52

81 6 0
                                    

"BESAR dah budak-budak tu."

Yulia menoleh. Fahmi sedang merenung anak-anak jiran yang ligat bermain di permainan bersama Zarin. Yulia ikut memerhati.

"Betul. Yulia pun rasa cepat sangat diorang membesar," kata Yulia. Kakinya berayun-ayun di bangku taman seperti anak kecil.

Sekilas Fahmi memandangnya dan tersenyum.

"Yulia ingat tak, dulu, masa Yulia kali pertama masuk asrama? Abang Fahmi, Kak Long, mak, ayah ... semua pergi hantar Yulia. Yulia tingkatan empat ya masa tu? Abang ingat lagi sebab masa tu abang dan Kak Long baru kahwin."

"Aih tak payahlah ungkit cerita tu!" Yulia ketawa penuh aib.

Fahmi ikut ketawa perlahan.

Yulia masih ingat, pada hari pendaftaran tersebut, dia diketawakan oleh Fahmi dan Fariha kerana menangis teresak-esak macam budak kecil. Sepanjang hidup Yulia, itu kali pertama dia berjauhan lama dari rumah dan keluarga. Yulia hampir-hampir merayu kepada mak dan ayah supaya membawa dia pulang.

Baginya, cukuplah dia belajar di sekolah biasa dekat-dekat rumah.

"Malulah, dah besar panjang pun menangis lagi," usik Fariha ketika itu dengan nada penuh keibuan. Dagu Yulia dipegang. Yulia segera memeluk Kak Longnya.

"Sedihlah Kak Long."

"Hingus pun keluar," usik Fahmi yang berdiri di belakang Fariha.

"Abang Fahmi ni!" marah Yulia. Dia mengesat air matanya.

Fariha menahan ketawa. Sebelah tangannya mencubit pinggang Fahmi supaya berhenti mengusik.

Ajaibnya, selepas diusik begitu, Yulia beransur-ansur berhenti menangis. Rasa sedihnya juga hilang. Selepas itu dia mampu ketawa dan saling mengusik Fariha dan Fahmi, sebelum mengucapkan selamat tinggal.

Mengingatkan kenangan itu, Yulia tersenyum. Terasa seperti baru semalam ia berlaku, walaupun telah banyak yang berubah daripada kejadian itu. Dia telah mendewasa menjadi seorang wanita; Fariha dan ayah telah meninggalkan mereka selama-lamanya; Fahmi dan mak kini memerlukan bantuan meskipun untuk berjalan. Bibir Yulia tercebik.

Jeritan lantang seorang kanak-kanak di taman menarik perhatian Fahmi dan Yulia. Mereka seolah-olah tersedar dan keluar kembali daripada lohong fikiran masing-masing.

"Yulia tahu tak," Fahmi tiba-tiba berteka-teki lagi. "Sampai hari ni, bila Abang Fahmi tengok Yulia, abang akan nampak Yulia yang sama macam di asrama dulu tu. Lawak bila ingat, yang bila dengan orang lain – termasuk mak dan ayah pun – Yulia tak pernah menangis. Tapi dengan Kak Long, tiba-tiba jadi macam budak kecil, meraung. Kak Long tu dah jadi macam mak Yulia, dan Yulia pula macam anak Kak Long."

Mendengarkan ayat itu, Yulia terus memandang wajah Fahmi. Dia cuba memahami apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh lelaki itu.

"... sama jugalah bagi Abang Fahmi," sambung Fahmi.

Yulia tertunduk. Matanya berair.

Bagaikan anak bagi Kak Long ... begitu juga bagi Abang Fahmi.

"Macam anak-anak jiran tu ... walau besar macam mana pun diorang nanti, pada mata Abang Fahmi, diorang masih ialah bayi yang abang dukung dulu."

Tiada balasan daripada Yulia.

Fahmi barangkali menyedari keadaan Yulia sekarang, lalu dia ingin berterus terang.

Dengan suara yang lembut dan menenangkan, dia berkata, "Yulia, tentang niat Yulia untuk kahwin dengan abang, abang faham niat Yulia. Abang Fahmi tahu, Yulia sentiasa fikir yang terbaik untuk keluarga kita. Yulia baik. Tapi Yulia, tak semua hal boleh diselesaikan dengan berkahwin."

Fahmi menyambung, "Dari dulu lagi, Yulia macam ni. Sentiasa utamakan orang lain. Abang cuma harap, Yulia fikir untuk diri Yulia pula – apa yang Yulia nak kejar dan impikan. Terutamanya hal-hal yang melibatkan hati. Berkahwin ni ... tak macam kita korbankan milik kita untuk beri kepada orang lain. Berkahwin itu berkongsi. Kita memberi dan kita juga menerima. Ia tak boleh berlaku dengan kita hanya ingin memberi."

Yulia masih diam sejak tadi.

"Kalau kita kahwin, abang akan jadi orang yang menerima bagi Yulia. Betul tak? Dan Yulia akan sentiasa jadi orang yang memberi," kata Fahmi lagi. "Abang tak tahulah macam mana bagi Yulia, tapi bagi abang, abang tak suka hidup yang macam tu."

"Walaupun abang ni macam ni ...." Fahmi menyambung sambil memandang kakinya. "Abang pun kalau boleh nak ada pilihan, ada hak untuk memilih bagi hidup abang sendiri." Dia memandang Yulia. "Dan abang harap, Yulia mula fikir tentang hak Yulia ... tentang hati Yulia sendiri."

Ketika itu, air mata Yulia menitik. Oleh sebab dia sangat menunduk, air mata itu tidak meleleh ke pipi, tetapi jatuh terus ke tanah. Dia mengangguk-angguk tanda faham. Air mata dikesat dengan lengan baju.

"Tengoklah tu. Cengeng," usik Fahmi, selamba. "Malunya kalau Zarin nampak."

"Haisy Abang Fahmi ni!" Yulia tertawa geram.

Dan seperti dahulu, selepas diusik Fahmi, Yulia berhenti menangis.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now