SEBAIK Amalina menghantar mereka ke rumah, Yulia dan Zarin nampak kereta Bezza hitam terparkir di ruang letak kereta rumah. Lampu ruang tamu masih menyala.
Yulia cepat-cepat mengeluarkan kunci rumah. Ketika dia membuka kunci grill rumah, pintu kayu tiba-tiba dibuka dari dalam.
"Kak Ngah," sapa Yulia saat melihat kelibat kakaknya itu. "Kak Ngah ada rupanya. Yulia minta maaf sebab kami lambat sangat. Tadi ...."
Belum sempat Yulia habis bercerita, kepalanya dihempuk dengan sehelai kain buruk. Dia kaku. Hanya tangan yang bergerak untuk mengalihkan kain itu dari muka.
"Kak Ngah!" marah Zarin.
"Kau orang ingat aku ni apa? Nak kena tunggu sampai 2 pagi. Kurang ajar betullah kau orang ni!" bisik Kak Ngah.
Zarin menjenguk ke dalam rumah. Fahmi masih ada di perbaringan. Pintu bilik mak tertutup. Lantas Zarin menarik tombol pintu dari luar. Kak Ngah mendengus kerana daun pintu menolak punggungnya sampai dia terpaksa keluar.
"Yang Kak Ngah tunggu siapa suruh? Kami tak minta tolong Kak Ngah tengokkan mak dan Abang Fahmi pun," lawan Zarin.
"Mulut kau ni kurang ajar kan, adik? Mak yang telefon aku, mengadu kau dua orang keluar rumah malam-malam tak balik-balik. Seronok, menyusahkan mak?" Kak Ngah meninggikan suara.
Yulia yang berdiri di tengah-tengah berusaha menenangkan keadaan.
Zarin pula sebaliknya ketawa. "Sejak bila Kak Ngah ambil peduli pasal kami ni? Sebelum ni tak pernah-pernah datang kalau minta tolong. Tiba-tiba hari ni bersungguh tunggu sampai tengah malam? Laki Kak Ngah tak marah ke?"
Wajah Kak Ngah berubah apabila terasa disindir. Pantas dia masuk ke dalam untuk mengambil beg tangan. Dia meluru keluar dan sengaja melanggar bahu Zarin.
"Kau dua orang ni tak tahu dek untung. Biadab. Aku datang ni sebab nak tolong tau. Sebab aku fikir adik-beradik. Bukan macam kau orang. Utamakan orang luar daripada darah daging sendiri!" marah Kak Ngah.
"Siapa orang luar? Siapa orang luar?" Zarin mendepang dada ke arah Kak Ngah.
"Adik, dah, dah. Jangan lawan Kak Ngah. Itu kakak kita tu!" Yulia menarik Zarin supaya menjauhi Kak Ngah.
"Memang biadab adik kau ni, Yulia. Aku tak ada adik macam ni."
"Ha, eloklah. Aku pun tak nak ada kakak macam kau ni."
"Zarin!" Yulia naik angin. Tangan Zarin direntap. "Maaf, Kak Ngah. Tadi mak tahu kami keluar. Mungkin dia risau sebab Yulia tak angkat telefon tadi."
"Lepas ni pandai-pandailah kau jaga mak. Selama ni, kau memang suka mak duduk dengan kau, kan Yulia? Sebab kau boleh buat mak macam orang gaji kat rumah ni. Jaga makan pakai kau orang, jaga orang luar. Aku yang anak mak sendiri pun mak tak jaga macam ni."
"Kau kurang kasih sayang ke? Budak enam tahun? Dah tua-tua nak berebut mak," kata Zarin selamba.
Kak Ngah terkedu. Dia membuka pintu kereta.
"Ni tengok ni!" Wanita itu menunjuk ke arah suatu tempat pada pintu kereta. "Kak Ngah dah pernah cakap kan, kalau calar macam ni, Yulia kena bayar?"
Mata Yulia dan Zarin mengecil. Berusaha melihat di mana calarnya.
"Celah mana?" kata Zarin.
"Kau diam." Kak Ngah menghalakan telunjuk ke arah Zarin. Kemudian, telunjuknya berubah ke arah Yulia. "Ingat ya, Yulia. Kau calarkan kereta Kak Ngah."
"Tiba-tiba tukar topik," sampuk Zarin.
"Kau diam. Aku dah banyak beralah dengan kau orang selama ni. Masa aku berpantang lepas beranak Adrian, mak tak datang jaga aku pun! Sebab kena jaga orang luar tu. Kali ni, aku takkan bagi muka. Nanti kau bayar calar ni, Yulia," ugut Kak Ngah.
"Eleh ...." ejek Zarin.
"Kau! Biadab betul eh? Langsung tak hormat kakak kau! Aku tua 10 tahun dari kau tahu!"
