"ASSALAMUALAIKUM, tadaima! Good afternoon, konnichiwa! Ada donat, untuk awak!"
Yulia melangkah ke dalam rumah. Matanya terus tertumpu pada mak yang sedang bergelut untuk mengangkat Fahmi dari atas katil.
"Lah, mak ni. Kenapa tak tunggu Zarin balik?" marah Yulia. Dia menerpa ke arah mereka.
Pasti mak hendak memandikan Fahmi kerana Zarin tak ada pagi tadi.
"Nanti sakit badan, mak. Biar Yulia buat," bebel Yulia lagi. Dia menepuk tangan mak supaya melepaskan pegangan.
"Abang Fahmi dah cakap dengan mak tadi, tak payah mandikan. Dah nak tengah hari pun. Tunggu petang nanti bila Zarin balik pun tak apa. Tapi mak nak buat juga," kata Fahmi.
Yulia mendesis ke arah maknya. "Mak ni, tak boleh kena tinggal sikit. Orang lambat sikit pun mak buat benda bukan-bukan ...."
"Tak apalah," balas mak. Namun, wanita tua itu akur untuk membatalkan niat. Tubuh Fahmi dibaringkan semula ke tilam.
"Mak bukan Galadriel tau. Jangan acah kuat," Yulia mengingatkan.
Melihat keadaan mak dan Fahmi yang bergelut dalam proses itu, tangan Yulia teragak-agak nak membantu, tetapi cuma terawang-awang. Tak tahu nak sentuh di mana, pegang di mana. Akhirnya dia hanya memerhati.
Kelihatan mak termengah-mengah selepas membaringkan Fahmi. Wajah Fahmi pula berkerut-kerut menahan sakit.
Hati Yulia jadi sayu.
Kalaulah Fahmi setuju dengan niatnya untuk berkahwin, pasti mudah untuk mereka semua. Bukan macam sekarang.
Mak boleh rehat sepenuhnya tanpa perlu buat apa-apa. Zarin pula tidak perlu berkorban, menyusun kerja universiti, dan berulang-alik setiap hari. Yulia boleh buatkan semuanya.
Mak masuk berehat. Yulia pula bersiap-siap kerana dia perlu mengambil Haikal di sekolah. Sebelum keluar, dia sempat menegur Fahmi.
"Abang Fahmi."
Fahmi bergelut untuk menoleh, akhirnya hanya mata yang mengerling.
Yulia menyambung, "Yulia lupa nak tanya, Abang Fahmi dah makan?"
"Haah, dah makan tadi." Dia diam seketika sebelum menyambung, "Mak masuk tidur agaknya ya?"
Yulia berpaling sekilas ke belakang untuk melihat pintu bilik. Kemudian dia duduk berdekatan Fahmi. "Tak apalah mak tu."
Bukan mak yang dia fikirkan sekarang. Hari ini, dia tak perlu teman Haikal pun sebab Haikal pergi lawatan sekolah. Semasa menghantar dan mengambil saja Yulia perlu ada.
Sengaja dia balik awal senyap-senyap supaya Fahmi tak boleh berpura-pura tidur. Tapi, tadi berlaku hal riuh-rendah mak dengan Fahmi. Yulia tak berpeluang berbual dengan Fahmi.
Fahmi kelihatan canggung. Sekalipun dia tidak boleh menggerakkan sebelah badannya dan dari pinggang ke bawah, gayanya seolah-olah dia ingin membetulkan segala sendi badan. Yulia membantu mengemaskan selimut yang menutup kaki hingga pinggang Fahmi. Wajah Fahmi diperhatikan seraya tertawa.
"Ada bubur lagi kat bahu tu, Abang Fahmi." Yulia menunjuk ke arah bahu kanan Fahmi.
"Ha ya ke? Tumpah tadi agaknya." Tangan kiri Fahmi berusaha mengusap bahu sendiri, namun dihalang Yulia. Yulia cepat-cepat bangun dan mencapai sehelai tisu.
"Biar Yulia lapkan."
Perlahan-perlahan Yulia membersihkan baju Fahmi. Dia berusaha supaya hanya tisu yang menyentuh baju Fahmi, bukan tangannya, kerana dia tahu Fahmi tidak suka.
"Esok hari lahir Kak Fariha," kata Fahmi tiba-tiba. Wajahnya langsung tidak beriak tatkala dia merenung ke hadapan.
Pergerakan Yulia terhenti, namun dengan segera dia menyambung membersih. Tanpa berkata apa-apa, dia menghilang ke dapur dengan sisa tisu. Dia kembali dengan senyuman.
"Oh?" responsnya tiba-tiba, berpura-pura baru teringat. "Esok ya? Yulia dah lupa."
Fahmi tersenyum pasrah. "Dah enam tahun rupa-rupanya. Kira lima tahun jugalah Abang Fahmi terbaring macam orang tak guna. Menumpang dalam keluarga ni sebab tak ada sesiapa."
Yulia mengeluh perlahan. Dia duduk di kerusi sebelah. Wajah Fahmi diperhati.
"Lima tahun tu, maksudnya lima tahun Abang Fahmi masih hidup ... dan tetap kuat. Selama ni, Abang Fahmi yang buatkan keluarga kita kuat," balas Yulia. Sengaja Yulia tekankan 'keluarga kita'.
Terpejam mata Fahmi mendengarnya. Hidungnya kembang kempis menahan sebak.
"Kita jaga keluarga kita. Kalau Yulia, mak, atau Zarin yang ada kat tempat Abang Fahmi, mesti Abang Fahmi pun akan buat benda sama – jaga kami macam yang kami buat sekarang," kata Yulia lagi.
"Abang Fahmi tunggu nak jumpa Kak Fariha saja ni."
"Janganlah cakap macam tu ...," kata Yulia perlahan. "Kalau Kak Long ada sekarang ni, mesti dia akan suruh Abang Fahmi hidup baik-baik."
Dia bangun perlahan, lantas terus masuk ke dalam bilik. Setelah pintu ditutup, Yulia bersandar padanya. Dada Yulia diserang debar. Bayangan wajah arwah Fariha bermain-main dalam minda.
Kalau kakaknya itu ada sekarang, apa pula yang dia akan kata kepada Yulia? Adakah kakaknya akan mengizinkan dia berkahwin dengan Fahmi, atau marah kerana dia mengkhianat?
"Maafkan Yulia, Kak Long. Yulia tak fikir pasal Kak Long," bisiknya.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...