"HELO! Apa benda, lori? Dua tiga kali nak telefon?" marah Zarin dari hujung talian.
Yulia ketawa. Dia mengalihkan kaki dari tapak pedal mesin jahit. Helaian pakaian yang bergumpal di riba dialih ke dalam kotak besar. Dia bangun dan meregangkan badan di kaki lima kedai.
"Aku nak minta tolong kau beli nasi goreng," balasnya.
"Bukan ke kedai makan sebelah kau saja?" Tiba-tiba suara Zarin meninggi. "Weh, kau tahu tak, aku tengah bawa motor ni? Tak pasal-pasal kena berhenti tepi jalan."
"Oh, ya ke ... kesian kau. By the way, jangan lupa nasi goreng aku."
Terus Yulia mematikan panggilan. Dia senyum puas hati dan kembali ke mesin jahit.
Sejak pagi sampai petang dia menghadap mesin itu, sampai kepalanya mula sakit kerana terpaksa fokus lama.
Beberapa minggu lalu, dia mula bekerja di kedai menjual pakaian ini, namun bukanlah sebagai pekerja kedai. Dia bekerja sendiri dan menumpang tempat di kaki lima. Mesin jahit itu memang disediakan di kaki lima oleh pihak kedai untuk memudahkan pelanggan menggunakan khidmat tukang jahit. Selalunya, pelanggan akan datang untuk khidmat memotong kaki seluar. Ada juga yang datang untuk khidmat jahit lubang ataupun butang. Kedai untung, tukang jahit untung.
Yulia menenyeh-tenyeh kerana mengantuk.
Baru saja dia duduk kembali, seorang lelaki tiba-tiba muncul dan mencampak plastik berisi baju ke atas meja. Meja itu diketuk-ketuknya.
"Macam mana kau buat kerja ni, dik? Abang suruh kau jahit lubang ni tapi kau tak jahit. Duit tahu ambil pula," marah lelaki itu.
Yulia segera bangun. Dia ingin keluar dari belakang meja mesin jahit untuk mendekati pelanggan itu, namun kakinya terlanggar segala kotak berisi barang jahitan dan baju pesanan pelanggan. Habis terbalik dan berterabur isinya. Yulia hampir tersungkur. Orang yang lalu-lalang hanya memandang sekilas drama yang berlaku.
"Ya Allah, kau reti buat kerja ke, dik?" kata lelaki tadi. Nada marahnya bercampur kesian.
"Mana lubang tu, bang? Saya jahit kat sini, sebab sini ada lubang." Yulia membelek-belek baju tersebut, dan menunjukkan bahagian ketiak yang sudah siap dijahit.
"Tu! Dekat pinggang dia. Buta ke apa, aku dah tunjuk tadi."
Yulia terkedu. Dia hanya diam.
"Kau jahit balik sekarang," arah lelaki itu. "Jangan buat main dengan aku."
Tidak mahu menimbulkan masalah, Yulia akur dan kembali duduk di mesin jahit. Dia menjahit bahagian koyak yang dimaksudkan sambil diperhati oleh lelaki itu. Apabila siap, baju dihulur kembali untuk diperiksa.
Selepas melihat begitu-gitu, lelaki itu terus memasukkan baju tersebut ke dalam beg plastik. Dia terus ingin beredar.
"Eh, bang. Abang belum bayar ...." Perlahan suara Yulia.
"Aku dah bayar tadi, kan? Kau nak duit apa lagi?"
"Yang tadi tu ... duit untuk jahit bahagian ketiak. Untuk pinggang ni, abang kena bayar lain," kata Yulia sopan.
"Ah, tak ada!" Lelaki itu mengibas tangannya. "Aku bayar tadi untuk kau jahit pinggang. Yang kau pergi jahit ketiak tu kenapa? Dah, dah. Aku tak nak bayar!"
Kemudian, begitu saja lelaki itu pergi. Yulia merenung barang jahitan dan plastik-plastik baju tempahan di atas lantai. Mungkin betul dia yang tersalah dengar tempahan pelanggan tadi, sebab hilang fokus akibat terlalu penat. Dia mengeluh.
Sebuah motosikal berhenti di hadapan Yulia. Penunggangnya mematikan enjin. Saat dia membuka helmet, Yulia dapat melihat wajah Zarin yang masam.
"Cepatnya? Mana nasi goreng aku?" kata Yulia.
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...