MAK meninggal dunia malam itu.
Pada keesokan harinya, semua perkara berlaku dengan sangat lancar, terlalu cepat. Bagi Yulia, masa hanya terasa perlahan ketika jasad mak dimasukkan ke dalam liang lahad dan dikambus dengan tanah.
Pengebumian mak diadakan pada waktu Asar. Saudara-mara jauh dan kenalan berkumpul di rumah.
"Kesian Zarin tak dapat tengok mak dia," kata sepupu mak semasa Yulia datang ke dapur untuk membancuh air teh.
"Ya, Mak Tam," jawab Yulia.
"Macam manalah reaksi dia bila dia dapat tahu nanti ...."
Yulia hanya mengangguk tanpa makna. Hanya diam-diam mengacau air teh.
Mak Tam datang berbisik, "Yulia, Fahmi tu macam mana nanti? Siapa nak uruskan dia lepas ni? Nak angkat dia, nak mandikan dia?"
Yulia mengerling ke ruang tamu. Kelihatan Fahmi sedang berbual ramah dengan tetamu. "Entahlah, Mak Tam. Yulia tak boleh fikir lagi."
"Harapnya Zarin tu cepat sedar. Takkanlah tinggal kamu dengan Fahmi saja kat rumah ni ...?"
Yulia sekadar mengangguk. Dia menatang dulang berisi teh dan cawan untuk dihidangkan kepada saudara-mara di ruang tamu. Setelah itu, dia masuk ke dalam bilik air.
Sambil mengambil wuduk, dia menangis.
∞ ∞ ∞
MASUK hari kedua mak pergi, rumah mulai sunyi.
Saudara-mara jauh daripada sebelah mak dan ayah kebanyakannya sudah balik pada hari pengebumian. Yang kekal menunggu di situ hanya keluarga Mak Tam. Anak-anak lelaki Mak Tam yang membantu menguruskan Fahmi, manakala anak-anak perempuan membantu menguruskan rumah.
Namun pagi tadi, suami Mak Tam, Pak Tam, mula menyindir-nyindir Mak Tam supaya mereka balik ke rumah. Katanya, esok dia perlu masuk bekerja.
Yulia, dengan sikapnya yang tidak suka menyusahkan orang, terus memujuk Mak Tam untuk pulang sahaja. Dia menipu dengan mengatakan sudah ada orang yang akan menjaga Fahmi.
Usai mereka sekeluarga bergerak pulang, rumah terus sunyi.
Fahmi berbaring sambil merenung siling.
Yulia duduk di lantai dan bersandar sambil merenung dinding.
Cahaya matahari sedikit demi sedikit memanjang ke dalam rumah, tetapi juga semakin pudar, tanda matahari semakin terbenam.
Mendengar azan Maghrib, Yulia berkuit. Dia bangun ke arah Fahmi dan berkata, "Jomlah, Abang Fahmi. Yulia bantu ambil wuduk."
Fahmi teragak-agak tetapi menurut sahaja setelah melihat keyakinan Yulia. Dengan menggunakan botol semburan air, Yulia membantu dengan tangan berlapik. Usai menyiapkan Fahmi untuk solat, Yulia menyiapkan makan malam untuknya pula. Semua keperluan Fahmi disediakan berdekatan katil Fahmi.
Yang paling mencabar untuk Yulia ialah, membawa Fahmi ke tandas.
Setelah selesai semua urusan Fahmi, selepas isyak, Yulia bersiap-siap.
"Abang Fahmi, tak apa kan Abang Fahmi tinggal sorang-sorang? Nanti sebelum subuh Yulia balik untuk tolong Abang Fahmi solat," tanya Yulia.
"Abang Fahmi okey saja, Yulia. Tapi ... Yulia nak pergi mana?" Fahmi menarik selimutnya naik ke dada.
Yulia memperlahankan kipas siling.
"Jangan risau Abang Fahmi. Yulia ada dekat-dekat sini saja. Kalau ada apa-apa, Abang Fahmi terus telefon Yulia. Dalam sepuluh minit Yulia sampai," Yulia meyakinkan. "Terus telefon tau. Tak kisah pukul 2 pagi, 3 pagi."
Fahmi mengangguk meskipun wajahnya kerisauan.
Yulia tersenyum tawar sebelum keluar dari rumah. Dia tidak boleh tinggal berdua-dua dengan Fahmi.
Semasa kasut disarung, dia memikirkan ke mana dia harus pergi. Dia tidak boleh pergi terlalu jauh dari rumah, tetapi dia juga tiada kenalan di kawasan ini. Jiran-jiran sebelah ada sejarah buruk dengan keluarganya.
Dia singgah di surau taman perumahan. Surau itu gelap. Yulia cuba membuka pintu surau, tetapi berkunci. Akhirnya dia duduk dan bersandar di beranda surau. Jaket motosikal menyelimuti badan.
Matanya melilau ke sekeliling. Tidak mungkin dia boleh tidur dalam keadaan ini.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romansa[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...