KCAK! Kcak! Kcak!
Bunyi ketik kamera bertali arus menyerang ke arah pintu masuk utama sebuah stadium di Bukit Jalil. Lampu flash putih meletup-letup di hadapan mata. Bunyi alat itu lebih bingit daripada suara manusia.
Di belakang kumpulan wartawan dan jurukamera, kedengaran riuh-rendah suara orang ramai. Mereka sedang memanggil nama seseorang yang sedang berjalan laju dari dalam lobi stadium.
Lelaki yang memakai kot biru gelap itu berhenti berhampiran pintu. Tubuhnya berputar ke kiri dan kanan sambil melambai perlahan. Dia berusaha agar tidak memandang terus ke arah letusan cahaya yang menyasarkannya.
"Adam! Kiri, Adam! Kiri!"
Dia berpaling ke kiri dan tersenyum.
"Tengah pula!"
Dia kembali menghadap ke hadapan sambil menyegarkan senyuman.
"Sini, Adam!"
Wajahnya berpaling ke kanan. Kali ini, jari-jemarinya membentuk isyarat hati kecil. Flash kamera kembali galak.
Adam mengangguk sekali ke arah para wartawan. "Cukup, ya?"
"Okey!" Beberapa orang daripada mereka menyahut puas hati. Ada yang melaungkan soalan, tetapi Adam segera meneruskan langkah ke arah kereta yang sudah menunggu setelah diminta oleh pengiringnya.
Semasa pintu tempat duduk penumpang kereta itu tertutup di belakang, suara pertanyaan dan sorak-sorai kian sayup dan tenggelam dalam kesunyian isi kereta.
"Adam! Dua minggu lepas, buat apa di airport? Pergi bercuti luar negara ke? Lama menyepi, bila Adam Adwa nak buat comeback?"
Adam bersandar dan memerhati keriuhan itu di sebalik cermin gelap kereta.
Tidak sangka pula ada orang dapat mengecamnya di lapangan terbang tempoh hari.
Ingatannya kembali pada memori ketika berada di Itali dua minggu lalu.
Malam itu, dia sedang duduk dalam kalangan penonton di dalam panggung opera Teatro alla Scala.
Pada suatu ketika, seluruh panggung itu digelapkan kecuali untuk suatu susuk tubuh genit seorang wanita muda yang sedang berdiri di atas pentas. Wanita itu memakai pakaian penari ballet berwarna putih bersih. Langkahnya halus-halus menginjak di hujung jari kaki, manakala tangannya gemalai mengikut melodi suara penyanyi opera yang sayup di belakang.
Adam memejamkan mata dan cuba mengimbau kembali bunyi yang didengar di sana. Dia ingin bertumpu pada satu bunyi.
Saat si penari ballet gemalai mengikut irama muziknya, ada bunyi viola, biola, selo, hap ....
Ah, dan itu pun bunyi yang dicarinya. Piano.
Adam kembali membuka mata.
Pasti Suraya marahkannya sebab datang dan pergi tanpa memberitahu.
Dia memandang keluar menerusi tingkap gelap. Para wartawan masih mengambil gambar. Para peminat mengerumuni dan melambai. Mereka tidak nampak Adam, tetapi Adam dapat melihat mereka.
Pemandu di hadapan beberapa kali memandang melalui cermin pandang belakang.
"Adam, kita pergi ambil anak aku dulu, boleh?" kata pemandu itu.
Adam memejamkan mata. "Okey."
Dia sedang terfikir, perlukah dia menurunkan tingkap untuk membalas lambaian orang-orang di luar sana?
Ah, peduli apa? Dia bukan lagi seperti dahulu.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romansa[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...