45

87 6 0
                                    

AKHIRNYA, Adam membawa Yulia sampai ke sebuah kedai LEGO di dalam Pavilion. Dia mengangkat salah sebuah kotak dan menayangkan set LEGO Frozen itu kepada Yulia.

"Tadi, awak tanya saya datang sini nak buat apa, kan? Saya nak beli ni untuk Haikal."

Yulia mengangguk-angguk tetapi kemudian ketawa. "Takkan Haikal nak Frozen kut?"

Yulia mencari koleksi yang ada untuk melihat pilihan lain. Adam pula merapati sebuah kotak tertulis 'Build a Mini' di tengah-tengah ruang. Kotak putih besar itu mempunyai beberapa bukaan bulat di sekeliling. Di dalamnya, terdapat banyak bahagian LEGO yang boleh digabungkan dan dipadankan untuk mencipta watak LEGO sendiri.

Adam memilih kepala LEGO dengan wajah lukisan badut, dipadankan dengan rambut afro berwarna kuning. Untuk badan dan kaki pula, dia memilih baju koboi dan seluar Ninjago merah.

"Ni awak." Watak LEGO itu dihala ke arah Yulia.

Yulia mencebik senyum. Dia menghampiri kotak tersebut dan cuba mencipta suatu karakter juga.

"Yulia," panggil Adam.

"Hmm?" jawab Yulia di sebalik kotak.

"Awak tak nak sambung belajar dah ke?"

Mendengar soalan itu, kepala Yulia terjengul ke atas. Dia memandang Adam dengan riak muka terkejut. Adam hanya mengangkat kening.

"Kenapa tiba-tiba encik tanya?" Tangan Yulia kembali sibuk mencari bahagian kaki LEGO.

"Saja tanya." Jeda seketika sebelum Adam menyambung, "Awak tak rasa macam sayang tinggalkan benda yang awak suka?"

Yulia tersenyum tawar. "Sayang tu memang sayanglah, encik. Tapi sekarang ni, keluarga saya lebih perlukan saya. Cita-cita saya tak sepenting makan minum mereka."

"Siapa lagi yang ada dalam keluarga awak?" tanya Adam.

Mata Yulia naik ke siling kerana sedang berfikir. "Saya ada mak saya, adik lelaki saya dan abang ipar saya. Dua orang kakak saya tak tinggal dengan kami."

Dahi Adam berkerut. "Abang ipar?"

Yulia mengangguk mengiakan. "Abang ipar saya tu sebatang kara. Tak ada mak ayah. Tak ada adik-beradik. Tak ada saudara-mara. Membesar di rumah anak yatim. Lepas kahwin dengan kakak saya, kakak saya meninggal. Abang ipar saya tu pula kena strok, lumpuh bawah pinggang. Sekarang, dia tinggal dengan kami."

"Oh ...." Hanya itu yang mampu dibalas Adam.

Seminit kemudian, Yulia mengangkat suatu figura. "Siap!"

Karakter mini itu diserah ke tapak tangan Adam yang terhulur. Kepala figura itu bersarung topeng Batman. Badan yang selebihnya memakai pakaian Darth Vader. Tangannya memegang gitar sebagai aksesori.

"Sama tak? Macam Encik Adam." Yulia ketawa perlahan dengan nada jahat.

"Memang saya nampak macam ni ke? Semua hitam?"

Yulia mengangkat bahu seraya senyum memuncung. Dia kembali menunduk ke kotak untuk membuat karakter baru.

"Habis tu, siapa yang uruskan abang ipar hari-hari?" Adam menyambung perbualan tadi.

"Mak dan adik lelaki saya itulah. Dia berulang-alik ke universiti hari-hari. Jauh juga."

"Oh ...." Adam menunjukkan wajah simpati.

"Itulah yang buat saya terfikir—Encik Adam jangan beritahu sesiapa ya, termasuk Encik Izhar, ni rahsia saya—yang saya nak kahwin dengan abang ipar saya tu. Tapi dia tak setuju."

Ketika Yulia meluahkan ayat itu, Adam sedang menunduk untuk mencapai bahagian LEGO di dalam kotak. Serta-merta bahagian yang sedang dicapai itu jatuh kembali. Tangan Adam seperti terus longlai.

"Kalau saya kahwin dengan dia, mudah sikit. Saya boleh tolong uruskan dia. Adik dan mak saya pun tak adalah susah-susah ...."

"Habis tu, dia macam mana?" Adam bertanya lirih.

"Ha?" Yulia memandang Adam. Dia kaget kerana wajah Adam sangat serius.

"Dia macam mana?" ulang Adam. "Tak ada kelebihan untuk abang ipar awak?"

"Kelebihan? Ada," jawab Yulia tergagap-gagap. "Dia akan lagi senang. Makin ramai orang boleh tolong uruskan dia lepas ni. Selama ni dia selalu rasa bersalah sebab dia rasa dirinya membebankan kami. Lepas kahwin, bukan ke semua tu takkan jadi masalah?"

Dahi Adam semakin berkerut, seperti sangat marah. Pandangannya hanya merenung lantai.

"Mudah ... beban ... masalah ... itu yang awak fikir bila nak kahwin dengan dia? Macam mana dengan perasaan dia? Apa yang dia rasa bila awak sendiri yang anggap dia tu masalah yang perlu diselesaikan?"

"Encik Adam ...." Yulia bersuara perlahan.

"Tak apalah. Tak guna saya tanya benda ni. Orang macam awak tak akan faham." Adam mengangguk-angguk. "Saya rasa, lambat lagi saya nak balik, jadi awak balik dululah. Terima kasih sebab teman saya."

Sebelah tangan Adam mendepa ke arah pintu kedai, sebagai isyarat supaya Yulia pergi terus dari situ.

Yulia bungkam. Dia benar-benar terkejut. Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari kedai. Perlahan juga langkah diatur sampai ke kereta. Air matanya tiba-tiba menitis. Selama dia hidup, ini kali pertama dia berasa terhina kerana ingin menolong orang lain.

Di dalam kedai pula, Adam merenung figura berwajah badut yang dibuatnya tadi. Yulia memang suka membodohkan diri seperti ini, fikirnya.

Itu yang membuatkan dia sakit hati.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now