16

122 8 0
                                    

Seminggu kemudian.

SAAT kereta sedang membelok di sebuah lampu isyarat, telefon Yulia berbunyi. Telefon itu masih terletak elok pada pemegang telefon di dashboard kereta. Nama mak terpapar pada skrin.

Kereta dihentikan di tepi jalan. Yulia menekan butang jawab.

"Ya, mak." Dia diam mendengar. "Yulia nak hantar kereta kat Kak Ngah. Habis kerja dah." Kemudian dia diam lagi. Kali ini lama. "Buku teks Sofea? Basah semua? Macam mana beg boleh jatuh longkang?"

Sofea anak sulung Kak Langnya.

Selepas mendengar jawapan daripada emak, Yulia berkata, "Sofea jatuh sekali ke, mak? Dia okey tak?" Kemudian dia berkata lagi, "Kenapa dengan Kak Lang?"

Suara mak kedengaran dalam talian, "Dia tak cukup duit, Yulia. Bisnes laki dia tak berapa laku dua tiga bulan ni. Nak makan pun susah."

Entah macam mana, Yulia rasa panas hati. Dua minggu lepas, baru saja mak beritahu yang Kak Lang senyap-senyap datang ke rumah dan berjumpa mak semasa Yulia dan Zarin tiada, dengan memakai gelas emas baru.

"Berapa Kak Lang nak guna untuk beli buku-buku tu, mak?"

"Mak pun tak tahulah, Yulia. Dia tak bagi tahu betul-betul pula berapa ringgit. Tapi banyak buku juga yang jatuh. Dia kata buku Bahasa Melayulah, Matematiklah, Pendidikan Islamlah, sekali dengan buku aktiviti dan buku tulis semua rosak. Buku Super Minds tu yang mahal tu."

"Seratus ringgit cukup, mak? Yulia tak tahu harga buku teks," jawab Yulia.

"Cukup kut. Sekejap lagi mak telefon balik, tanya dia."

"Yalah. Nanti mak bagi tahu Yulia balik. Yulia transfer duit kat dia."

Setelah panggilan ditamatkan, Yulia memandang ke luar tingkap. Dia baru hendak memerhati tempat dia berhenti. Sebuah kawasan padang permainan yang kosong. Barangkali padang ini meriah sejam ke 30 minit lalu, ketika azan maghrib belum berkumandang. Sekarang, semua orang sudah pulang ke rumah masing-masing.

Yulia memerhati sekeliling dari dalam kereta untuk memastikan suasana selamat. Kemudian, dia mengeluarkan dompet. Di dalam dompet itu, terdapat enam helai not RM50; dua helai not RM20; tiga helai not RM10; tiga helai not RM5; dan 12 helai not RM1.

"RM397," bisik Yulia.

Dia menggaru kepala. Sekejap lagi, dia perlu membayar RM350 kepada Kak Ngah untuk sewa kereta sepanjang tiga hari setengah yang lepas. Baki RM30 lagi, dia ingin guna untuk isi petrol sebelum pulangkan kereta kepada Kak Ngah. Selebihnya yang RM17 itu dia ingin tinggalkan di dalam dompet sebagai duit kecil untuk pulangkan baki duit penumpang.

Dia membuka pula aplikasi dalam telefon. Dia baru saja bayar RM800 kepada bank semalam, sebagai bayaran hutang pinjaman peribadi mak. Kepalanya mula membuat kira-kira apabila melihat jumlah simpanan dalam bank dan aplikasi e-hailing. Jumlahnya dalam RM50. Cukuplah untuk hal kecemasan seperti ini.

Dia memindahkan kesemua wang dari aplikasi e-hailing ke dalam akaun bank.

"Boleh lagi ni," bisiknya.

∞ ∞ ∞

"KAN Kak Ngah cakap yang Kak Ngah nak 350?" Wanita berusia awal 30-an itu menghempas punggung di atas sofa baldu. Matanya menatap tajam wajah Yulia.

"Sorry, Kak Ngah. Yulia memang ada cukup tadi. Tapi tiba-tiba mak telefon, kata buku anak Kak Lang jatuh longkang. Dia tak cukup duit nak beli. Buku tu pula kena beli malam ni juga sebab esok sekolah. Yulia dah isi minyak tadi. Cuma duit shot 50 ringgit. Esok Yulia bayar kat Kak Lang." Yulia berusaha senyum untuk menenangkan kakaknya.

Kedengaran Kak Ngah merengus. "Macam-macamlah kau ni, dik. Kan Kak Ngah kata nak duit on time, usahalah cari duit nak bayar. Manusia kan berlambak kat tepi jalan nak naik kereta. Takkan Kak Ngah pula nak kena keluar mengemis 50 ringgit tepi jalan, angkut anak apa semua."

Yulia terdiam. Dia hanya duduk bungkam di ruang tamu rumah kakaknya itu. Tak berani mengangkat suara terhadap kakak yang berusia lapan tahun lebih tua daripadanya. Kak Ngah seorang suri rumah yang membesarkan dua anak lelakinya. Melihat keadaan rumah Kak Ngah yang bersepah dengan permainan, Yulia tahu yang kakaknya itu tertekan dengan tugasan harian.

