SI PEMANDU berkali-kali memutar kunci kereta untuk menghidupkan enjin. Hanya sekali dua bunyi spark yang kedengaran. Itu pun bagai bunyi batuk tidak lepas.
Wajahnya mulai berpeluh dan gelisah.
"Tak boleh juga ke, Har?" tanya Adam di belakang. "Tiba-tiba saja mati ni."
Si pemandu, Izhar, menekan butang lampu kecemasan untuk memaklumkan kereta-kereta di belakang.
"Aku pun tak tahulah. Nampak gaya macam bateri kong terus ni," jawab Izhar. Dia cuba menghidupkan enjin kereta sekali lagi.
Mendengar bunyi hon bertali arus di belakang, Izhar membuka pintu kereta. Dia keluar ke belakang dan cuba menguruskan trafik.
Waktu sudah hampir malam tetapi mereka berdua tersangkut di tengah-tengah kesesakan jalan raya. Jalan raya utama di dalam bandar itu sesak dengan kenderaan orang yang baru balik dari kerja. Masa inilah tiba-tiba kereta nak rosak di tengah jalan.
Izhar kembali dan menoleh ke arah Adam di belakang. Adam sudah pun merapat ke hadapan dengan kedua-dua lengan bertenggek pada bahu kerusi hadapan. Wajahnya juga resah.
Dengan ragu-ragu, Izhar memandang pakaian formal Adam atas bawah. Kemudian dia berkata, "Macam kena tolak ke tepi ni, Adam. Kau pun tahu kan, aku tak boleh."
"Okeylah." Kedengaran Adam mengeluh.
Perlahan-lahan dia menanggalkan kot yang dipakai, membiarkan hanya kemeja putih dan tali leher pada badan. Dia keluar ke belakang kereta; meletakkan kedua-dua tangan pada but kereta, bersedia untuk menolak. Kenderaan-kenderaan lain serta-merta berhenti menekan hon dan memberi laluan kepada mereka untuk meminggir ke tepi jalan.
Izhar membuka pintu dan menjempul ibu jari ke luar sebagai isyarat. Adam menolak sekuat hati. Ketika itu, ada seorang anak muda keluar dari sebuah kereta lain untuk membantu menolak.
Setelah beberapa minit, kereta mereka selamat diubah ke tepi.
"Aku telefon company insurans," kata Izhar dari dalam. Adam mengangguk seraya menutup semula pintu kereta dari luar. Mereka terpaksa berkomunikasi begitu kerana tingkap kereta juga gagal diturunkan.
Adam bersalaman dengan anak muda yang datang membantu tadi sebagai tanda terima kasih. Anak muda itu berlari kembali ke arah kereta Perodua Viva yang sudah dihentikan di hadapan kereta mereka. Dia juga sempat mengangkat tangan ke arah Izhar.
Adam menyambung menggerak-gerakkan tangan kepada kenderaan lain sebagai isyarat supaya menukar lorong. Laluan kecemasan di sini agak sempit, jadi kereta mereka seperti menghalang terus laluan kiri.
"Adam, hati-hati, Adam," kelui Izhar dari dalam kereta.
"Ya, tahulah!"
"Aku cari kereta lain kejap."
Adam sekadar mengiakan dengan gumam. Pandangannya mengilas ke arah jam tangan. Entah ada atau tidak kereta e-hailing yang sanggup masuk ke jalan sesak begini pada waktu-waktu maghrib.
Dalam tempoh dua minit itu, Izhar keluar, bersandar pada badan kereta, dan masih cuba menghubungi trak penunda. Adam masih cuba melencongkan trafik.
"Driver ni boleh pula cancel booking," bebel Izhar tiba-tiba. "Mesti sebab dia tak nak redah jam."
"Aku dah agak dah," balas Adam sambil ketawa pahit.
"Aku dah berjaya book satu lagi. Harap-harap yang ni tak cancel-lah."
∞ ∞ ∞
LEBIH kurang 15 minit selepas kejadian kereta mula-mula rosak tadi, Izhar berjaya menempah sebuah kereta e-hailing untuk Adam menyambung perjalanan ke Cheras. Izhar tidak ikut bersama kerana menunggu trak penunda sampai. Dia akan menguruskan kereta sampai ke bengkel.
"Ni Encik Izhar ke?" Pemandu menurunkan tingkap dan mengesahkan.
"Ya, saya. Ni Yulia?" balas Izhar pula.
"Betul, saya. Jemput masuk, encik!"
Mereka saling melaung untuk melawan suara enjin-enjin kenderaan yang bergerak di sebelah. Yulia lihat, penempah itu tidak masuk ke dalam kereta, tetapi kawannya sahaja.
"Saya tak naik. Kawan saya ni yang naik. Akak bawa dia elok-elok ya. Tolong jaga dia."
"Oh."
Izhar tersengih kerana Adam merenungnya tajam di belakang.
Setelah kereta bergerak, hanya sekali Adam menyapa Yulia di hadapan. Selebihnya dia bersandar di tempat duduk belakang. Mata dipejam untuk melepas lelah.
Sebuah lagu berdendang di corong radio. Mata Adam kembali terbuka.
Macam Gila.
Dia kenal benar akan lagu ini.
Lagu itu lagu Adam. Melodinya dicipta oleh Adam, lirik ditulis oleh Adam, dan lagunya dinyanyikan oleh Adam sendiri. Lagu pop rock tersebut pernah menjadi lagu hit dalam negara sepanjang tahun, pada lapan tahun lalu.
Yang membuatkan dia terkejut adalah kerana lagu ini dimainkan semula di radio setelah lapan tahun.
Adam tersenyum.
Dia terfikir tentang betapa dia berbahagia dahulu. Dia dijemput menghadiri majlis-majlis pada setiap masa. Hujung minggunya tidak pernah senyap daripada jemputan. Wajahnya dijamah lampu kamera pada setiap ruang yang menjadi laluan. Namanya dilaung dari segenap ceruk suara milik mata yang memandang.
Pada waktu itu, dia tidak perlu terlalu berusaha mencari orang untuk diikut, kerana semua orang mengikutinya.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Lãng mạn[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...