ANTARA peristiwa besar yang berlaku adalah semasa Yulia berumur 10 tahun. Sesuatu berlaku pada hari itu. Yulia masih ingat yang dia tidak pernah berlari sekuat itu sambil melaung sepanjang jalan menghala ke rumah. Dia berkaki ayam. Sekali-sekala hampir tersadung sabut-sabut kelapa yang ditekup di sepanjang jalan buat melapik tanah berlecah. Lorong bersemak itu lembab kerana hujan baru berhenti.
"Mak! Ayah!" laung Yulia lagi, berkali-kali.
Apabila sampai di hadapan rumah, dia melaung lagi. Kaki dan hujung seluar yang habis berlumpur diabaikan saja.
Tidak ada yang menyahut, tetapi kepala seorang remaja perempuan terjengul keluar di tingkap rumah. Kakak sulungnya, Fariha.
"Kenapa ni, Yulia? Kenapa lari?" Fariha memerhati denai ke arah jalan utama. Dia seperti tidak sedap hati. "Mana Kak Ngah dengan Kak Lang?"
Yulia tidak menjawab. Dia terus menyambung berlari ke belakang rumah. Di situ, barulah dia ternampak kelibat dua orang yang dicari di tengah-tengah bendang. Mak sedang tertonggeng-tonggeng menuai padi, dengan gumpalan kain batik di atas kepalanya. Ayah pula sedang mengumpulkan batang-batang pokok padi ke sebelah tong untuk membanting.
"Ada apa kamu menjerit-jerit ni, Yulia?" laung mak dari jauh. Dahi mak berkerut melihat anak perempuannya itu kelam-kabut di bawah pokok macam lipas kudung.
"Mak, naik, mak! Naik cepat!"
Melihat gaya Yulia, kedua-dua orang tua itu pun mula risau. Mereka segera menghampiri tebing bendang. Tatkala naik ke atas, mak sudah separa berlari.
"Kenapa ni, Yulia?" tanya ayah. Lelaki tua yang kurus itu mengangkat pinggang seluar lusuhnya yang melorot.
"Kak Lang, ayah! Kak Lang kena pukul dengan Pak Su, sebab mencuri!"
Mak dan ayah saling berpandangan dengan panik. Yulia tidak menunggu mereka lagi. Dia berlari berpatah balik ke tempat mula-mula dia datang tadi — rumah Pak Su.
Rumah bapa saudaranya itu besar dan gah. Antara yang paling agam di kampung itu. Rumah itu terletak di tepi jalan utama kampung. Tidak perlu berjalan jauh ikut denai-denai seperti rumah Yulia. Meskipun Pak Su lebih muda daripada ayah Yulia, Pak Su lebih kaya dan berjaya. Pak Su juga yang banyak membantu keluarga mereka selama ini.
Suara jeritan Pak Su kedengaran jelas apabila Yulia sampai di hadapan rumah agam.
"Aku tak ajar anak sedara aku pencuri!"
Lelaki berusia 40-an itu bernafas tercungap-cungap. Tangannya menggenggam seutas tali pinggang kulit. Matanya berair hampir menangis. Di sebelah, Mak Su memegang dada Pak Su, kerana menghalangnya daripada terus memukul gadis genit di hadapan.
"Nurul dah cakap banyak kali dah kan, Pak Su? Nurul tak mencuri!" Seorang gadis berambut pendek dan berseluar jean duduk terjelepuk di hadapan dua orang tua itu. Riak wajahnya langsung tidak terpapar emosi takut. Bahkan dia nampak amat bengang dan terhina.
Keadaan gadis itu nampak menakutkan kerana tangannya sedang digari pada tiang besi rumah Pak Su. Gari itu pasti milik Pak Su kerana Pak Su bekas anggota polis.
Yulia memerhati dengan penuh gelisah dari jauh. Kepalanya menoleh ke belakang setiap beberapa saat, kerana menunggu mak dan ayahnya yang masih belum tiba.
"Kalau ya pun, tak payahlah nak gari-gari, nak pukul-pukul, macam Nurul ni penjenayah!" marah gadis yang bergari.
"Astaghfirullahal 'azim! Ya Allah, anak aku," laung ayah Yulia dari jauh saat dia ternampak anak ketiganya itu bergari di tiang. Air mata mak dan ayah Yulia serta-merta jatuh berjuraian. Kaki mereka bagai longlai di hadapan Pak Su, dan mereka berdua tersungkur di atas tanah.
"Minta ampun, Su. Ampun. Anak aku tu, Su," kata ayah lagi. Sambil melutut di atas tanah, dia menyatukan kedua-dua tapak tangan untuk memohon kepada adiknya sendiri. Mak Yulia juga mengikut sama melutut.
Di tengah-tengah dua pihak itu, Yulia berdiri bagai seorang juri. Matanya sekejap ke arah Pak Su, sekejap ke arah ayah dan maknya, sekejap ke arah kakaknya di tiang.
Wajah Yulia seperti tenang, namun sebenarnya dadanya berdegup kencang. Dia merasakan yang dia tidak layak memandang ke mana-mana kecuali ke tanah.
Akhirnya Yulia berlari ke sebelah ayahnya. Dia duduk melutut dan ikut merapatkan kedua-dua tapak tangan.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...