15

135 8 0
                                    

Keesokan hari.

ADAM kaget apabila terlihat Izhar tercegat di hadapan pintu rumahnya. Lelaki itu sedang berdiri merenung langit di celahan terbuka bangunan kondominium. Langsung tidak perasan kelibat Adam yang muncul dari lif.

"Ah, sudah," bisik Adam. Dia merenung bagasi roda berwarna kelabu yang berdiri di sebelah Izhar.

Izhar tersengih macam kerang busuk apabila ternampak Adam.

"Kau buat hal apa lagi kali ni?" Adam menunjuk ke arah beg. "Mana telefon baru aku?"

"Nantilah," kata Izhar dengan harakat panjang, macam mengomel. "Pagi lagi kut. Tengah hari nanti baru aku beli."

Adam mengeluarkan kunci dari poket lalu membuka pintu.

Pagi baru bermula. Lampu di koridor pun belum dipadamkan oleh penjaga bangunan. Sebentar tadi, Adam keluar berjoging sepertimana kebiasaan setiap hari. Walaupun malam tadi dia tidur lewat, tepat jam 7:25 pagi, dia sudah siap mengelilingi kompleks membeli-belah berdekatan rumah. Kompleks beli-belah selalunya dibuka lebih lewat, jadi kawasan itu memang agak lengang pada awal pagi. Selagi tak cukup tiga pusingan, dia tak akan pulang ke rumah.

"Bini aku marah," kata Izhar. Dia menarik beg dan merapati Adam.

"Kau kena halau?" tanya Adam selamba.

Izhar mengangkat bahu dan menjuih. "Tak adalah halau. Aku yang nak bagi dia ruang untuk bertenang."

Adam merenung tak percaya sebelum menggeleng-geleng.

Masuk ke dalam rumah, dia mencampakkan perlahan topi dan kunci ke atas meja makan. Kedengaran bunyi roda bagasi mengekor di belakang.

"Kau nak aku cakap dengan dia?" tanya Adam. Dia membuka pintu peti ais. Botol air sejuk dikeluarkan.

"Tak payah."

Izhar membelek sekampit beras jenis hancur yang berdiri elok di atas meja makan. Plastiknya tercarik di atas. Dia menjenguk ke dalam dan ternampak telefon Adam yang terkambus di dalam beras. Hanya bucu yang kelihatan.

"Apa cerita telefon kau ni?" tanyanya.

"Tak ada harapan."

Izhar tertawa. Dia teringat peristiwa semalam. Selepas mereka selamatkan telefon Adam dari dalam longkang, Yulia terus berlari dan sumbat telefon itu ke dalam beras di dalam bakul motosikalnya. Alih-alih Adam terpaksa pangku sekampit beras sepanjang di dalam kereta sampai ke rumah.

"Kesian akak tu. Entah-entah beras ni nak dibuat makan hari ni," kata Izhar.

Adam mengerling sekilas. "Kat aku, kau tak kesian?"

"Alah, tak ada rezekilah tu dengan lagu-lagu kau. Salah kau juga, kan?"

"Salah kau juga sebab tak pergi servis kereta." Adam tidak mahu kalah.

Izhar hanya menggeleng, malas melayan. Dia meninggalkan bagasinya dan duduk bersandar di sofa.

"Tapi, apa-apa pun, aku macam respect la kat akak tu. Zaman sekarang, bukan senang nak jumpa orang yang sanggup tolong kita. Beria-ia dia dan adik dia tolong. Walaupun cemerkap sikit. Nampak macam orang susah, tapi dia bersungguh nak ganti telefon kau."

Adam mencebik dan mengangguk.

"Dan yang paling aku kagum, sepanjang kau duduk dalam kereta dia, dia langsung tak cam kau, Adam!" Izhar ketawa besar.

Adam tertawa. "Seronok hidup macam tu. Tenang, tak payah ambil tahu pasal dunia luar, terutamanya dunia hiburan. Fokus pada hidup sendiri saja."

Mendengar ayat Adam itu, Izhar tersengih-sengih. Dia mengeluarkan sebuah fail plastik berisi dokumen dari dalam beg. Dokumen A4 itu digoyang ke udara.

"Cakap fasal dunia hiburan .... Adam, kau tengok ni. Aku ada barang baik untuk kau. Ada production drama berminat–"

Belum sempat dia menghabiskan ayat, Adam sudah menggeleng. Kertas di tangan Izhar dirampas dan ditekup ke dada Izhar. Izhar terundur setapak.

