."
June dan Muhaimin menyambung ketawa. Dua-dua saling mengiakan umpatan mereka terhadap Adam. Adam pula hanya diam.
Dia pun hairan dengan diri sendiri.
∞ ∞ ∞
ADAM berjalan di sepanjang laluan depan kedai ke arah 7E. Dia mencari kelibat Yulia. Lama sangat Yulia keluar beli air, sampai 20 minit. Mereka semua sudah habis makan. Satu masalah pula menunggu.
Lagipun, Adam sedang berusaha membuktikan kepada June dan Muhaimin yang dia memang jenis tidak mudah berdendam. Dia orang berhati besar yang tolong panggilkan Yulia.
Dia menjenguk ke dalam kedai 7Eleven, namun Yulia tiada.
Adam membelok ke selekoh kaki lima. Dahinya berkerut. Dia ternampak Yulia, nun di blok sebelah.
Perempuan itu sedang duduk bertinggung di hadapan seorang lelaki tua gelandangan. Dengan kedua-dua lengan memeluk kaki, Yulia berbual santai dan bergelak tawa dengan orang tua itu. Dia juga menghulurkan sebekas sandwic dan susu kotak dari kedai 7E.
Hati Adam diserang debar. Kakinya bagai dipaku di situ.
Beberapa saat kemudian, Adam berundur dan berpatah balik ke restoran. Dia mengurut dada.
Dia tidak tahu apa yang berlaku dengan dirinya.
Dia hampir-hampir mahu mengikut orang lagi.
∞ ∞ ∞
![](https://img.wattpad.com/cover/357140278-288-k451827.jpg)
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...