DEWAN konsert yang mampu memuatkan 1,600 penonton itu penuh pada malam ini. Meskipun pengumuman konsert Adam Adwa dibuat pada saat-saat akhir, tiket konsertnya habis ditempah pasa sejam pertama jualan dibuka.
Suara hingar orang berbual dan bergelak tawa memenuhi udara dewan sederhana itu. Tempat duduk penonton terdiri daripada dua tingkat. Tingkat atas memuatkan 300 penonton. Di atas sana, ada yang membuka kain rentang yang terpapar gambar Adam. Kelab peminatnya. Ada yang membawa lightstick dan memakai perhiasan neon.
Di belakang pentas, Adam dikerumuni kru pentas yang menyiapkannya untuk saat-saat akhir. Ada yang memasang mikrofon telinga, ada yang memeriksa sistem bunyi, ada yang membetulkan pakaian, dan ada yang mengemaskan solekan. Adam hanya berdiri setempat dan membiarkan mereka melakukan tugas masing-masing.
"Diorang nyanyi lagu Macam Gila," kata ketua kru pentas. Dia memandang ke arah pentas yang dilindungi tabir.
Adam tersenyum. Sepanjang waktu sebelum konsert bermula, muzik instrumen daripada lagu-lagunya dimainkan. Para penonton akan ikut menyanyi.
"Sedia?" tanya ketua kru tadi. Dia membetulkan fon telinga yang dipakai.
Adam mengangguk.
"Okay, legend. Whenever you're ready." Kru itu senyum.
Langkah Adam terus diorak ke tengah pentas di belakang tabir. Dia berdiri sendirian di situ. Mikrofon digenggam erat ke dada. Dia memandang ke arah ketua kru. Ketua kru itu mengangkat ibu jari. Whenever you're ready.
Adam mengeluh perlahan bagi membuang gemuruh. Dia memandang tirai. Seluruh konsert ini bermula dengan dirinya. Dia akan menyanyi sebaris ayat dahulu, dan semua instrumen akan mengiringi.
Mata Adam dipejam.
Saat kalimat pertama keluar dari mulutnya, seluruh dewan konsert menjerit teruja. Namun, suara-suara itu pantas reda sehingga tinggal kata-kata kagum dalam bisikan.
Adam terus menyanyi. Muzik mula mengiringi. Dia menyanyi, dan menyanyi.
Ketika masuk korus pertama, perlahan-lahan tabir diangkat. Seluruh dewan gamat apabila mereka nampak Adam. Penyanyi itu menapak ke hadapan pentas dan melambai-lambai ke kiri kanan.
"Apa khabar semua?" laung Adam sebagai selingan antara nyanyian.
Dewan gamat lagi.
Nyanyian Adam diselang-seli antara lagu lama dan baru. Pada setiap dua lagu, ada sesi ringkas untuk dia berinteraksi dan bercerita kepada penonton. Hinggalah pada jam kedua, iaitu ketika Adam ingin menyanyikan semula lagu zaman kecilnya.
"Saya tahu bunyi lagu ni agak pelik dinyanyikan oleh suara dewasa saya. Tapi saya ingin nyanyikan semula lagu untuk ini mengingatkan anda semua ... yang saya masih Adam Adwa. Terimalah, Cucuk Sanggul."
Para penonton menjerit dan bertepuk tangan.
Adam menyarung tali gitar pada badan. Mikrofon diletakkan pada kaki mikrofon.
Lagu merdu irama Melayu miliknya itu dinyanyikan dengan mendayu-dayu. Semua yang berdiri di terpukau kerana sudah lama mereka tidak mendengar Adam menyanyikan lagu bernada perlahan seperti.
Lampu sorot yang terhala solo ke arah Adam membantunya untuk fokus kepada diri sendiri. Suasana sekelilingnya gelap. Dia seolah-olah bersendirian. Dalam keadaan itu, suatu perasaan singgah di hati Adam.
Dia teringat kenangan-kenangan dulu.
Ketika dia duduk di belakang pentas dan bersorak untuk mama. Ketika mama memeluk bahunya saat kali pertama Adam ditemu bual wartawan. Ketika mama menunjukkan simbol jari 'OK' di belakang komposer apabila Adam berdiri di dalam bilik rakaman.
