Alkisahnya, lewat petang semalam, saya dan encik suami bertolak pulang ke Kuala Lumpur dari Skudai setelah selesai segala urusan. Dalam pukul 6.30 petang macam tu kami keluar dari tol Skudai. Saya yang mula-mula memandu kereta. Kami plan berhenti solat di R&R Machap. Lepas solat dan mengalas perut, encik suami menawarkan diri untuk memandu kereta.
Kami pun menyambung perjalanan. Saya duduk sebelah encik suami tersengguk-sengguk menahan mata yang mengantuk. Sesekali saya terlelap sebab tak tahan sangat dah mata yang berat. Dalam kereta, kami banyak diam sambil mendengar radio. Sampai la satu kawasan tu, saya terjaga dari terlelap, jalan raya sangat-sangat gelap. Tak banyak lampu jalan di kiri kanan jalan. Jarak kereta di depan dan di belakang sangat jauh. Tiba-tiba encik suami memperlahankan kenderaan dan memandu di lorong kiri. Terlalu perlahan yang sangat pelik bagi saya sebab encik suami suka memecut laju melebihi 130 km/j. Kenapa perlahan sangat dan masuk ke lorong kiri, padahal tak ada kereta pun kat belakang yang nak memotong bila saya jeling cermin sisi yang nyata gelap gelita. Agak lama juga encik suami memandu perlahan hingga timbul dalam hati saya, kereta 'berat' ke?
Lepas papan tanda Pagoh, encik suami memecut semula. Tapi saya tak bertanya apa-apa sebab mungkin tadi dia mengantuk. Sampai la dekat Senawang, saya perasan encik suami asyik menguap. Saya bersuara sambil memicit-micit bahunya untuk hilangkan mengantuk, "ok ke?"
Encik suami macam sangat terkejut bila saya sentuh bahu dia. Tapi dia still jawab, "tak....ngantok!" Huhu. Kesian encik suami, memandu sampai mengantok. Saya offer untuk tukar driver. Tapi encik suami tak menjawab. Sebaliknya, dia bertanya, "nampak kan ape yang abang nampak?"
Saya pelik. Saya jenguk jalan raya terang di depan, kemudian menoleh ke encik suami. "Nampak ape?"
Suami diam dua saat. "Dekat area bukit yang gelap tadi, yang tak banyak kereta, tahu tak abang nampak ape?"
"Tak...." Saya mula rasa semacam.
"Abang nampak benda dalam kereta. Dalam cermin pandang belakang."
"Allahuakbar. Sebab tu ke kereta perlahan sangat tadi, sebab berat?"
"Aha. Berat. Muka dia betul-betul nampak full dan jelas dalam cermin pandang belakang."
Allah. Allah. Allah.
"Perasan kan tadi kat bukit tu?" tanya encik suami lagi. Mungkin dia nak pastikan bukan dia berimaginasi sendiri.
"Aha, perasan...abang bawak slow."
"Kejap je kat situ tadi, lepas tu hilang. Menumpang kot."
Kemudian kami diam. Selang beberapa minit saya pandang muka encik suami. Dalam hati saya, saya bersyukur sangat-sangat, encik suami tenang menghadapi situasi tu, dia tak melatah dan hilang kawalan. Saya fikir, kalau lah saya yang memandu, apa agaknya yang akan saya buat? Boleh ke saya jadi setenang encik suami? Ada hikmahnya Allah tukarkan driver kat Machap tadi. Subhanallah!
Saya masih bimbang. Saya fikir lebih baik saya drive, encik suami dah mengantuk dan penat, ditambah dengan apa yang dah berlaku. Tapi saya sendiri rasa takut dan gerun kalau-kalau ada lagi gangguan lain. Ya Allah, bertawakkal saja lah, Allah Maha Berkuasa. Dia yang lebih patut kita takuti berbanding segala makhluk di muka bumi.
"Abang ok tak?"
Encik suami menggeleng kepala. "Masih terbayang-bayang muka dia."
"Takut tak muka dia?" Ya ampun, stop it Hasunah!
"Seram gila." Kesian encik suami. Dia geleng-gelengkan kepala laju-laju seolah-olah nak hilangkan bayangan wajah makhluk yang menumpang kereta kami. "Perempuan."
Saya tak bertanya lebih lagi sedangkan dalam hati nak tanya ade darah ke, baju putih ke, rambut panjang ke. Bimbang dalam keadaan encik suami macam tu, soalan-soalan tu buat dia tak dapat hilangkan bayangan makhluk tu.
Bila nampak papan tanda RnR Seremban, encik suami bagi signal untuk masuk ke kiri. Kami isi minyak kereta, encik suami pergi toilet, kemudian saya mengambil alih memandu kereta. Dengan lafaz doa naik kenderaan dan tawakkal, kami menyambung perjalanan hingga selamat sampai ke rumah. Alhamdulillah.
YOU ARE READING
Eeeeee Takut Yeee......
HorrorPelbagai kisah seram...pelbagai tempat yang seram...pelbagai jenis hantu/momok...ada kisah benar...ada kisah rekaan..yang pasti kisahnya sangat menakutkan lagi menyeramkan..sampai terbayang-bayang sehingga ke mimpi...hikhikhik 70% adalah kisah b...