49

80 6 0
                                    

15 tahun lalu.

SETELAH dikejutkan dengan bunyi kaca berkecai di dapur, Adam berlari turun ke tingkat bawah. Langkahnya berhenti di anak tangga terakhir. Dia memasang telinga.

"Sampai hati kan, kau Zaril? Aku buat macam-macam untuk kau selama ini!" Suara seorang wanita menjerit lantang.

Mata Adam terbeliak. Sepanjang 13 tahun hidup, ini kali pertama Adam mendengar wanita itu beraku-kau dengan orang tersebut. Kepala Adam menyenget ke kiri untuk melihat di mana kedudukan mama dan Zaril, bapa tirinya, tapi masih gagal. Barangkali mereka berada berdekatan kawasan dapur basah.

"Aku buat apa?" Terdengar suara garau Zaril menuntut, dengan suara lewah.

"Tak payah nak berlakonlah, Zaril. Aku tahu apa kau buat ...," mama menyindir.

"Aku buat apa ...?" sampuk Zaril. Dia pun kini beraku-kau.

"Aku tahulah apa kau buat .... Belakang aku, Zaril, belakang aku, kau dengan perempuan tu."

"Perempuan mana?"

"Tak payah nak buat-buat tanya perempuan mana."

"Tak. Betul ni. Perempuan mana? Aku tanya ni." Zaril bersuara tegas. Satu per satu perkataan disebut dengan jelas.

Mama hanya diam.

"Tengok? Bila aku tanya, tak jawab." Zaril mula menguasai pergaduhan. "Tadi kau cakap aku buat benda dengan perempuan lain. Mana? Apa buktinya?"

"Kau jangan berdalih-dalihlah, Zaril. Aku sendiri nampak dengan mata kepala aku sendiri, kau dengan perempuan tu dekat club."

"Dah tu? Kenapa tak serang kat sana? Kenapa tak marah aku terus kat sana?" lawan Zaril. Mama tidak membalas, lalu Zaril menyambung, "Kau, kalau nak tuduh bukan-bukan, tak payahlah, Laila. Tak payahlah nak reka cerita. Semua orang kenal sangat dengan perangai kau, Laila. Kau reka cerita macam mana pun, orang takkan percaya kau."

"Aku tak reka ceritalah ...," kata mama perlahan. Nadanya sekarang seperti seorang anak kecil yang memberontak. Keyakinannya awal tadi langsung hilang.

"Ikut you-lah, Laila. I dah malas nak layan drama you."

Sangka Adam yang masih berdiri di tangga, pergaduhan itu akan ada ayat penutup. Rupa-rupanya tidak. Tiba-tiba Zaril terpacul di depannya. Zaril terpempan, namun dia merengus dan berjalan melepasi Adam. Terus menghempas pintu utama dan keluar dari rumah.

Dada Adam berombak kelegaan. Umur mereka berdua hanya berbeza 11 tahun, dan Zaril masih ada sisi baran anak muda remaja.

Tidak lama selepas itu, mama pula yang muncul. Mata mama mengecil merenungnya. Wajahnya langsung tidak marah atau sedih.

Adam berundur perlahan sambil mata terpaku kepada mama.

Mama berpeluk tubuh sambil sebelah tangan memintal rambut gaya ombré-nya. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah Adam dengan tatapan penuh makna.

"Kau tengok apa?" katanya sambil tersenyum sinis.

Renungan mama mengingatkan Adam kepada Haris, seorang budak lelaki di sekolah, apabila Haris menarik Adam ke belakang surau sekolah. Haris juga memerhatikan Adam sama seperti itu, memikirkan anggota badan mana di badan Adam yang akan dibelasah dahulu, atau kata-kata penghinaan mana yang akan dikatakan kepada mama Adam.

Pandangan Adam jatuh ke lantai apabila mama semakin hampir. Tangannya menggeletar. Dia menggeleng teragak-agak.

Jari telunjuk mama yang memintal rambut tadi menujah bahu kiri Adam berkali-kali. Kepala Adam semakin tunduk.

"Kau suka, kan? Tengok semua ni?" Mama tersenyum. Dia menunduk dan mencari pandangan mata Adam.

Kelam-kabut Adam menggeleng sambil melarikan pandangan.

"Kalaupun aku macam ni, aku ada semua benda," mama berbisik mengingatkan. "Jauh lebih banyak dari apa yang kau ada." Jarinya kembali menujah. "Kau faham?"

Adam mengangguk takut-takut.

"Kau jangan sekali-kali ingat, kau boleh gelakkan aku. Kau tak wujud kalau aku tak ada. Aku bintang. Aku yang bagi cahaya pada kau."

Dia merenung Adam sambil tersenyum. Puas hati apabila melihat kepatuhan Adam yang tidak berbelah bagi.

"Faham?" Peringatan mesra terakhir.

Adam tidak mengangguk atau menggeleng. Dia hanya kekal menunduk seperti tadi.

Wanita itu menepuk-nepuk bahu Adam sebelum akhirnya naik ke tingkat atas. Dia menyanyikan melodi lagu kegemarannya — daripada album paling popularnya pada tahun 2000-an.

Setelah bunyi daun pintu tertutup kedengaran, sekonyong-konyong itulah Adam terduduk di atas anak tangga. Nafasnya tercungap-cungap. Entah mengapa suara tawa Haris si pembuli bersama kawan-kawan bergema dalam kepalanya.

"Adam belon!"

"Wei humpty dumpty nak lalu!"

"Bagi laluan, bagi laluan! Nanti perut dia sangkut."

Hidupnya bagai menjinjat kaki di lantai rumah sendiri. Setiap hari ialah waktu hidup atau .

Adakah dia benar-benar suka menyanyi?

Penyanyi ialah manusia yang dia paling benci.

∞ ∞ ∞


Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now