SUARA pengumuman oleh juruterbang mengejutkan Adam daripada tidur. Dia menolak penutup mata naik ke dahi. Suasana dalam kapal terbang itu masih kelam. Hanya lampu penunjuk arah di lantai dan lampu di ruang pramugari di belakang yang menyala. Dia nampak beberapa gerakan di sana sini. Kebanyakan orang juga baru terjaga, sama sepertinya.
"We are expecting to land in Haneda International Airport approximately ten minutes ahead of schedule. The weather in Tokyo is clear and cold, with a low temperature of 19 degrees tonight."
Suara juruterbang kedengaran tenggelam timbul.
Adam memandang ke luar tingkap. Kelihatan bintik-bintik cahaya dari selatan tanah Jepun, bagai bintang terang. Pesawat itu terbang seiring perairan barat negara itu.
Setelah beberapa jam tidak nampak apa-apa di luar sana, akhirnya keresahan Adam hilang. Dia memandang Izhar yang masih tidur di sebelah. Kawannya itu tidur dalam posisi yang tidak selesa. Kepalanya lentok ke laluan. Pasti nanti sakit leher.
Dia bangun dan pergi ke tandas di belakang. Apabila dia kembali, lampu dalam kabin itu telah dinyalakan sepenuhnya. Dua orang pramugari sedang menyediakan makanan di hujung laluan.
"Bangun dah?" tegurnya apabila sampai di tempat duduk.
Izhar mengangguk. Dia menenyeh mata dan mengurut leher. "Sakitnya tengkuk aku. Kenapalah aku lupa bawa pillow neck ...."
Adam hanya tersenyum. Dia mengemas barang-barang yang tidak lagi diguna ke dalam beg. Fon kepala dipakai. Playlist lagu dalam Spotify dimainkan.
Izhar juga mengemas begnya. Dia membelek zip tepi, dan terjumpa sebuah beg berzip kecil sebesar tapak tangan. Beg kecil itu dihulur kepada Adam.
"Eh, ni kau punya kan? Macam mana ada dalam beg aku?"
Adam mengambil beg itu. Fon kepala ditanggalkan. "Dah lama aku tak jumpa beg ni. Patutlah. Ada dalam beg kau rupanya." Dia membuka zip. "Ada apa dalam ni ...? Aku pun tak ingat."
Di dalamnya, ada satu set pengecas telefon, bekas airpod, dan sepasang karakter mini LEGO. Tubuh Adam seolah-olah kaku. Dia mengeluarkan kedua-duanya dan meletakkan di tapak tangan.
Dia memusingkan figura LEGO badut yang terbalik, lalu mendekatkan dengan figura satu lagi. Figura Darth Vader yang memakai topeng Batman itu ditatap.
Mana gitar dia? Fikir Adam.
Dia mencari di dalam beg kecil. Mujur gitar itu ada, cuma tersembunyi di celah barang lain. Gitar diletakkan semula di tangan figura.
"Sama tak? Macam Encik Adam."
Dia terbayang wajah dan suara Yulia yang ketawa.
Adam menggenggam longgar tangannya. Dia kembali memandang ke luar.
Sudah banyak tahun berlalu, namun hatinya masih terasa sesuatu setiap kali teringat kembali wanita itu. Dia mana dia berada? Bagaimana keadaannya? Soalan-soalan itu terapung dalam kepala Adam. Namun, dia tidak pernah cuba mencari jawapan.
Itu yang terbaik untuk hatinya.
Namun, dia tetap berharap Yulia sedang hidup senang dan aman, di sisi sesiapa yang dia pilih.
∞ ∞ ∞
LANGIT Tokyo cerah tak berawan.
Adam menyeluk kedua-dua poket jaket kulit yang dipakai. Lengannya dirapatkan ke badan. Musim luruh Jepun memang semacam suhunya. Sejuknya lebih menyengat daripada Eropah.
Di belakangnya, Izhar sedang mengunci pintu bilik AirBNB. Pintu itu berjarak hanya setengah meter dari jalan. Mulutnya merungut-rungut di sebalik skarf. Barangkali masih marah kerana pilihan tempat duduk pesawat dan penempatan oleh Adam.
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...