54

73 6 1
                                    

MACAM kucing nak beranak, Yulia mundar-mandir di dalam bilik. Matanya hanya tertumpu ke skrin telefon dari tadi. Dia tak henti-henti menghubungi Kak Langnya sejak balik ke rumah.

Sambil menunggu panggilan berangkat, bunyi bip pada skrin kuat membuatkan dia semakin resah. Yulia mula menggigit kuku. Dia menghubungi lagi, dan lagi.

"Ah, memang tak nak angkatlah ni?" rungut Yulia.

Sejak dulu dia selalu cuba menghubungi Kak Lang, kakaknya itu tidak pernah mengangkat panggilan. Yulia telefon sebelum ini pun bukan saja-saja, tetapi sebab hendak tanya pasal hutang Kak Lang yang perlu dibayar.

Setelah berbelas-belas kali panggilan tak berangkat, Yulia mencampakkan telefon ke atas tilam. Telefon itu direnung dari jauh.

"Tak guna punya kakak," bisiknya.

Serta-merta, Yulia menekup mulut sebab rasa bersalah. Dia keluar dari bilik dan mundar-mandir di dapur pula. Tak cukup di dapur, dia keluar ke halaman rumah. Kebetulan di luar rumah hujan lebat.

"Kamu ni kenapa, Yulia?" mak menegur perlahan dari pintu. Dilihatnya Yulia duduk termenung di atas bangku bersandarkan tembok dinding sambil menghadap dinding sebelah lagi satu. Mak mencapai batang penyapu dan mula menyapu halaman.

"Tak ada apa, mak. Perut Yulia rasa tak sedap ni. Salah makan kut."

"Makan apa? Bukan ke semua orang makan benda sama?" tanya mak. Dia merujuk kepada semua orang di dalam rumah tersebut. Yulia selalu bawa bekal makanan dari rumah. Jarang-jarang dia beli makanan luar.

"Entahlah, mak. Tapi sakit sikit saja ni ...." Yulia mengurut perut. "Mak, Kak Lang tak ada telefon mak ke?"

Mak berhenti menyapu. Dia memandang Yulia.

"Tak ada pun. Kamu dapat telefon dia tak?"

Yulia menggeleng. "Kak Lang memang tak ingat kat kita ke, mak? Sampai hati dia buat kita macam ni."

Perlahan-perlahan, mak berjalan dan duduk di sebelah Yulia. Dengan lembut, dia bertanya, "Kamu ni kenapa ...? Mak tengok, dari tadi tak duduk diam."

Mata Yulia terus berair. Mulutnya mencebik. Tiba-tiba dia menangis macam budak kecil.

"Ni, mak." Yulia menunjuk ke arah tembok dinding di hadapan mereka. Dengan sedu-sedu menahan esak, dia berusaha bercakap, "Yulia geram tengok dinding ni. Sampai hati Encik Borhan letak plaster dinding dekat sebelah dia saja. Kenapa bahagian kita jadi bata bogel macam ni?"

Tembok itu memisahkan halaman rumah Yulia dan rumah jirannya, Encik Borhan di sebelah.

Dia menyambung rungutan, "Kenapa orang lain nak renovate bagi rumah dia cantik, tapi dia buat rumah kita jadi buruk? Tak boleh ke dia letak simen terus kat kita? Tak berapa duit pun. Masa buat, dia tak bincang pun dengan kita. Yulia nak bayar, tapi dia kata mahal nak panggil tukang."

Yulia menangis kuat macam budak kecil lagi.

"Kenapa orang selalu jahat pada kita? Yulia penatlah! Uhuu ...."

Mak memeluk bahu Yulia, dan air mata tuanya turut mengalir.

∞ ∞ ∞

PADA malam itu juga, Izhar menelefon Yulia. Awalnya, Yulia takut untuk menjawab kerana dia sudah boleh mengagak apa yang akan dicakapkan. Namun, Yulia juga tidak sanggup menunjukkan muka di studio, di hadapan Adam, lagi.

Dia takut membuat keputusan sendiri, maka sebaiknya Izhar memutuskan buat dirinya.

"Saya minta maaf, Yulia. Sebab kata-kata saya biadab tentang Yulia. Saya tak patut cakap macam tu. Saya cuma terlalu ikut perasaan, dan cakap benda tak betul."

"Tak apa, encik." Begitu saja Yulia membalas. Pada waktu ini, dia hanya mahu mendengar.

"Yulia," nada Izhar tiba-tiba berubah lebih teliti. "Pasal hal tadi, Adam mesti rasa tak selesa nak jumpa Yulia lepas ni. Dan dia pula, kena fokus siapkan lagu."

"Saya faham, encik."

"Hmm ... Haikal pun dah tinggal dengan mama dia sekarang. Dia dah tak kerap datang ke sini."

Mendengar ayat itulah, jelaslah Yulia akan maksud Izhar. Perlahan mata Yulia terpejam.

"Saya faham, encik. Saya pun ... fikir nak berhenti kerja," balasnya.

"Oh. Baguslah." Izhar diam seketika. "Nanti Yulia tak perlu datang dah ya. Saya masih akan bayar gaji Yulia hujung bulan ni."

"Baik, saya faham, encik. Terima kasih."

Sebaik panggilan mereka tamat, air mata Yulia jatuh ke pipi. Dalam keadaan masih memegang telefon, Yulia memandang wajah sendiri dalam cermin bilik.

Kenapa dia begitu sedih?

Kerana dia sedar yang dia jatuh cinta, sejurus cinta itu hilang daripadanya.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now