ADAM memeriksa tetapan instrumen di mixing console studio rakaman. Di hadapannya, di sebalik tingkap kaca, seorang penyanyi sudah berdiri di hadapan mikrofon dengan memakai fon kepala.
"Sedia, June?" bisik Adam kepada wanita yang duduk di sebelah.
Wanita itu memiliki potongan rambut pendek bergaya campuran potongan pixie dan mullet. Dia juga memakai anting-anting hanya di sebelah telinga, disesuaikan dengan baju turtle neck dan seluar hitam.
June mengangguk, lalu Adam menekan suatu butang di hadapan.
"Tekak you dah baik ke ni, Rin?" katanya kepada penyanyi yang berdiri di bilik rakaman sebelah.
"I okey, Adam. Ready. Semua I dah praktis." Azurin tersenyum sambil membuat isyarat jari 'OK'. Dia mengemaskan hujung rambut panjangnya ke belakang bahu.
"Okey. Kalau macam tu, kita mula dengan korus. You dah dengar demonya, kan?"
"Dah, dah."
"Okey, you cuba dulu?"
Suasana sunyi ketika lagu mula dimainkan. Semua pendengaran tertumpu pada alunan suara Azurin. Suara halus bak madu menguasai studio dengan lirik yang menyentuh hati.
Adam menekan butang di hadapan. "Rin."
"Ya." Azurin mengangkat kening saat memandang ke hadapan.
"Kat 'matamu', tambah power lagi kat situ. Tambah bending sikit dekat 'mu'." Adam menyanyikan sekali sebagai demonstrasi.
Azurin ikut cuba menyanyikannya. "Macam ni?"
"Cantik dah. Cuma kena pendek lagi bending tu. Cut off terus lepas bending." Adam menyanyikan bahagian tersebut sekali lagi sebagai panduan buat penyanyi itu. Setelah beberapa kali berlatih, Azurin berjaya merakam bahagian tersebut. Proses rakaman baris pertama itu mengambil masa lebih 15 minit.
"Okey tak, June?" tanya Adam selepas memainkan rakaman penuh bahagian yang dinyanyikan Azurin tadi.
"Aku rasa okey sangat dah."
"Okey macam tu. Aku pun rasa macam dah okey." Kemudian Adam berbalik kepada Azurin. "Rin, sekarang I play semula, you pilih sama ada nak take A atau B."
Azurin memilih take A.
"Okey, selesai semua," kata Adam selepas hampir satu jam. "I rasa, kita sambung untuk bahagian lain tu esok saja. Okey tak, Rin?"
"Tekak I tak okey lagi, ya?" Azurin meneka sebab Adam mencadangkan begitu.
Adam ketawa. "Suara you sekarang sesuai dengan lagu, tapi untuk bridge dan first line, I nak suara yang smooth sikit."
"Okey. Kita sambung esok. I janji akan jaga tekak I ni." Azurin tersengih.
Setelah Azurin keluar dari bilik tersebut, Adam kembali berbincang dengan June yang bekerja di sebelahnya sejak tadi. Ada beberapa bahagian yang perlu melalui proses mixing tertentu disebabkan terdapat perubahan yang berlaku dalam sesi rakaman.
"Kau balik dulu. Aku nak sambung buat benda ni," kata June setelah kerja mereka selesai.
"Okey." Adam bangun dan mencapai beg dari atas sofa di belakang.
"Oh ya," kata June tiba-tiba.
"Apa?"
June melarikan pandangan. "Tak ada apa-apalah."
Mata Adam mengecil. "Apa? Lebih baik kau cakap."
"Tak. Aku nak tanya sesuatu tadi, tapi tak apalah, tak penting pun."
"Aku yang putuskan sama ada penting atau tak, lepas aku dengar." Adam mengangkat kening dan membulatkan mata.
"Okey, okey."
June bangun. Jarinya menyelitkan rambut ke belakang kedua-dua belah telinga. Mata Adam bergerak ke kiri dan kanan mengikut langkah June yang berjalan mundar-mandir. Akhirnya June berhenti, lantas mengeluarkan telefon dari poket.
"Mungkin kau patut tengok ni. Aku tak tahu kau dah tahu ke tak fasal ni. Aku hantar je link ni. Kau tengok WhatsApp kau."
Dahi Adam berkerut. Dia akur mengeluarkan telefon.
Pautan itu membawa ke laman sesawang sebuah berita hiburan.
Laila Borhan Ingin Kembali Aktif Dalam Industri Hiburan.
Sebelum menekan pautan itu lagi, Adam sudah tahu kenapa June nampak resah. Dalam laporan itu, terpapar gambar seorang wanita yang Adam amat kenali.
Ibunya.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...