23

106 7 2
                                    

"LAJUUUUUUU."

Yulia menjerit ketika Haikal membonceng di belakang. Namun, motosikal Honda keluaran tahun 1995 itu sejak tadi terbatuk-batuk dan bergerak dalam halaju 50km/j.

Kalau muka Haikal ibarat emoji pada waktu itu, mungkin dia buat emoji mata dan mulut garis lurus.

"Kak Yulia, kalau Haikal tahu motor Kak Yulia macam ni, Haikal naik kereta papa saja," laung kanak-kanak berusia tujuh tahun itu untuk melawan bunyi enjin motor.

"Hei, tak baiklah hina The Flash. The Flash ni kuat tau. Cuma dia tak boleh laju saja."

Lawak Yulia tak bersambut.

"Kak Yulia, lajulah lagi. Macam kura-kuralah motor ni. Haikal lapar dah ni. Dahlah pagi tadi Haikal lambat sampai sekolah sebab motor ni," kata Haikal sepatah-sepatah.

Yulia menoleh ke kiri sedikit untuk mendengar. Dia juga bercakap separa menjerit. "Yalah, Kak Yulia cuba laju lagi."

"Esok kita naik kereta papalah, Kak Yulia."

Hari ini hari kedua Yulia berjumpa Haikal. Semalam, mereka diperkenal antara satu sama lain oleh Izhar. Semalam juga Yulia diberitahu tugasnya dalam pekerjaan ini. Dia perlu menjaga Haikal, termasuk menghantar, mengurus dan menemani anak itu semasa ketiadaan Izhar. Gaji yang ditawarkan Izhar lebih kurang sama dengan pendapatan bersih Yulia sebelum ini.

Sepatutnya, Yulia perlu hantar Haikal dengan kereta Izhar. Namun, dia meminta izin untuk menggunakan motosikal untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Mujur Izhar mengizinkan.

Dalam perjalanan membawa Adam balik ke studio, tumpuan Yulia dan Haikal terganggu dengan kemunculan sebuah basikal yang muncul dari belakang. Tayarnya berpusing laju macam mengejar sesuatu. Dikayuh oleh seorang pelajar lelaki berpakaian seragam sekolah menengah. Budak lelaki itu memintas motor mereka. Dia seperti bersungguh hendak memotong motor Yulia, macam berlumba.

Yulia menjuih kepadanya.

"Tengok tu, Kak Yulia. Basikal lagi laju." Haikal menunjuk ke arah basikal yang kini bergerak seiringan dengan motor. Remaja berbasikal itu menunjukkan muka bangga apabila tayar basikalnya berada lebih hadapan daripada tayar motor. Lebih-lebih lagi apabila dia terdengar si pembonceng motosikal pun memuji kekuatannya.

Namun, bagai tak terkuit pun apabila dicabar, Yulia hanya tersenyum angkuh, seolah-olah dia tahu sesuatu. Sengaja dia senyum lebar-lebar supaya remaja itu nampak. Remaja itu seperti terpengaruh dengan perang psikologi Yulia. Dahinya berkerut, memikirkan apa yang Yulia rancang.

Sudah beberapa ratus meter dia cuba bersaing. Lama-kelamaan, kayuhannya mula goyah.

"Haikal tahu tak," laung Yulia kepada Haikal sambil sengaja menghadap remaja yang sedang mengayuh basikal itu. Motor Yulia masih bergerak pret pret pret. "Kelebihan naik motor ni ... walaupun perlahan ... ialah ...."

Haikal dan budak lelaki berbasikal sama-sama menanti sambungan ayat Yulia.

"... kita takkan penat! Hahahahahahahahaha."

Serentak itu, remaja berbasikal menegakkan tubuh dan menghentikan kayuhan. Bagai ditampar realiti, dia membiarkan basikalnya bergerak mengikut inersia.

Yulia pula terus memecut ke hadapan dengan ketawa palsunya yang tidak habis-habis. Apabila dia sudah ke hadapan, sengaja dia toleh ke kanan supaya budak lelaki tadi masih mendengar tawanya.

Di hadapan bangunan studio tempat kerja Izhar, Yulia menurunkan Haikal berdekatan lobi. Dia menghentikan tawa yang masih bersisa. Puas hati betul.

"Kak Yulia ni, dengan orang yang lagi kecil pun nak bergaduh," bebel Haikal. Dia mengambil beg bekal yang diletak di dalam bakul motor.

"Alah, seronok apa."

Haikal merenungnya dengan wajah mencerut. Yulia mengangkat kening.

"Haih, tunggu apa lagi. Pergi, pergi, pergi!" Belakang Haikal ditepuk perlahan supaya masuk ke dalam. "Masuk dalam. Kak Yulia nak pergi parking motor."

Haikal bergerak sambil mata menjeling tajam ke arah Yulia. Dia tersenyum sinis. Acah-acah matanglah tu.

Yulia membalas dengan senyuman sinis juga. Sengaja nak sakitkan hati budak kecil.

Setelah dia bekerja dengan Izhar begini, jadual kehidupan bekerjanya masih sama seperti dahulu, tetapi kurang tekanan. Dia tidak perlu pergi ke sana sini menghantar penumpang. Kerjanya cuma mengambil Haikal dari rumah dan menghantar ke sekolah pada waktu pagi; mengambil Haikal dan menghantar ke studio pada waktu tengah hari; dan menemani Haikal kalau Izhar ada urusan. Dia tiada masalah menjaga Haikal sebab dia suka kanak-kanak.

Yulia bersyukur sebab laluan hidupnya mulai mudah. Mungkin ini kebaikan apabila dia bekerja keras selama ini.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now