59

86 7 4
                                    

TANGAN Yulia meraba-raba tilam untuk mencapai telefonnya yang bergetar. Ada panggilan masuk. Dia membuka sebelah mata kerana menahan silau, untuk melihat nama pemanggil.

Panggilan daripada Zarin. Namun, belum sempat diangkat, telefon berhenti bergetar.

Yulia meraup wajah. Jam di dinding menunjukkan pukul 7.30 malam.

"Astaghfirullah, aku terlepas Asar," bisik Yulia.

Kepalanya masih berat kerana demam. Perlahan dia menurunkan kaki ke birai katil. Tudung dicapai lalu dia keluar ke ruang tamu. Dia hairan kerana seluruh ruang itu termasuk dapur gelap.

"Ai, Abang Fahmi. Kenapa gelap ni? Mak mana?" tegur Yulia. Dilihatnya Fahmi terbaring seperti biasa, keseorangan di ruang tamu itu.

Mendadak Fahmi mengerling. "Haa ... ada pun Yulia. Mak tak keluar bilik pun. Rasanya mak tidur tu. Dari tadi batuk," balas Fahmi.

"Lah, kesian Abang Fahmi, tak ada sesiapa yang bukakan lampu." Yulia menekan suis. Ternampak wajah lega Fahmi sejurus cahaya kalimantang mencurah di dalam rumah. "Maaflah, Abang Fahmi. Yulia tidur mati tadi. Asar pun terlepas."

"Tak apalah. Yulia demam. Abang Fahmi cuba panggil untuk kejut juga tadi, tapi Yulia tak dengarlah tu."

Yulia mengangguk mengiakan. Dia merenung jam dinding, kemudian ke arah telefon di tangan.

"Zarin tak balik lagi?"

"Tak balik lagi."

"Lah, Abang Fahmi tak dapat solatlah tadi?"

Fahmi menggeleng.

"Lailahaillallah, mana Si Zarin ni?" rungut Yulia.

Kebetulan pula ketika itulah telefonnya bergetar. Panggilan daripada Zarin. Yulia segera menjawab.

"Wei kenapa kau tak balik lagi?" sapa Yulia.

"Helo? Ni kakak Zarin ke?"

Ada suara lelaki lain di hujung talian. Dahi Yulia berkerut.

"Ya, saya kakak dia. Kenapa dengan Zarin?" tanya Yulia. Dadanya mula dilanda gemuruh.

"Kak, tadi Zarin pengsan kak. Saya kawan dia. Dah bawa dia pergi hospital."

Yulia beristighfar. "Kenapa dengan dia?"

Suara panik Yulia menarik perhatian Fahmi. Yulia mundar-mandir di ruang tamu.

"Tak tahu, kak. Tadi dia macam demam, kata nak tidur sekejap sebab sakit kepala. Lepas tu, saya kejut banyak kali dia tak bangun-bangun, kak."

∞ ∞ ∞

SELAIN bunyi-bunyi digital daripada mesin, suasana sunyi menyelubungi wad yang menempatkan Zarin. Yulia memegang dan mengusap jari-jemari adiknya.

"Bertahan, adik. Kau kena bangun," bisiknya.

Sudah sehari semalam Zarin terlantar dalam keadaan koma di katil hospital. Baru pagi tadi doktor mengesyaki Zarin terkena jangkitan kuman dalam paru-paru. Yulia dan keluarga masih terkejut kerana Zarin nampak elok saja tengah hari tadi – atau mungkin sebenarnya mereka tak perasan.

Sepanjang sehari ini, Yulia diserang serba salah. Dia langsung tak perasan tanda-tanda sakit pada Zarin sebelum ini. Dia terlalu sibuk fikir tentang perasaan dan demam sendiri.

Yulia menatap wajah adiknya yang tertutup separuh oleh topeng oksigen.

"Zarin, kau elok-elok ya. Aku dah kena balik ni. Mak dah penat. Tak ada sesiapa nak uruskan Abang Fahmi." Kura tangan Fahmi ditepuk-tepuk perlahan. "Nanti aku datang balik."

Dia merenung Zarin, seolah-olah menunggu adiknya itu membalas. Kemudian, dengan berat hati Yulia melangkah keluar. Dia ingin bawa mak pulang dahulu. Mak barangkali sudah tertidur di surau hospital kerana letih menunggu.

Setelah sampai ke surau hospital yang kosong, Yulia menjenguk ke suatu sudut tersembunyi lalu ternampak mak sedang berbaring beralaskan beg. Dia memandang sekilas ke arah penyaman udara. Terpapar suhu 16 darjah Celsius. Bilik ini terlalu sejuk. Entah macam manalah maknya boleh tidur dengan selesa.

Perlahan-lahan Yulia mendekati mak.

"Mak ...."

Wajah mak nampak pucat. Yulia mencebik kerana rasa bersalah.

Dengan ketiadaan Zarin, mak yang perlu menguruskan Abang Fahmi jika melibatkan persentuhan, seperti membantu mengambil wuduk, pergi ke tandas, dan mandi. Itu pun, baru sekali Fahmi mandi sejak Zarin masuk hospital. Dengan kudrat mak yang sudah berusia 70-an, pasti mak sangat letih.

"Mak ...."

Yulia cuba mengejutkan maknya lagi. Lengan mak ditepuk perlahan.

"Mak ... oh mak ...."

Masih tiada reaksi daripada mak.

Yulia rasa tidak sedap hati. Dalam fikirannya, dia ingin memeriksa pernafasan mak, tapi dia cuma berusaha mengejutkan mak berkali-kali.

"Mak ... bangun mak," bisik Yulia ke telinga mak.

Ibunya itu langsung tidak menguit.

Yulia memegang dada mak. Tiada turun naik. Dia meletakkan jari di bawah hidung mak. Kulit mak sejuk. Tiada pergerakan udara.

Yulia menggoncang badan ibunya.

"Mak! Mak!"

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now