11

139 8 0
                                    

SUDAH lima minit Yulia dan Zarin menunggu di tepi jalan berdekatan semak. Rumah penumpang yang mencuri telefon ada di hadapan mereka, tetapi mereka memutuskan untuk menunggu di atas motosikal dan melihat keadaan sebelum membuat apa-apa tindakan.

Wajah Yulia masih monyok sebab dimarahi Kak Ngah sebelum datang ke sini tadi. Kakak mereka itu naik angin sebab mereka mengganggu malam-malam. Puas dipujuk barulah Kak Ngah izinkan mereka menyentuh kereta Bezza miliknya.

"Tak ada," kata Zarin tadi, selepas menyuluh atas bawah tempat duduk kereta di rumah Kak Ngah.

"Aku pun tak jumpa," balas Yulia.

Kedua-dua beradik itu saling berpandangan dalam keadaan bingung. Entah mengapa, mata mereka serentak beralih ke arah Kak Ngah. Wajah Kak Ngah berubah berang.

"Kau orang nak tuduh aku ambil ke?" jerit Kak Ngah. Dadanya tiba-tiba berombak. "Aku ni orang susah, tapi aku pantang mencuri sejak kecil lagi. Aku bukan macam Kak Lang kau!"

Dan setelah itu, begitu saja dua beradik itu dihalau kakak mereka. Suara lantang Kak Ngah sampai menarik perhatian jiran-jiran. Ada yang ingat Yulia dan Zarin pencuri. Yalah, dua-dua pula pakai serba hitam dan suluh sana sini dalam kereta orang.

Kini, mereka berdua putuskan untuk mencari di rumah penumpang akhir Yulia. Itu harapan terakhir mereka.

"Macam mana? Kita nak terus panggil orang dalam rumah tu, atau kau nak hendap dulu?" Zarin menampar seekor nyamuk yang hinggap di leher. Kepalanya tertoleh ke belakang untuk mendengar jawapan Yulia di belakang.

"Macam mana apa? Aku tak tahu," jawab Yulia teragak-agak.

Mata mereka beralih ke arah rumah teres setingkat yang terletak di hadapan. Yulia resah. Keyakinan dia yang melangit tadi seakan-akan hilang apabila mereka tiba di sini. Dia terfikir, adakah dia sedang melakukan perkara yang betul? Adakah dia melanggar polisi e-hailing? Adakah dia meletakkan diri mereka dalam bahaya?

Lampu kalimantang di ruang parkir rumah itu terang menyala. Terdapat beberapa buah basikal yang tersandar di dinding, sebuah motosikal kapcai, banyak pasang selipar dan kasut but. Berbelas-belas pasang. Rumah itu barangkali menempatkan para pekerja migran, kerana penumpang terakhir tadi bercakap dalam loghat Melayu yang asing. Lengan penumpang itu bertatu, bukan kebiasaan orang Melayu.

"Eh, kejap. Kau nampak tak, ada orang tu?" Zarin tiba-tiba menunjuk ke hadapan.

"Apa? Apa?" Yulia menjenguk melepasi bahu adiknya. Dia terlihat dua orang lelaki berdiri di hadapan rumah. Salah seorangnya memegang sesuatu yang menarik perhatian Zarin.

"Kau tengok kat tangan dia. Telefon casing merah putih, itu telefon yang kau cari, kan?" tanya Zarin.

"Haah, betul-betul!"

Zarin terus turun dari motosikal.

"Weh?" Darah Yulia berderau. "Kau nak buat apa?"

"Kau tunggu sini. Jaga beras."

Yulia memandang sekampit beras yang mereka beli tadi, di dalam bakul motosikal. Sempat pula dua beradik ini singgah kedai runcit beli barang dapur.

Zarin mencapai sepana. Dia mengangkat tangan dari jauh sebagai peringatan supaya Yulia kekal di atas motosikal.

"Eh, apa pula aku kena jaga beras?" Yulia mempertikai sendirian. Dia turun dari motosikal untuk mengejar Zarin.

Moga dia sempat menahan adiknya itu daripada membuat apa-apa tindakan gila.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now