4

365 15 0
                                    

HARI INI, kalau sesiapa pun yang terlihat Yulia di jalanan, mereka akan rasa dia perempuan biasa. Tidak terlalu bersinar sehingga membuat banyak mata memandang; tidak juga terlalu cela sehingga orang ingin menjauh. Sepertimana biasanya orang-orang yang keluar masuk stesen minyak ini pada setiap hari, dia kelihatan biasa seperti itu.

Pada waktu tengah hari begini, dia selalunya akan singgah ke stesen minyak untuk memenuhkan semula tangki minyak kereta yang kosong. Rancangnya nanti, dia akan duduk di bahu jalan untuk makan tengah hari.

Semalam, dia di bahu jalan di Cheras. Hari ini, dia di bahu jalan di Bukit Jalil. Esok, dia belum tahu di bahu jalan mana dia akan berada. Yang pasti, dia akan berada di tepi-tepi jalan.

Sementara menunggu petrol diisi penuh, Yulia berjalan mengelilingi kereta Bezzanya untuk memeriksa keadaan setiap tayar. Setelah itu, dia mencapai batang pengelap dan membersihkan cermin hadapan dan belakang. Kereta hitam itu sudah mula berhabuk.

Mesti rating rendah, fikirnya.

Sejak awal pagi tadi, hujan turun renyai-renyai tanpa henti. Setiap kali kenderaan keluar masuk di bawah bumbung stesen minyak itu, kesemuanya meninggalkan jejak jalur tayar basah di lantai. Bunyi tayar basah itu saja yang mengisi ruang bunyi. Bukan hanya cuaca yang bersikap dingin. Manusia juga diam menguruskan hal masing-masing.

Yulia memeluk tubuh. Angin tiba-tiba menderu di celah-celah ruang yang ada.

"Bang, okey ke tayar motor tu? Macam tak ada angin tu," dia menegur seorang penghantar makanan Food Panda di pam sebelah. Pemuda berbaju hujan itu basah lencun. Visor helmetnya diangkat untuk berbual dengan Yulia.

"Tayar ni memang macam ni, kak. Saya dah isi angin pun kempis balik," balas pemuda itu sambil tersenyum.

"Hati-hati .... Bahaya hujan-hujan macam ni."

Mereka berdua diam menunggu minyak diisi penuh sambil memerhati hujan turun.

Yulia menyambung berbasa-basi, "Tak berhenti lagi ya hujan ni."

"Itulah, kak. Hujan-hujan macam ni, memang tak jalanlah kita orang ni," balas pemuda itu. "Tadi pun ada lori yang pecut atas jalan. Cuak saya. Baik berhenti dululah."

"Pukul berapa mula hari ni?"

"Pagi-pagi lagi saya mula dah."

"Awal? Samalah kita." Yulia tersenyum.

"Oh? Akak bawa e-hailing ke?" Pemuda itu menunjuk ke arah kereta Yulia.

"Haah."

Pemuda itu mengangguk-angguk. Dia mengangkat nozel dari tangki motosikalnya kembali ke pam. Tempat duduk motor yang terangkat diturunkan. Zip beg petak merah jambu bergambar panda di belakang dikemaskan. Dia naik ke atas motosikal seraya menghidupkan enjin.

"Kejap, kejap!" panggil Yulia.

Si pemuda kembali mengangkat visor.

Yulia cepat-cepat membuka pintu kereta lalu mengambil sebuah beg kertas kecil. Beg itu dihulurkan kepada lelaki tersebut.

"Saya nak bagi ni. Karipap gergasi. Tadi beli lebih," kata Yulia.

"Oh?" Pemuda itu tersenyum. Dia mengambil beg kertas seraya meletakkannya ke dalam bakul motosikal. "Terima kasih, kak!"

"Okey. Elok-elok bawa motor ya."

"Akak pun sama."

Yulia mengangkat tangan sebelum memerhatikan anak muda itu menunggang keluar ke jalan, meredah hujan.

Kemudian, bunyi 'pap' kedengaran daripada nozel, menandakan minyak di tangki kereta Yulia juga sudah terisi penuh. Tanpa sengaja, Yulia menghembus nafas panjang. Urusannya di sini juga sudah selesai, maka dia pun harus kembali masuk ke dunia mencari rezeki.

Kereta Bezza hitam dipandunya perlahan keluar dari hentian sebelah Awan Besar. Matanya mengilas ke skrin telefon yang terletak di pemegang di hadapan. Dia baru mengaktifkan semula kesediaannya untuk membawa penumpang, melalui aplikasi e-hailing. Belum ada penumpang yang menempah.

Sehingga tengah hari ini, memang tidak ramai penumpang. Orang Malaysia masih akan mengelak untuk keluar pada waktu hujan meskipun dengan berkereta.

Bip!

Bunyi notifikasi muncul bersama tetingkap pada skrin telefon. Mesej WhatsApp daripada kawan baiknya, Amalina.

Bila nak lunch dengan aku?

Yulia menekan butang mikrofon pada skrin dan membalas dengan mesej suara, "Mana emoji? Aku tak tahu nada kau."

Tidak lama kemudian, kawannya itu membalas dengan emoji orang utan.

"Cis," bisik Yulia sambil tertawa.

Bip!

Notifikasi telefon berbunyi lagi. Kali ini, bukan mesej daripada Amalina tetapi tempahan daripada penumpang melalui aplikasi e-hailing.

Nama pelanggan, lokasi asal, dan lokasi destinasi terpampang sama. Yulia diberi masa beberapa saat oleh aplikasi tersebut untuk menekan butang 'terima' atau 'tolak'. Selalunya Yulia terima saja semua tempahan; tidak kira jauh atau dekat. Satu, kerana dia akan dikenakan masa penalti jika menolak tempahan. Dua, kerana selalunya dia tidak sempat baca pun apa yang tertera dalam skrin apabila sedang memandu.

Setelah menekan butang 'terima', jari-jemarinya ligat memasukkan lokasi penumpang dalam aplikasi Waze. Penumpang ini ingin pergi ke UIA Gombak dari Puchong.

"Kita akan bawa orang balik ke kampus," katanya kepada kereta.

Pelajar, pelancong, pekerja kolar putih, lelaki bersut, pasangan hangat bercinta, suri rumah, pekerja binaan, remaja lari dari rumah, pengkarya mencari ilham, pekerja asing tanpa dokumen, si bujang dengan sebakul baju dobi; yang diam, yang berbual, yang terkenal, yang mengganggu, yang hanya barang; Yulia sering meletakkan label begitu kepada penumpang-penumpangnya. Sepanjang tiga tahun memandu kereta e-hailing hampir setiap hari, Yulia sudah pernah bawa hampir kesemua jenis manusia (kecuali pembunuh bersiri — isy mestilah tak ada ... kan?). Dia dan para penumpangnya sentiasa sampai ke tempat dituju.

"Ah ... seronoknya belajar di universiti," bisik Yulia.

Sejak tiga tahun lalu, inilah pekerjaan Yulia. Dia dan adiknya saja yang boleh menjaga mak yang telah pun menjadi balu selama 10 tahun. Selain itu, mereka saja yang ada untuk menjaga Abang Fahmi.

Meskipun kereta ini tempat tumpangan sementara ramai orang untuk mendapatkan manfaat, Yulia juga sebenarnya penumpang sementara dalam ruang ini. Kereta ini cuma menjadi miliknya pada setiap hari dari jam 7.00 pagi hingga jam 8.00 malam.

Malam nanti, dia perlu pulangkan semula kereta ini kepada Kak Ngah.

Dia tidak boleh berlengah-lengah.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now