Ketukan pada daun pintu bilik membawa kepala Anggun menoleh. Anggun tidak perlu ambil masa yang lama untuk berfikir, pasti yang sedang berdiri di hadapan bilik Anggun sekarang merupakan Sephia.
"Masuk," sahut Anggun daripada dalam bilik.
Terima saja lampu hijau, Sephia lantas pulas tombol pintu, masukkan kepala ke dalam untuk mengintai.
"Amboi... dah siap mengemas," komen Sephia sebaik lihat beg sandang Anggun di hujung katil.
"Haruslah, flight aku pukul tujuh pagi ya," jawab Anggun seraya labuh duduk di katil empuk.
Sephia lihat jam sekarang. Sudah pukul 9 malam. Kalau ikutkan perancangan Anggun, Anggun mahu bergerak pukul 12 tengah malam nanti.
"Kau pasti ke kau nak balik Malaysia ni?" Sephia bertanya buat kali terakhir.
Sebagai seorang sahabat, Sephia berkeras tidak mahu beri Anggun pulang ke Malaysia kerana Anggun pulang kali ini bukannya disebabkan urusan keluarga tapi kerana mahu berjumpa dengan Riffat. Jika Riffat sendiri yang ajak Anggun berjumpa, tak apalah juga. Ini Anggun saja mahu muncul di hadapan lelaki itu tanpa notis awal.
"Tiket dah beli, teksi pun dah order, baju dah kemas. Kau nampak aku masih main-main ke, Sephia?" Anggun jawab menggunakan persoalan lain.
"Kau yakin ke, Riffat betul-betul tamat latihan lagi dua hari?" Sephia mahu wujudkan ragu-ragu dalam jiwa Anggun, biar gadis itu tak jadi pulang ke tanah air.
"Yakin, sangat yakin. Aku sendiri tick dekat dalam kalender, dia mula latihan komando dia sembilan bulan lepas. Dia tamat bulan ni, lagi dua hari. Aku yakin dengan pengiraan aku. Takkanlah sosial media dia boleh tipu." Anggun tidak nampak rapuh malah menjawab soalan Sephia tanpa gagap mahupun was-was.
"Ini lagi satu masalah. Kau beria usha sosial media Riffat tapi Riffat tu? Follow back kau pun tidak! Silap hari bulan, dia tak tahu pun yang kau follow dia." Sephia silang tangan ke dada, berkerut alis memandang Anggun.
"Siapa peduli tentang benda tu? Yang penting, aku bakal berjumpa dengan Riffat lagi dua hari. Kemudian, aku nak mulakan sesi menggoda abang komando." Anggun jongket kedua belah kening berkali-kali.
"Tak payahlah, Anggun. Kau lupa ke apa yang dia cakap pada kau tujuh tahun lepas? Dia tak mahu pasangan, dia juga tak mahu berkahwin. Kenapa kau masih berharap pada dia?" redup pandangan Sephia mahu memujuk Anggun. Sephia tak mahu Anggun patah hati kerana seorang lelaki. Sephia dapat rasa, Riffat masih tegak dengan pendiriannya.
"Benda tu dah berlalu tujuh tahun. Mungkin juga Riffat dah ubah fikiran sekarang. Mungkin dia lebih terbuka hati mahu berkahwin? Tujuh tahun lepas, kami masih budak-budaklah, Sephia, masih mentah. Sekarang, aku dah 25 tahun, dia pun dah 28 tahun. Kalau dia tak ada rasa mahu kahwin, aku akan wujudkan rasa tu." Anggun tak mahu putus asa.
YOU ARE READING
[OG] SESAL TERINDAH
Romance"Aku mahu jalani latihan VAT69, aku mahu capai cita-cita aku jadi aku tak mahu berkahwin. Sekurangnya untuk 10 tahun ke hadapan" - Sarjan Mejar Riffat Rizqullah "Saya akan tetap tunggu sehingga awak bersedia" - Anggun Lilyann. Demi kebaikan Anggun...