LELAKI itu berdiri berseorangan di bawah pokok sambil memegang segelas jus. Ada ramai tetamu jemputan. Taman persendirian tersebut ditempah khas untuk parti hari lahir anak saudaranya. Belon berwarna-warni diletak bertaburan di atas rumput artifisial. Suara kanak-kanak bermain dan menyepak belon memeriahkan suasana. Meja bulat beralas kain putih diletakkan di beberapa tempat. Tidak terlalu ramai jemputan. Orang dewasa, yang merupakan ibu bapa semua kanak-kanak tadi, berbual sesama mereka.
Mereka semua mengenali Adam, tetapi masalahnya Adam tidak mengenali kebanyakan mereka.
"Adam, kau fikir apa?" tanya Melina. Dia muncul dengan sepiring kek hari lahir yang sudah dipotong di tangan kiri. Tangan kanan memegang garpu. Dia bertenggek pada meja tinggi bulat di sebelah Adam.
Adam mengerling sekilas ke arah kakaknya.
"Tak ada apa. Kau tengok tu," katanya, seraya mengarahkan gelasnya ke arah satu tempat.
Di suatu ruang, kelihatan Izhar sedang bermain dengan Haikal. Mereka nampak sangat gembira. Sesekali Izhar mendukung dan melambung anaknya itu ke udara. Si kecil Haikal ketawa berdekah-dekah.
Melina meneguk air milik Adam sambil menatap tajam pemandangan itu. Melihatkan reaksi Melina, Adam tertawa.
"Terima kasih sebab masih ajak Izhar sekali," kata Adam sambil tersenyum.
"Hah, itu kan bapak dia. Kalau dia tak ada kat sini, sedih anak aku tu. Lagipun, aku tak nak orang banyak tanya." Melina menunjukkan riak muka meluat.
"Yaaa. Kau memang paling baik," sindir Adam, tertawa perlahan.
"Tahu tak apa." Melina mengangkat kening. Rambut panjangnya dilibas ke belakang, lagak seorang diva. Adam hanya ketawa sekali sambil menjuih.
Sedang mereka berbual, Haikal berlari dan datang ke arah mereka. Tangan Melina ditariknya.
"Mummy, mummy! Come play with me! I want to play at the castle!" Haikal melompat-lompat seraya menunjukkan ke arah sebuah istana ambul berwarna-warni di hujung taman. Ramai kanak-kanak sedang melompat di dalam istana kembung itu. "Let's go with daddy!"
Melina cuba menenangkan anaknya yang sedang teruja. Topi parti Haikal yang senget dibetulkan. Tali bawat hitam yang dikancing di seluar Haikal sudah terlondeh dari bahu. Melina menyangkut semula tali itu ke bahu anaknya.
Dari jauh, Izhar hanya berdiri memerhati untuk menunggu respons isterinya. Melina tahu. Jawapan Melina ini bakal menentukan perkembangan hubungan mereka sekarang.
Melina duduk bertinggung di hadapan anaknya. Dia berkata dalam bahasa Inggeris, "Haikal baby, apa kata kamu pergi dengan daddy? Mummy perlu bercakap dengan Pak Su tentang sesuatu yang penting."
"Okey," jawab Haikal sambil memuncung. Dia berpatah balik ke arah ayahnya dengan langkah berseret rumput.
Adam melihat riak wajah Izhar juga sedang menampung rasa kecewa. Namun, Izhar berusaha senyum untuk menceriakan anaknya kembali.
"Jadi, apa yang benda penting yang kau nak cakap pada aku tu?" usik Adam. Dia merujuk pada kata-kata Melina kepada Haikal tadi.
Melina menjulingkan mata ke atas. Dia tidak membalas. Hanya fokus menyuap kek dalam mulut.
"Gosh .... Seriously. Korang gaduh lama tau kali ni. Lepas tu, tak nak duduk bincang," bebel Adam.
Garpu yang dipegang Melina menguis-nguis tepi kek. Dia masih diam merenung kek. "Aku perlu masa la, Adam."
"Berapa lama masa yang kau perlu?"
Melina mengangkat muka ke arah Adam dengan riak tak percaya dengan apa yang didengar. Keningnya terangkat.
"Manalah aku tahu? Mana boleh aku jangka masa untuk benda macam ni. Kau ingat ni macam buat kek ke? Ada ukuran, timing, apa semua ...."
Adam menarik nafas dalam. "Well, somehow kau kena buat macam tu. Kalau tak, sampai bila-bila kau mengelak."
"Aku tahuuu. Ya, memang macam mana pun aku kena duduk berbincang dengan dia. Tapi sekarang, aku cuma perlu masa dulu untuk bertenang."
Cepat sahaja Adam membalas, "Tapi, kau masih kena-"
"Adam." Melina memotong. Matanya menatap mata Adam. "Please! Have some empathy."
Mereka berdua diam setelah itu. Adam memandang ke arah tetamu yang hadir, manakala Melina menyambung menguis potongan kek.
"Satu hari nanti, Adam. Kau akan faham semua ni bila kau dalam relationship," kata Melina perlahan.
Adam melepaskan tawa kecil seraya menggeleng. "Tiba-tiba kaitkan dengan aku."
Belum sempat Melina membalas, matanya menangkap kelibat seseorang yang baru muncul di parti. Seorang wanita berpakaian kaftan putih bersama aksesori berwarna emas masuk dari arah gerbang lengkung bunga. Rambutnya panjang dan digayakan dengan hiasan keemasan. Matanya mencari kelibat orang tertentu.
Dia menjerit kegembiraan apabila ternampak si kecil Haikal. Dia berlari kekok di atas rumput dengan kasut tumit tingginya. Dia memeluk anak itu dan mencium pipi berkali-kali. Langsung tidak tergugat dengan kesemua mata yang sedang tertumpu kepadanya. Haikal ketawa kegelian apabila digomol sebegitu.
Melina cepat-cepat memandang Adam di sebelah. Kening adiknya itu berkerut. Tubuh Adam kaku kerana kaget. Pandangannya hanya tertumpu pada wanita tadi.
Mama.
"Aku yang jemput dia datang," kata Melina.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...