56

87 6 6
                                    

ADAM bersandar di dalam kereta. Kepalanya menjenguk ke rumah Yulia di sebelah.

"Patut ke aku jumpa dia ...?"

Dia mengeluh. Kakinya terenjut-enjut kegelisahan.

Setelah lima belas minit, Adam memutuskan untuk balik sahaja, namun niatnya terbatal apabila ternampak sebuah motosikal berhenti di hadapan kereta. Penunggang motosikal, Zarin, menanggalkan helmet dan mereka saling berpandangan.

Adam mulai berdebar.

Zarin menggoncang jari telunjuknya ke arah Adam. Dia menghampiri tingkap. Tanpa disuruh, Adam menurunkan sedikit tingkap kereta.

"Kau lagi?" tanya Zarin. Telunjuknya menghala ke arah Adam, sementara matanya mengintai ke celahan tingkap. "Kau nak apa lagi datang ke sini, ha? Nak aku panggil polis?"

"Eh jangan!" halang Adam separa menjerit. Serta-merta dia menurunkan tingkap sepenuhnya. Tangan Adam menahan tangan Zarin yang sedang memegang telefon. "Zarin, ni saya."

Zarin menganga besar sekonyong-konyong dia ternampak muka Adam.

"Boleh saya jumpa Yulia?" kata Adam dengan sopan.

"A- A- Abang Adam Adwa?" tanya Zarin. Telunjuknya diacu ke muka Adam.

Adam tersenyum seraya mengangguk.

∞ ∞ ∞

SUASANA di ruang tamu sepi. Adam duduk dengan canggung di sofa sambil diperhati ahli keluarga Yulia dari kiri dan kanan.

Di hadapannya, ada Yulia, Zarin, mak Yulia, dan Fahmi yang sedang terbaring di atas tilam. Dia sudah pun berkenalan betul-betul dengan Zarin. Sejak Zarin nampak muka Adam tadi, gayanya terus berubah ramah. Seolah-olah sedikit masa lagi dia boleh bersujud kepada Adam.

Adam saling berpandangan dengan Yulia yang duduk menghadapnya. Wajah Yulia nampak pucat. Adam ingin bertegur sapa, tetapi dia rasa janggal pula apabila diperhatikan oleh empat orang.

Fahmi dan Zarin mengerling ke arah Yulia dan Adam silih berganti.

"Abang Adam dah makan?" tanya Zarin. Dia tersenyum canggung.

"Ah ... belum," jawab Adam. Lengannya serta-merta menekan perut agar tidak mengeluarkan bunyi-bunyi aneh. Menyesal sebab tak pergi cari makan dulu sebelum datang ke sini.

"Kalau macam tu, saya sediakan makanan ya!"

Belum sempat Yulia menahan, Zarin sudah menghilang ke dapur. Tinggallah Adam di sofa sambil diperhati berbaki tiga orang di dalam rumah.

"Zarin, kamu nak masak apa?" tanya mak ke arah dapur.

"Maggi, mak!"

"Hisy, ada ke masak Maggi kat tetamu!"

Mendengar Maggi pun, Adam sudah menelan air liur. Maggi pun paling sedap masa lapar-lapar macam ni.

Mak tiba-tiba bangun dan pergi ke dapur. Kedengaran suara dia dan anaknya bercakap-cakap. Kini, tinggallah Adam dan Yulia, diperhatikan Fahmi.

"Yulia apa khabar?" tegur Adam.

"Saya demam sikit je, encik. Tapi alhamdulillah." Yulia tersenyum paksa.

"Abang apa khabar?" Adam menegur Fahmi pula.

"Alhamdulillah, sihat." Fahmi tersenyum.

Perbualan mereka mati di situ. Sekali lagi Adam duduk dengan kaku sambil diperhati oleh Fahmi. Apabila dia memandang, Fahmi akan sentiasa tersenyum memandangnya. Rupa yang tampan, meskipun terlantar begitu, fikir Adam. Memang patutlah Yulia nak kahwin dengan lelaki itu.

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now