Althaf Luthfan berdiri di hadapan pintu bilik Anggun Lilyann. Jam sekarang menunjukkan pukul sembilan malam. Mereka sekeluarga baru saja selesai solat isyak secara berjemaah, Anggun lantas naik ke atas sebaik bacaan doa selesai, mahu simpan telekungnya dengan baik.
Althaf angkat tangan, beri ketukan pada pintu bilik Anggun. Malam masih muda, jadi lebih baik mereka bicarakan soal pinangan Armada sekarang. Esok, seawal lima pagi Althaf perlu keluar rumah untuk pulang ke Port Dickson. Tiada waktu yang lebih sesuai berbanding sekarang.
"Sekejap." Suara Anggun menyahut kedengaran daripada dalam bilik.
Althaf hanya menanti penuh sabar. Selang satu minit, pintu bilik Anggun terkuak daripada dalam.
"Kenapa abang?" Anggun bertanya.
Kalau ikutkan, waktu sekarang adalah waktu yang biasa buat keluarga mereka untuk masuk tidur. Jadi Anggun tidak tahu apa yang Althaf mahu tika ini.
"Abah dan mama dah tunggu Anggun di bawah. Ada benda yang mereka mahu bincangkan dengan Anggun." Althaf terus beritahu tanpa sebarang kiasan.
Anggun tercengang buat sesaat. Bincang? Soal latihan perubatan Anggun ke? Jika tentang perkara itu, Anggun juga mahu tahu apa jalan penyelesaian yang Puan Murni serta Encik Adi sediakan buat Anggun.
"Okay." Anggun mengangguk. Pintu bilik di tutup sebelum Anggun mengambil langkah, turun ke bawah.
Benar kata Althaf. Encik Adi dan Puan Murni memang sudah berada di ruang tamu, duduk bersebelahan tanpa lakukan apa-apa. Mereka memang sedang menanti Anggun.
Tiba-tiba Anggun rasa dirinya di serang seram sejuk. Berdiri tegak bulu roma Anggun kerana Anggun rasa, mereka bukan setakat mahu berbincang soal latihan perubatan Anggun yang tergendala.
Anggun ambil tempat di sofa berbingkai satu sementara Althaf bertindak untuk duduk berhadapan dengan tempat kedua ibu bapa mereka.
"Abah dengan mama mahu berbincang dengan Anggun?" Anggun tetap sapa orang tuanya dengan senyuman. Jelas terlihat, senyuman itu kekok dan di buat-buat.
Encik Adi toleh kepala sebentar, pandang wajah isterinya. Daripada mana mereka patut mula?
"Semalam, hari Sabtu, keluarga diraja negeri Melaka datang ke rumah kita, menjadi tetamu kita." Encik Adi mula perlahan-lahan. Encik Adi tahu, Anggun bakal terkejut.
Perlahan-lahan mata Anggun membundar. Ya! Anggun sangat terkejut sekarang ni. Armada, Budi mahupun Bima tiada kata apa-apa pada Anggun. Kenapa tiba-tiba mereka muncul di sini?
"Mereka dah ceritakan semuanya pada kami. Semuanya." Encik Adi menyambung lagi.
Anggun tidak begitu lurus. Encik Adi tahu, Anggun faham maksud semua yang Encik Adi sebutkan.
Anggun termangu. Degupan dadanya begitu hebat berombak. Jika sesiapa rapatkan telinga mereka pada dada Anggun, pasti orang tersebut dapat dengar dengan jelas akan degupan yang begitu laju.
YOU ARE READING
[OG] SESAL TERINDAH
Romance"Aku mahu jalani latihan VAT69, aku mahu capai cita-cita aku jadi aku tak mahu berkahwin. Sekurangnya untuk 10 tahun ke hadapan" - Sarjan Mejar Riffat Rizqullah "Saya akan tetap tunggu sehingga awak bersedia" - Anggun Lilyann. Demi kebaikan Anggun...