Memori-memori itu datang silih berganti. Kemudian dia teringat ketika konsertnya sendiri berlangsung di stadium besar. Dia dijemput membuat persembahan di Singapura dan Indonesia. Perubahan fizikal yang jauh lebih mengancam daripada dirinya semasa kecil, menjadikan dia kegilaan wanita di Malaysia. Dia bukan lagi humpty dumpty. Dia berada di puncak kerjaya.
Sambil mengingat kenangan-kenangan itu, Adam terus menyanyi.
Mama menjatuhkannya semasa dia berada di puncak. Wanita itu tidak merestui hubungan Adam dan Suraya. Dia mensabotaj karier teman wanita Adam itu sebagai seorang pemain piano, sehingga Suraya tidak dapat bermain dalam negara. Tidak cukup dengan itu, Adam juga dilibatkan dengan pelbagai skandal dan khabar angin. Dadah, pelacuran, judi, rasuah. Semuanya gara-gara ibu Adam sendiri.
Adam teringat saat dia meringkuk di dalam lokap selama lima hari. Memeluk tubuh sendiri kerana ketakutan.
Air mata Adam mengalir pada saat dia menyanyikan bahagian bridge. Nyanyiannya terhenti. Muzik mati. Seluruh dewan menjadi sepi.
Adam menghela nafas dalam. Bibirnya didekatkan kembali kepada mikrofon. Dia menyambung nyanyian dengan disambut mainan piano. Bagaikan menyokong, pasukan ahli muzik di belakang turut menyambut nyanyiannya.
Tangisan Adam masih belum berhenti. Namun, air mata itu dibiarkan tidak dikesat supaya tidak menarik perhatian penonton dari jauh.
Lagu itu ditamatkan dengan jaya. Seluruh dewan berdiri dan memberikan tepukan gemuruh kepada persembahan yang penuh emosi itu.
Adam tunduk berterima kasih. Dia senyum kepada penonton, lalu berjalan meninggalkan pentas untuk persediaan lagu seterusnya.
Mata kru di belakang pentas tertumpu pada Adam seorang. Kepala mereka bergerak mengikut arah Adam bergerak. Mereka berundur untuk memberi laluan kepada Adam.
"Betul aku cakap. Dia ni memang legend," kata ketua kru kepada orang di sebelahnya.
Kawannya mengangkat kening. "Legend? Dengan banyak skandal dulu?"
Ketua kru ketawa sinis. "Dia legend sebab musnah macam mana pun hidup dia, dia banyak nyanyi lagu yang membangkitkan orang lain. Kau mana tahu. Hanya orang yang pernah merasa musnah akan menyelamatkan orang lain yang musnah."
∞ ∞ ∞
KONSERT itu berjaya. Itu yang dikatakan oleh semua orang. Para penonton keluar dengan wajah puas hati, meskipun mereka berat hati untuk meninggalkan dewan itu. Seluruh kru bertepuk tangan menyambut Adam di belakang pentas.
June memberikan sejambak bunga kepada Adam. Muhaimin pula menepuk-nepuk bahunya.
Adam mengucapkan terima kasih dan meminta diri untuk pergi ke tandas. Dia ternampak seseorang yang berdiri menunggunya di hujung koridor. Orang itu tersenyum tawar.
"Kau pun nak buat muka kesian kat aku?" kata Adam.
"Memang kau nampak pathetic pun," balas orang itu. Dia menghampiri Adam memeluknya.
Mata Adam kembali berkaca-kaca.
"Kau datang, Har."
Izhar menepuk-nepuk belakangnya. "Aku minta maaf sebab lambat."
Kedua-dua mereka tidak melepaskan pelukan. Semakin lama, Adam terasa semakin sebak.
"Aku dah tak larat, Har. Aku dah tak nak semua ni. Aku nak pergi dari sini." Air mata Adam kembali tumpah tanpa segan silu ke bahu sahabat baiknya itu.
Izhar mengangguk-angguk. "Ya, ya."
"Aku nak semua ni berhenti," kata Adam lagi.
"Ya, ya. Aku bawa kau pergi dari sini. Kita pergi dari sini."
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romansa[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...