Anggun Lilyann tenung baju kurung bewarna biru muda yang tergantung pada pintu almari Anggun. Percaya ataupun tidak, pada pukul 11 pagi semalam, majlis pertunangan Anggun bersama Armada sudah dijalankan.
Majlis pertunangan yang diadakan di rumah banglo milik keluarga Anggun ini berjalan lancar seperti perancangan mereka. Dekorasi di bahagian bawah sudah pun di tukar sebaik tetamu pulang semalam untuk majlis hari ini.
Tika ini, Anggun sedang duduk di birai katil, ambil masa sendiri selepas selesai tunaikan solat fardu subuh. Baju yang sedang di tatap oleh Anggun sekarang merupakan baju yang bakal Anggun kenakan hari ini untuk majlis khatam Al Quran pula.
Hanya berbaki satu hari lagi, Anggun bakal dinikahkan dengan Armada. Semua bicara Armada lima bulan lalu memang benar belaka. Enam bulan itu begitu sekejap. Anggun rasa seperti baru semalam Sephia beritahu keluarga Armada mahu bertemu dengan Anggun.
Anggun raup wajah. Keluhan panjang terlepas daripada bibir. Anggun letih sebenarnya. Sepanjang enam bulan ini, tiada masa Anggun benar-benar berehat. Terlalu banyak benda yang Anggun perlu fikir dan selesaikan.
Perkara yang paling meletihkan adalah saat Anggun sedar, dia saja yang beria selesaikan itu dan ini. Baik majlis sebelah Anggun mahupun sebelah Armada, Anggun seorang yang sibuk fikir dekorasi, warna baju, jenis pakaian dan perkara lain.
Keluarga keduanya ada hulur tangan untuk membantu tetapi Armada hanya akan muncul jika ia benar-benar diperlukan. Jika tidak, Armada akan sibuk dengan tugasannya sebagai Raja Muda.
Kerap pula Armada turun padang sejak enam bulan kebelakangan ini. Ia perkara yang bagus tetapi Anggun rasa letih apabila semua perihal perkahwinan mereka diselesaikan oleh Anggun seorang diri.
"Astaghfirullah Al Azim..." Anggun beristighfar sebelum mengucap berkali-kali.
Mulalah syaitan dalam diri Anggun ini buat kerja, menghasut untuk batalkan pernikahan di saat akhir. Bila otak sedang penat, hati mudah membuat keputusan yang tidak patut.
"Tak ada sebab untuk kau batalkan pernikahan. Jangan buat malu keluarga, Anggun. Armada dah cukup baik pada kau. Bukannya Armada sengaja mahu biarkan kau uruskan perkahwinan seorang diri. Dia sibuk dengan amanah dia." Anggun menasihat diri sendiri. Saat ini, yang penting adalah kesedaran Anggun sendiri.
Anggun geleng kepala. Kedua belah pipi di tampar berkali-kali, mahu sedarkan diri yang sedang tidak waras. Lagi beberapa jam saja majlis akan dimulakan. Kalau Anggun terus begini, tetamu pasti akan ingat Anggun di paksa berkahwin.
Anggun capai telefon pintarnya. Mahu lihat notifikasi yang masuk ke telefon sepanjang Anggun lena malam tadi. Seperti sangkaan Anggun, pengikut Anggun di Instagram bertambah dengan begitu ketara sebaik Istana Melaka muat naik gambar majlis mereka semalam.
Tiada apa pun dalam akaun Instagram Anggun ini. Kosong. Hanya ada highlight story di akaun Instagram Anggun. Gambar dan video? Langsung tak di muat naik sejak dahulu lagi.
YOU ARE READING
[OG] SESAL TERINDAH
Romance"Aku mahu jalani latihan VAT69, aku mahu capai cita-cita aku jadi aku tak mahu berkahwin. Sekurangnya untuk 10 tahun ke hadapan" - Sarjan Mejar Riffat Rizqullah "Saya akan tetap tunggu sehingga awak bersedia" - Anggun Lilyann. Demi kebaikan Anggun...