"Oh ya ke? Tapi tak nampak macam bertanggungjawab pun? Selama ni, kami dua orang saja yang jaga mak, kami yang bayar hutang kakak-kakak kami?" kata Zarin.
"Adik, sudah!" marah Yulia.
"Biadab!" marah Kak Ngah buat kali terakhir sebelum masuk dalam kereta. Dia sengaja mengundurkan kereta laju sehingga melanggar tong sampah di depan rumah.
"Kurang ajar!" Zarin hendak mengejar, namun segera dihalang Yulia.
"Zarin, dah! Kau ni, kenapa mulut jahat sangat? Kenapa cari pasal dengan Kak Ngah? Kecoh tahu tak?" bisik Yulia.
"Mana ada kecoh? Mak tak dengar pun kan?"
Mata Zarin melilau ke rumah jiran kiri dan kanan. Nafasnya yang tercungap-cungap mulai perlahan. Da melihat jam pada skrin telefon. Kemudian mengeluh. Baru tersedar dia membuat kecoh tengah-tengah malam.
Yulia membuka pintu dan menjenguk ke dalam. Dia ternampak tubuh Fahmi bergerak sedikit. Pintu bilik mak tidak berkuak sejak tadi. Mungkin mak tak dengar langsung pergaduhan mereka tadi. Kalau mak dengar, tentu awal-awal lagi mak sudah keluar.
"Tak kisahlah mak dengar ke tak. Tapi kau tak bolehlah kurang ajar macam tu dekat Kak Ngah," tegur Yulia.
"Memang patut pun aku kurang ajar. Perempuan tu ada masalah sikap. Dari dulu, konon dialah yang tersakiti dalam rumah kita. Drama. Dia kakak paling tak berfungsi kat dunia ni. Eh, tak, tak. Dia kakak kedua yang paling tak berfungsi. Sebab si tak guna tu nombor satu."
Yulia menghembus nafas panjang. Dia tahu Zarin maksudkan siapa sebagai 'si tak guna'.
"Acah-acah pedulikan mak konon. Padahal dia nak mak duduk dengan dia sebab nak pengasuh percuma. Memang taklah aku nak bagi mak duduk dengan perempuan gila tu. Kedekut nak mampus!" bebel Zarin lagi.
"Dahlah tu," kata Yulia perlahan. Mereka berdua masuk ke dalam rumah.
"Selamba dia panggil Abang Fahmi orang luar?" Kali ini Zarin berbisik. "Eh, dia lagi macam orang luar daripada Abang Fahmi, tahu tak?"
"Ya, ya. Aku tahu ...." Yulia menunjuk ke arah Fahmi, sebagai isyarat supaya Zarin berhenti bercakap. Takut-takut Fahmi terdengar.
Zarin mendengus. Dia menggeleng dan berjalan ke arah bilik. Sempat dia melihat Fahmi.
"Eh, Abang Fahmi tak tidur?" tegurnya.
"Ah, Zarin. Tak, tadi kan Kak Ngah ada. Abang Fahmi tunggu dengan dia," jawab Fahmi. Dia ketawa canggung.
"Oh ...." Wajah Zarin berubah serba salah. Dia mengerling penuh makna kepada Yulia. Yulia mengangguk dan membuat mimik mulut 'kan aku dah kata?'.
"Abang Fahmi dah solat? Nak minum air? Nak pergi tandas?" Zarin merapatinya.
Fahmi tersenyum segan. "Ya, Abang Fahmi nak pergi tandas sebenarnya. Boleh Zarin tolong?"
"Oh ... la ... kenapa tak panggil Zarin tadi." Zarin mengambil kerusi roda di sebelah kaki katil. "Dah lama agaknya Abang Fahmi tahan?"
"Tak lama. Baru rasa."
"Zarin angkat abang," kata Zarin.
Perlahan-lahan Zarin memapah tubuh lelaki itu turun dari katil. Yulia pula membantu angkat kedua-dua kakinya beralaskan selimut.
Pada saat itu, mata Yulia tidak lepas daripada memandang abang iparnya itu. Kedua-dua kaki Fahmi terasa ringan dan kurus.
Sudah bertahun-tahun Fahmi terlantar begini kerana strok selepas kemalangan di tempat kerja. Sakitnya juga kekal begini seumur hidup. Setahun sebelum itu, isterinya, Fariha, meninggal dunia kerana kanser.
Namun, Fahmi tidak pernah lupa untuk tersenyum.
Yulia sentiasa rasa tenang melihat senyuman Fahmi meskipun hampir separuh tubuh lelaki itu tidak lagi dapat digerakkan, termasuk sebelah daripada wajah.
Setelah selesai urusan Fahmi, Yulia dan Zarin kembali mengurus diri masing-masing sebelum masuk tidur. Ketika mereka berselisih di dapur, Zarin berbisik, "Dia dengar semua tadi sebenarnya."
Yulia tertunduk lalu mengeluh perlahan.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...