KERETA yang dipandu oleh Yulia berhenti di hadapan bangunan fakulti Zarin di dalam kampus. Dia menjenguk ke cermin hadapan untuk melihat siling lobi. Rasa nostalgik.
"Kau berhenti depan sanalah. Sana kosong," arah Zarin. Telunjuknya dihala ke hadapan.
Yulia akur. Dia memberhentikan kereta buat sementara di sebelah sebuah kereta lain yang sedang diparkir.
"Okey sampai. Jap, tunggu kawan aku datang."
"Kau pergi tunggu dekat dalam sana sajalah. Tak pasal-pasal aku kena tunggu sekali," bebel Yulia.
"Panaslah dalam tu. Sini ada air-con."
Yulia menjulingkan mata ke atas. Tiba-tiba dia macam jadi pemandu Si Zarin ni.
"Yulia, kau tak berdosa ke guna kereta company untuk urusan peribadi?" tanya Zarin.
"Diamlah. Ini kereta bos aku, bukan kereta company. Bos aku yang cadangkan aku hantar kau." Yulia menjeling. "Yang kau ni pun, dah sampai sini baru nak cerita dosa pahala. Dekat rumah tadi, sebelum gerak, kau tak ungkit pasal ni?"
"Nanti kau tak nak hantar aku."
"Oh, masa tu kau tak rasa berdosa."
"Rasalah juga. Kalau kau berdosa, aku pun berdosa sebab aku enabler. Sepatutnya aku pemimpin kaum wanita di rumah tu," jawab Zarin dengan muka serius.
Yulia ketawa terbahak-bahak. Pemimpin kepala kren dia.
"Ha itu dia kawan aku dah datang! Bye!" Zarin cepat-cepat keluar dari kereta sebelum Yulia sempat memulangkan paku buah keras. Dia berlari ke arah dua orang pelajar lelaki dan tiga orang pelajar perempuan yang baru sampai ke hadapan bangunan.
Yulia tersenyum melihat pemandangan itu.
Lanyard, beg galas, baju kurung. Sama macam 'seragam' Yulia semasa belajar di universiti dulu. Disebabkan Yulia tidak dapat menghabiskan pengajian dulu, dia rasa tidak puas menikmati zaman tersebut.
Bagaimana khabar rakan-rakan sepengajiannya sekarang? Pasti sedang mengejar kerjaya masing-masing, ataupun mungkin ada yang sudah berumah tangga. Pada umur-umur Yulia ini, jemputan kenduri kahwin daripada kawan-kawan sudah mula rancak.
Mungkin kawan baiknya, Atiqah, akan berkahwin tidak lama lagi.
Di universitinya dulu, Atiqah merupakan antara pelajar paling cantik dalam kalangan rakan sepengajiannya. Apabila berjalan bersama, Yulia ibarat pengapit dan Atiqah ialah pengantinnya. Seri mereka tidak pernah sama.
Disebabkan Yulia selalu berkepit dengan Atiqah ke mana-mana, Yulialah yang menjadi pemerhati di tepi setiap kali ada pelajar lelaki yang datang untuk berbual dengan Atiqah. Dia hanya akan diam dan menunggu di sebelah sehingga kedua-dua orang itu habis berbual.
Atiqah ialah watak utama dalam cerita, sama seperti Zarin. Mesti seronok jadi watak utama, kerana watak utama senang mengenal watak utama yang lain.
Tiba-tiba Yulia terfikir tentang Adam Adwa. Sudah dua minggu dia tidak nampak Adam di studio.
Senyuman Yulia pudar. Dia memandang ke hadapan. Zarin dan kawan-kawannya sudah lama menghilang ke dalam bangunan fakulti. Yulia pun cepat-cepat menggerakkan kereta pergi dari situ.
Dia tertanya-tanya, benarkah dirinya?
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romansa[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...