Di celah jeriji tangga di tingkat atas, kelihatan anak bongsu Kak Ngah, Adrian, yang berusia empat tahun memerhati mereka sejak tadi. Sekali-sekala Yulia nampak kelibat suami Kak Ngah lalu. Lelaki itu mengabaikan saja mereka berdua.

"Kalau macam tu, Yulia bagi 300 ringgit dulu, boleh ya, Kak Ngah? Esok Yulia bagi baki 50 ringgit, dengan 100 ringgit sekali untuk sewa esok," cadang Yulia.

Kak Ngahnya menunjukkan wajah mencerut.

"Ni, Kak Ngah nak cakap dengan kau ni," kata Kak Ngah.

"Apa dia, Kak Ngah?"

"Kak Ngah dengan Abang Ngah nak jual kereta tu. Ada orang nak beli."

Yulia memandang lama wajah kakaknya.

"Kenapa? Kau tak setuju? Kau setuju ke, tak setuju ke, Kak Ngah bukannya tanya pandangan kau pun ni," tegur Kak Ngah.

"Bila Kak Ngah nak jual? Siapa yang nak beli tu?" tanya Yulia.

"Adalah. Kawan Abang Ngah."

Yulia mengerling ke tingkat atas. Mana tahu kalau-kalau abang iparnya itu mendengar sama perbualan mereka berdua. Namun, tiada sesiapa kelihatan.

"Mak tahu ke pasal ni?" tanya Yulia lagi.

"Eh? Yang nak sampai bagi tahu mak ni dah kenapa?" bangkang Kak Ngah.

"Kak Ngah, kalau tangguh dulu jual kereta tu, boleh ke? Yulia kena cari cara lain nak kerja. Ambil masa juga nak fikir ni, kak."

"Yulia, kau tak bolehlah buat macam ni. Minta macam-macam. Tanya macam-macam. Macam Kak Ngah ni yang ambil harta kau. Padahal kereta tu kereta Kak Ngah. Kak Ngah ada hak pada harta Kak Ngah, kan?"

"Ya," perlahan Yulia membalas.

"Macam inilah. Kau tahu kan, Kak Ngah tolong kau ni, Kak Ngah tak untung mana. Kak Ngah rugi. Tapi sebab nak tolong adik-beradik, Kak Ngah buat juga. Tak apa kalau Kak Ngah tak jual kereta tu, tapi Kak Ngah terpaksa naikkan sewa jadi 250 sehari. Macam mana?"

Mata Yulia membulat.

"Kak Ngah ... pasal ni ...."

Belum sempat Yulia membuka perbincangan, kakaknya sudah terlebih dahulu bangkit sambil mengibas baju kaftannya menuju ke dapur, dan meninggalkan Yulia termangu seorang diri di depan. Terdengar keletang-keletung bunyi periuk, barangkali Kak Ngah masak makan malam.

Yulia mengerling ke arah tangga. Ternampak Adrian tersengih di tingkat atas. Sambil tersenyum, Yulia membuat gaya memegang gelas dan minum, sebagai isyarat meminta anak saudaranya itu mengambilkan minuman. Si kecil Adrian mengangguk dan terkedek-kedek turun ke dapur untuk mengambilkan air. Yulia dahaga betul waktu itu. Kalau dia berjaya dapat minum air segelas, anak saudaranya itu automatik akan naik darjat jadi anak saudara kesayangan.

Usai minum air sejuk (pandai juga Si Adrian ni ambil air sendiri), Yulia mengeluarkan dompetnya. Wang tunai sebanyak RM300 dikeluarkan. Tanpa menunggu kakaknya datang ke ruang tamu, Yulia meletakkan wang itu di atas meja kopi. Dia kenal benar telatah kakaknya itu. Kalau Kak Ngah mengabaikan dia, maksudnya Kak Ngah sudah tak mahu tengok mukanya.

"Kak Ngah, Yulia tinggal duit ni atas meja ya," laung Yulia.

Tiada balasan dari dapur.

Yulia memandang Adrian yang memandangnya berkelip-kelip di sebelah. Pipi Adrian dicubit sambil matanya melihat jam dinding. Sudah lambat. Dia pula belum solat maghrib.

Tiada guna dia teruskan memujuk Kak Ngah hari ini untuk tidak menjual keretanya. Esok dia akan cuba lagi.

"Bye, Adrian," bisik Yulia sambil melambai perlahan. Dia berundur ke arah pintu.

Adrian yang tidak faham dengan apa yang berlaku hanya memandang Yulia seperti tadi tanpa bergerak sedikit pun. Dia memerhati saja Yulia menutup pintu rumah dari luar.

Bukan Adrian saja yang tidak faham. Barangkali orang dewasa pun tak faham melihat hubungan dua beradik itu.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now