26

109 8 2
                                    

KERANA habuk, pagi itu Yulia terbersin berkali-kali ketika membersihkan sebuah rak di dalam pejabat studio.

Suasana studio rakaman masih kelam kerana semua orang belum sampai. Masih awal pagi.

Yulia mengambil kesempatan itu untuk membersihkan studio, terutamanya habuk-habuk yang berkumpul di bahagian atas. Dia menjenguk ke setiap bilik untuk mencari tangga mudah alih.

Dia cari di bilik stor dan pantri, tetapi tiada. Maka, dia pergi arah balkoni. Kali terakhir tangga itu digunakan untuk membaiki unit luar penyaman udara.

Tiba-tiba, matanya tertangkap kelibat seseorang di balkoni bilik mesyuarat. Pemuda yang dilihatnya itu perlahan-lahan memanjat ke luar balkoni. Sebelah kaki lelaki itu tergantung di udara. Tangannya berpaut erat pada palang.

Darah Yulia berderau.

Tanpa berfikir panjang, Yulia melepaskan peralatan di tangan lalu berlari ke arah lelaki tersebut. Bahagian lengan dan belakang jaket lelaki itu direnggut pantas. Ketika itu, lelaki itu berpaling menampakkan wajahnya.

Mata Yulia membulat.

Lelaki itu Adam Adwa.

"Encik Adam?" Yulia menjerit.

Mereka berdua jatuh terjelepok di atas lantai balkoni.

Rupa-rupanya orang itu Adam Adwa.

"Encik Adam! Apa yang encik buat ni?" jerit Yulia.

Dia memegang erat lengan jaket Adam. Tangannya menggeletar.

"Encik buat apa ni ...?" soalnya lagi. Namun kali ini nadanya seolah-olah sedang meratap. Dia menangis tersedu-sedu. "Kenapa buat macam ni ...?"

Pada waktu itu, riak wajah Adam pula nampak terkejut. Dalam posisi jatuh tadi, dia kaku memandang Yulia yang duduk bertinggung sambil memegang lengannya.

"Encik Adam tak boleh buat macam ni, Encik Adam. Nyawa Encik Adam bernilai. Kalau ada masalah, ini bukan jalannya." Yulia menangis tertunduk-tunduk.

Adam nampak bingung.

"Saya tahu, Encik Adam. Hidup kita ni memang ada banyak masalah. Kalau saya yang orang biasa ni ada banyak masalah, orang macam Encik Adam ni mesti lagi banyak masalah. Tapi ini bukan jalan untuk selesaikan masalah. Ada banyak lagi cara lain, Encik Adam," kata Yulia. Ayatnya tersangkut-sangkut dek sedan.

"Encik Adam, encik boleh cerita pada saya!" Yulia memandang mata Adam lalu menepuk-nepuk dada sendiri. "Saya akan dengar semua. Saya akan tolong mana yang saya mampu. Kalau Encik Adam takut benda ni tersebar, jangan risau. Saya janji akan simpan rahsia sampai mati!"

"Yulia ...," kata Adam, perlahan.

"Ya, saya?" Dia mengesat air mata.

Adam duduk bersila. Jari telunjuknya naik ke udara. "Saya nak tarik ranting pokok tu. Hujung dia dah nak termasuk dalam air-con."

"Tarik ranting?" Yulia memandang ke atas. Serta-merta dia berhenti menangis. Dia mengelap air mata dan cepat-cepat juga bangun. Kepalanya menjenguk ke arah pokok yang ditanam dalam pasu di situ. Pucuknya sudah tumbuh meninggi, tetapi tersangkut di celah-celah lubang kecil unit kondenser penyaman udara.

"Saya takut pokok tu rosakkan air-con," sambung Adam.

"Oh ...."

Yulia memerhatikan kondenser itu dalam keadaan membelakangkan Adam.

"Yulia, saya bukan nak–"

"Saya minta maaf, Encik Adam! Saya salah faham!" Yulia menunduk dengan agresif. Kemudian, berkali-kali dia mengulang perkataan maaf.

Mujurlah Izhar muncul sebelum keadaan menjadi lebih canggung buat mereka. Izhar berdiri di pintu gelangsar sambil memandang Adam dan Yulia berganti-ganti.

Adam bangun lalu menepuk-nepuk pakaiannya yang berdebu lantai.

"Apa jadi?" tanya Izhar, hairan.

"Tak ada apa," balas Adam. Masih membersihkan baju.

Yulia menunduk. "Aa ... saya pergi buat kerja dulu. Nak cari muka, eh, tangga."

Izhar memerhati Yulia yang melintasi. Kemudian dia memandang Adam. "Apa hal?"

"Tak ada apa ...." Adam menggeleng. Dia juga kembali masuk ke dalam.

∞ ∞ ∞

"APA yang jadi kau dengan Yulia siang tadi?" tanya Izhar. Dia bersandar di sofa. Sambil menekan alat kawalan jauh televisyen, kedengaran dia merungut tentang salah satu butang yang tidak berfungsi.

"Mana ada apa-apa," balas Adam dari meja makan. Dia khusyuk makan jejari kentang yang baru dibeli.

Dahi Izhar berkerut. Dia tahu ada sesuatu terjadi. Baju Adam pun kotor tadi.

"Kau ada skandal dengan dia ke?" Dia berpusing mengejut ke arah Adam.

"Kepala otak kau!"

"Habis tu? Ceritalah apa jadi."

"Kan aku dah cakap, tak ada apa-apa!"

Izhar mengeluh dan merungut.

Adam bangun lalu berjalan melintasi Izhar ke arah pintu gelangsar kaca. Pemandangan malam bandar diperhati. Fikirannya mengingat kembali wajah Yulia ketika 'menyelamatkannya'.

"Encik Adam, encik boleh cerita pada saya!"

"Saya janji akan simpan rahsia sampai mati!"

Hujung bibir Adam terjongket.

Perempuan itu memang menjengkelkan. Namun, Adam terpaksa akui yang dia baik hati.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now