53

80 8 0
                                    

TIGA minggu berlalu sejak kali terakhir Yulia bertemu Adam. Selepas kejadian di kedai LEGO, Yulia mendapat tahu Adam tidak akan datang ke studio kerana pergi ke Singapura selama beberapa minggu.

Yulia sudah pun melupakan lukanya disebabkan kata-kata Adam. Namun, tempoh perpisahan itu dirasakan amat panjang, sehingga Yulia kekal diam dan termenung.

Walau bagaimanapun, hari ini berbeza. Yulia tergesa-gesa bersiap untuk pergi ke tempat kerja. Dia memilih pakaian yang paling cantik.

Zarin yang merasai perubahan itu memerhati Yulia berkejar sana sini di dalam rumah. Sekejap siapkan bekal, sekejap datang semula untuk isi air di dalam botol, sekejap dia terlupa ambil sudu.

"Kau dah berbaik dengan boyfriend kau ke?" tanya Zarin. Sambil mencicip air teh, dia memandang Yulia dengan ekor mata.

Yulia tersengih. Sudah lama Zarin tidak nampak riak wajah begitu.

"Tak. Hari ni bos aku balik!" jawab Yulia. "Aku ambil helmet biru!"

Terus dia berkejar keluar rumah. Zarin yang asalnya ingin mencari gaduh tentang helmet pun membatalkan niat sebab tak sampai hati nak rosakkan angin baik Yulia.

∞ ∞ ∞

LANGKAHNYA melangkau anak tangga. Hampir berlari. Sengaja Yulia datang lebih awal daripada orang lain.

Akhirnya, setelah lama tidak berjumpa, Adam pulang ke sini. Pasti Adam sudah selesai berurusan dengan komposer dari Singapura dan mengadakan sesi rakaman lagu di sana.

Yulia menjenguk ke setiap bilik termasuk bilik mesyuarat untuk mencari kelibat Adam. Tingkat itu sunyi. Yulia baru memutuskan untuk mencari di tingkat lain, namun niatnya terbantut apabila terdengar suara dua orang berbual di pantri. Lantas, dia menghampiri dan mencuri dengar.

"Habis tu, kau tolong bayarkan?" Kedengaran suara Izhar, seperti sedang marah.

"Apa salahnya. Bukannya dia tahu pun."

Alur bibir Yulia menaik. Itu suara Adam.

"Kau gila ke, Adam? 10,000 ringgit tu bukan sikit untuk kau bagi pada sesiapa!" marah Izhar lagi.

Suasana diam seketika di dalam pantri. Yulia jadi semakin berdebar-debar. Mungkin dia patut berundur dan pergi dari situ saja.

"Kenapa Yulia?" tanya Izhar kepada Adam tiba-tiba.

Mendengar nama sendiri, Yulia rasa jantungnya seperti berhenti berdegup. Darah berhenti mengalir ke mukanya. Kenapa dengan aku?

Tiada jawapan kedengaran daripada Adam. Yulia juga menanti.

"Kau dah mula obses nak ikut orang lagi? Kau tak ingat ke, Adam, apa yang pernah jadi dulu?"

Sekali lagi, tiada balasan daripada Adam.

"Kau tak ingat apa yang jadi bila kau ikut kereta entah nenek mana di highway dulu?"

"Itu aku kemalangan sebab mengantuk, bukan sebab nenek tu." Adam memberikan alasan.

"Kau menangis dalam wad, sebab kecewa kereta nenek tu keluar kat exit lebih awal, kan? Ingat tu? Lagi, kau tak ingat apa orang buat pada kau masa kes konsert mak kau dulu?"

"Aku tak ingat."

"Orang culik dan simpan kau dalam rumah dia seharian, sebab dia nak mak kau datang sendiri jemput kau. Masa orang jumpa kau balik, kau menggeletar sebab kena kurung dalam bilik. Ingat tu?"

Yulia menekup mulut sendiri.

Adam mendengus kerana benci diingatkan kembali tentang kisah pahit zaman kanak-kanaknya dulu.

"Dan dengan Yulia ni ... kau mudah terikat dengan orang asing, Adam. Melampau sangat sampai bayarkan hutang keluarga dia."

Adam diam lagi.

"Kau suka dia ke, Adam?" duga Izhar.

"Kalau pasal hutang tu, sesiapa pun aku akan tolong. Kalau jadi pada Muhaimin dan June pun, aku akan buat benda sama." Adam cuba mengelak.

"Tapi kau tak tulis lagu untuk Muhaimin dan June. Kau tulis lagu untuk Yulia." Serentak itu, kedengaran bunyi helaian kertas dihempas di atas meja pantri. Yulia yang bersembunyi di luar menekup mulut kerana terkejut. "Ini, lagu untuk dia! Dia tu driver je, Adam! Wake up!"

Seruan Izhar kepada Adam itu seperti panggilan kejut juga untuk Yulia. Seperti ditampar realiti, dia didudukkan kembali ke tempat bawah yang selayaknya untuk golongan sepertinya.

"Driver pun manusia, Izhar," tegur Adam. Nadanya berbaur amarah terhadap kata-kata Izhar.

"Dia tahu pasal ni? Dia tahu kau suka dia?" sampuk Izhar.

"Dia tak tahu."

"Bagus. Jangan sampai dia tahu. Dan kau, simpan perasaan kau," arah Izhar. Kemudian dia mula meluah dengan nada bercampur-aduk,

"Izhar, relaks. Aku janji, semua ni takkan ganggu kerja yang kita buat sekarang. Aku akan abaikan dia, lupakan dia. Dia takkan ganggu apa-apa dalam kerja kita. Cukup aku bayarkan hutang keluarga dia. Sampai situ."

Yulia baru hendak mengundur pergi dari situ tetapi Adam tiba-tiba muncul di hadapannya. Mereka berdua kaget dan hilang kata-kata. Mata Adam membulat apabila melihat wajah Yulia yang basah dengan air mata.

"Encik Adam!" Yulia tersengih seraya mengesat air matanya. "Saya nak minum air tadi, tapi baru teringat botol air saya tertinggal dekat motor. Saya pergi ambil dulu ya."

Yulia menunjuk ke arah pintu utama. Kemudian, dia terus berpusing dan pergi dari situ. Adam tergagap-gagap antara mahu memanggil atau tidak. Kalau dia memanggil, apa yang harus dijelaskan?

"Yulia dengar semua?" tanya Izhar. Dia menjenguk dengan wajah resah.

Adam menggosok kepala dan bersandar di dinding.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now