"Kalau kau nak cakap pasal benda ni, kau keluar. Aku tak nak dengar. Kau carilah tempat lain nak tidur malam ni," ugut Adam. Dia mendorong tubuh Izhar ke arah pintu.

"Okey, okey. Aku tak cakap. Tak payahlah marah." Izhar mengangkat kedua-dua tangan tanda mengalah. "Tapi betul, Adam. Inilah peluang baik untuk kau kembali ...." Dia terdiam apabila melihat Adam menjegil. "Okey, fine, fine, fine! Kau tak nak, sudah. Aku takkan cakap lagi pasal ni."

Adam mendengus.

"Tapi aku letak skrip ni atas meja ...."

Dalam gerakan perlahan dan waspada terhadap renungan Adam, dokumen itu diletakkan di atas sebuah meja kecil di tepi sofa.

"Aku letak saja. Kau tak nak baca, tak apa. Aku letak saja."

Adam bangun untuk menyimpan kembali botol air ke dalam peti ais. Sambil lalu, dia menendang beg roda Izhar untuk menarik perhatian lelaki itu.

"Ni, isu apa kali ni?" Dia mengerling sambil meneguk air. Kembali ke topik rumah tangga Izhar.

Mendengar soalan itu, Izhar mengeluh dan menghempas badan ke sofa. Kaki dilunjur, lantas dia memejam mata. "Entahlah."

Adam menggeleng.

"Lantak kau oranglah," katanya. Sia-sia menunggu penjelasan. Dia melangkah ke bilik dan menutup pintu.

Izhar merupakan sahabat baiknya sejak sekolah. Sekarang, Izhar ialah pembantu peribadinya. Yang menjadikan hal ini rumit buat Adam ialah, isteri Izhar itu juga kakak Adam.

Rupa-rupanya selama mereka bertiga berkawan rapat semasa membesar dulu, Si Izhar ni ada bermain cinta dengan kakak dia sekali.

Dari luar, dia mendengar Izhar melaung. "Keluarlah, woi. Tengok dunia! Aku ada tiket konsert Taeyang hujung minggu ni. Kau kena ikut aku sebab kakak kau buat hal."

Apabila kata-katanya tidak dibalas, Izhar bersuara lirih, "Ke ... kau nak pergi konsert kat luar negara? Adele? Ed Sheeran? Oh! Kalau kau tak nak Taeyang, kau nak tengok BTS? EXO? GOT7? Kau nak pergi Korea? Atau US? London?"

Tiada balasan.

"BTOB? SEVENTEEN?"

Masih tiada balasan, maka Izhar tidak lagi melaung. Dia mendekati pintu dan mengetuk takut-takut. Suaranya mengecil ketika dia bertanya, "Ke ... kau nak pergi makan? Jom? Teman aku cari sarapan? Aku lapar ...."

Di dalam bilik, Adam menekup kepala dengan bantal.

"Adam, sebenarnya ... ada benda yang aku nak minta tolong kau ni ...."

Bantal beralih dari muka Adam. Dia memandang ke arah pintu, namun Izhar tidak lagi menyambung ayat. Lalu, dia pergi membuka pintu.

Izhar tercangak di depan muka, tersengih.

"Apa hal?" gesa Adam.

"Macam ni ... sebenarnya ... Haikal ...."

Mata Adam membulat saat mendengar nama anak saudaranya disebut.

"Kenapa dengan anak kau?" tanya Adam.

"Melina suruh aku jaga Haikal seminggu. Macam gilir-gilir?" Izhar menjelaskan takut-takut. "Tapi dua tiga hari lepas, aku duduk kat hotel. Takkanlah nak biar Haikal duduk kat hotel seminggu. Kan ...?"

Adam menghembus nafas panjang.

"Guna bilik tu." Dia menunjuk ke arah bilik sebelah. Kemudian, terus menutup pintu.

"Adam, Adam!" panggil Izhar lagi.

"Apa benda lagi?" laung Adam dari dalam.

"Aku baru teringat. Benda ni paling penting sebenarnya. Kau ingat lagi Ila Ramuz? Dia cari kau."

Terus Adam buka pintu. "Siapa? Siapa kau cakap?"

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now