Sebagai seorang anak kepada pengurus besar cawangan syarikat, Aida sudah biasa bertukar-tukar tempat persekolahan. Tahun ini dia bersekolah di sekolah baru demi mengikut bapanya yang ditugaskan ke tempat kerja cawangan baru. Aida 12 tahun, bukanlah seperti kebanyakan kanak-kanak remaja perempuan yang lain. Dia sudah pandai berdikari, matang dan sudah lali dengan beberapa perpindahan tempat belajar. Dia tidak mengambil masa yang begitu lama untuk menyesuaikan diri dengan kawan-kawan baru.
Kawan-kawan barunya amat menyukai Aida disebabkan personaliti serta karekternya yang ceria dan peramah. Waktu rehat adalah waktu yang paling seronok buat para murid sekolah. Waktu itulah mereka semua dapat bermain dan beriang-ria dengan rakan-rakan. Aida senang untuk bergaul dengan mereka semua, lagipun semua rakan-rakan barunya amat menyenangi sikap Aida yang mesra. Sewaktu sedang makan ais krim di pondok bacaan, mata Aida tertangkap pada seorang budak perempuan di hujung stor sukan. Mukanya agak comot dan pakaiannya compang-camping. Dia merenung lama ke arah Aida. Aida tertanya-tanya siapakah budak itu.
Aida semakin seronok dengan sekolah barunya. Kawan-kawan barunya juga semakin rapat dengan dirinya. Hal ini membuatkan ibu bapa Aida senang hati, dengan harapan mereka sekeluarga tidak berpindah tempat tinggal lagi. Oleh kerana kredibiliti dan karekter Aida yang bagus, Aida telah dilantik menjadi perpustakawan. Aida sungguh seronok dengan pelantikan jawatannya itu. Pada satu hari, Aida dan rakan-rakan perpustakawan yang lain ditugaskan untuk membuat dekorasi bagi mencantikkan lagi perpustakaan sekolah mereka. Aida dan rakan-rakan lain bertungkus lumus menyiapkan tugasan yang diberikan. Namun sekali lagi mata Aida tertumpu pada budak perempuan comot yang dia pernah lihat semalam. Dia berdiri di tepi stor sukan.
Selesai sahaja tugasan di perpustakaan, Aida terus ke stor sukan untuk mencari budak perempuan tadi. Aida tidak mengambil masa yang lama untuk menemuinya. Budak yang kelihatan sebaya dengan dirinya itu kelihatan sedang berdiri seorang diri di tepi dinding stor. Dengan sikap peramah yang dimiliki Aida, Aida terus menegurnya.
"Hai, awak. Awak pelajar sekolah sini ke?" Tanya Aida lembut.
"Ya.. " Jawab budak perempuan tadi lemah.
Mereka berdua terus berbual-bual dan berkenalan. Aida berasa simpati pada budak itu, dirinya kelihatan seperti tidak terurus. Dia hanya memperkenalkan dirinya sebagai Fatihah. Aida cuba memberi impresi pertama, dia beranggapan budak itu mesti datang daripada keluarga susah. Ternyata telahan tepat. Fatihah seorang anak yatim piatu, dia dijaga oleh mak ciknya. Dia memberitahu Aida bahawa makciknya itu juga miskin dan hidup kais pagi makan pagi. Ini menambahkan lagi rasa simpati pada Aida.
Sejak dari hari itu, pada waktu rehat Aida akan membeli makanan lebih untuk diberi kepada Fatihah. Yang menghairankan dirinya, Fatihah akan selalu duduk seorang diri di tepi stor sukan. Alasannya, kawan-kawan selalu meminggirkannya oleh kerana imejnya kotor dan kelihatan seperti anak gelandangan. Sudah menjadi adat manusia, hanya mahukan yang molek dan cantik di mata sahaja tanpa menyelami isi hati suci murni seseorang tersebut. Aida tidak ada masalah untuk berkawan dengan Fatihah, dia bukan seorang yang memilih kawan. Lagipun Fatihah harus dibantu. Namun, persahabatan mereka berdua ini terpaksa Aida rahsiakan daripada pengetahuan rakan-rakannya. Bimbang rakan-rakannya akan pulaukan dia pula meskipun mereka berasa hairan kerana setiap kali waktu rehat, Aida mesti akan ke stor sukan terlebih dahulu.
Aida menjadi semakin rapat dengan Fatihah. Setiap hari selepas tamat waktu persekolahan, Aida akan berjumpa Fatihah dulu di belakang sekolah. Mereka akan bermain dan ketawa girang bersama-sama. Tak pernah Fatihah seseronok itu, ada juga orang yang baik hati seperti Aida di dalam dunia ini. Adakalanya jika stor sukan tidak berkunci, mereka berdua akan senyap-senyap menyusup ke dalam dan bermain tutup botol sambil menyorok di longgokan peralatan sukan. Aida perasan dia sering dipandang serong oleh orang lain, adakah salah jika berkawan dengan Fatihah? Nampak sangat mereka semua ini mempunyai sikap diskriminasi dan prejudis yang kuat terhadap orang-orang seperti Fatihah.
Aida tidak peduli semua itu, yang penting dia berasa seronok berkawan dengan Fatihah. Segalanya begitu indah sekali. Macam-macam kenangan yang mereka berdua telah lalui bersama. Namun, setelah tamat peperiksaan UPSR, Aida tidak lagi berjumpa dengan Fatihah, mereka terputus hubungan. Aida juga tidak mengetahui di mana rumah Fatihah ketika itu.
(6 Tahun selepas itu)
Sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM, Aida mengambil keputusan untuk bekerja part time di sebuah kedai serbaneka. Kebetulan dia terjumpa kembali rakan sekelas sekolah rendahnya dahulu. Dia turut bekerja di kedai yang sama dengan Aida. Namanya Liana. Dia antara yang terapat dengan Aida sewaktu di sekolah rendah dahulu. Hari pertama bekerja, mereka berdua rancak berborak bertanyakan khabar dan kehidupan masing-masing. Perbualan mereka itu meleret sehingga sampai ke topik Fatihah. Aida bertanyakan kepada Liana tentang Fatihah, kawan yang juga pernah rapat dengannya suatu ketika dahulu.
Liana terkejut apabila mendengar Aida bercerita tentang hal Fatihah. Dia bagaikan tidak percaya bagaimana Aida boleh berkawan dengan Fatihah. Ini kerana Fatihah sebenarnya telah lama meninggal dunia sewaktu sebelum Aida masuk berpindah ke sekolah itu lagi. Fatihah diikat dan dikurung oleh makciknya sendiri di dalam stor sukan sekolah. Makciknya berbuat begitu kerana tidak tahan menanggung beban untuk menjaga Fatihah. Fatihah telah dijumpai mati diikat di celah-celah peralatan sukan. Aida menggigil dan tergamam. Dia terdiam seribu bahasa. Maknanya selama itu dia berkawan dengan siapa?
YOU ARE READING
Eeeeee Takut Yeee......
KorkuPelbagai kisah seram...pelbagai tempat yang seram...pelbagai jenis hantu/momok...ada kisah benar...ada kisah rekaan..yang pasti kisahnya sangat menakutkan lagi menyeramkan..sampai terbayang-bayang sehingga ke mimpi...hikhikhik 70% adalah kisah b...