"KAU ketuklah," kata Adam.
Dia membetulkan topi bucket yang dipakai supaya melindungi wajah. Telunjuk terhala ke arah pagar rumah orang yang dikatakan mencuri telefon miliknya.
Izhar mengangguk. Dengan menggunakan pangkal kunci kereta, dia mengetuk pagar besi rumah tersebut beberapa kali, untuk menarik perhatian tuan rumah. Dia juga mengelui memanggil orang di dalam. Tiada yang muncul di muka pintu. Tiada pergerakan bayang-bayang di dalam rumah kecuali bayang kipas siling yang berputar. Izhar mengelui lagi.
Setelah beberapa minit, tiba-tiba seorang lelaki keluar dari rumah. Pemuda kurus warga asing itu berjalan mendekati Izhar dan Adam. Mereka berbual di pagar.
Pemuda warga asing itu masuk kembali ke dalam rumah, lalu menutup pintu. Izhar dan Adam masih tidak berganjak, bahkan Adam menjempul ibu jari ke arah Izhar.
Lima minit kemudian, pemuda migran keluar semula dengan membawa sebuah telefon pintar dengan casing berwarna merah putih. Telefon itu bertukar tangan kepada Izhar, lalu kedua-dua Izhar dan Adam kembali ke arah kereta secepat mungkin.
Izhar mengunci pintu kereta dari dalam.
"Kau check dulu, okey ke tak telefon ni. Betul ke telefon kau?" katanya.
Dengan taat Adam mengambil telefon tersebut dan menghidupkan skrinnya. Wallpaper yang terpampang membuatkan dia menghembus nafas lega.
"Betul. Ini telefon aku," kata Adam.
Izhar mengangkat kening. Dia juga bersandar lega.
"Senang pula cakap dengan dia? Macam mana dia boleh senang nak bagi?" tanya Izhar. Dia mengerling ke arah rumah di depan.
"Senang apanya? Kan tadi dia nafi kawan dia ambil telefon ni? Lepas desak banyak kali, dah kantoi, baru nak mengaku kawan dia ambil telefon tu. Tapi konon bukan mencuri, terjumpa, jadi, benda tu jadi milik dia."
Izhar menarik tali pinggang keledar. "Kira okey dah la, kan? Aku nak gerak dah ni. Kita tak boleh lama-lama kat tempat macam ni."
"Kejap, kejap, kejap!" Tangan Adam menggamit. Kemudian dia membelek-belek satu bukaan pada tepi telefon. "Memory card tak ada!"
Mereka saling berpandangan. Izhar nampak berat hati.
"Aku tak kira. Aku nak juga memory card aku." Adam terus keluar tanpa menunggu Izhar.
Pintu pagar diketuk Adam beberapa kali dengan lebih agresif. Tuan rumah dikelui tanpa henti.
Tiada balasan.
"Adam, jomlah. Kita balik dulu. Nanti kita cari cara lain. Lapor polis ke," pujuk Izhar. Matanya berkalih berkali-kali ke arah tingkap rumah.
"Kau gila ke, Har? Lagu aku semua dalam tu!" Mata Adam membeliak.
"Aku tahu. Tapi nanti kita akan dapatkan balik. Kita balik dulu. Kita balik dulu. Aku rasa bahaya ni."
"Tak nak," tegas Adam.
Mereka saling menarik telefon di tangan Adam.
"Oi!" Suatu suara tiba-tiba melaung dari jauh, sehingga menghentikan perbalahan mereka. Adam dan Izhar serentak memandang ke belakang.
Apabila terlihat kelibat seorang lelaki berhelmet biru, berpakaian serba hitam dan memegang sepana, mereka berundur perlahan. Adam mengangkat kedua-dua tangan untuk menenangkan orang yang disangkanya sebagai perompak. Mereka semakin panik apabila perompak kedua juga menghampiri dengan memakai helmet putih. Visor gelap menutup wajah kedua-duanya.
"Kejap, kejap, kejap. Bro, jangan buat apa-apa. Kami nak blah," kata Adam.
"Pu- pulangkan telefon tu!" arah Zarin. Suaranya tergagap-gagap. Sepana yang terhala ke arah musuh menggeletar.
Adam dan Izhar saling berpandangan.
"Kau tercegat apa lagi? Bagi balik telefon tu! Pencuri!" gertak Zarin.
Makin berkerut dahi Adam dan Izhar. Mereka aneh melihat perompak seamatur ini, namun Adam masih akur. Perlahan-lahan dia menghulurkan telefon ke depan. Namun, semasa Zarin memegang telefon tersebut, Adam enggan melepaskan. Berlaku kejadian tarik-menarik yang agresif.
Pada waktu itulah Yulia seperti perasankan sesuatu. Dia berjalan melepasi Zarin dan mengangkat visor. Dia tidak dapat melihat wajah Adam dengan jelas, tetapi dia dapat mengecam wajah Izhar.
"Encik Izhar?" tanya Yulia.
Izhar yang sekonyong-konyong nampak Yulia terus melopong. "Akak driver?"
Pergaduhan Adam dan Zarin terganggu dengan tindakan Yulia. Mereka terlepaskan telefon jatuh ke bawah.
"Telefon!" jerit Adam.
Yulia melompat untuk menyelamatkan keadaan tetapi elok-elok saja telefon itu masuk ke dalam longkang di bawah kaki mereka, melalui bukaan berjeriji. Yulia melutut dan merapatkan wajah pada penutup jeriji. Longkang itu berair tapi tidak dalam.
Telefon itu masih hidup dalam keadaan berendam air. Yulia dapat melihat wallpaper-nya — gambar seorang lelaki bergaya rockstar sedang menjulang mikrofon di atas pentas, sambil memegang gitar elektrik, diambil dari sudut bawah hadapan pentas. Kemudian skrin telefon gelap.
Kening Yulia terangkat. Dia seperti kenal orang dalam wallpaper ini.
"A- Adam Adwa? Abang ni Adam Adwa. Kan?" Terdengar suara Zarin bertanya dengan tergagap-gagap.
Mata Yulia terpejam. Perlahan dahi dihantuk ke jeriji.
Dia baru dihambat realiti. Kalau benar orang dalam wallpaper ini pemilik telefon – yakni penumpang sama yang tidak puas hati sebab Yulia perlahankan radio, yang marah sebab Yulia kritik lagu, yang dengar Yulia kata suaranya strain – maka memang seratus peratus Yulia tersalah kritik lagu Macam Gila di dalam kereta tadi. Dia mengkritik penyanyinya sendiri.
Adam duduk melutut di sebelah Yulia untuk melihat telefonnya. Izhar dan Zarin mengikut. Dalam gerak perlahan, Yulia menoleh ke sebelah untuk melihat wajah Adam. Rupa-rupanya Adam juga sedang memandangnya dengan wajah berang. Terus tertunduk Yulia, berpura-pura cuba angkat penutup jeriji.
"Habis dah ni telefon kau," kata Izhar kepada Adam.
Adam mendengus.
Pada waktu itu, Yulia tak sanggup nak angkat muka menghadap Adam Adwa. Macam tajuk lagu itu, dia pun rasa macam gila.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...